Bertemu rakan-rakan yang sudah lama tidak berjumpa merupakan salah satu keseronokan yang saya alami sejak kembali keluar ke merata tempat dan negeri di dalam negara dalam siri memenuhi jemputan berceramah. Di mana-mana saja saya pergi, saya menemui sahabat-sahabat lama yang kadangkala saya sudah tidak mengenali mereka kerana sudah dua dekad tidak berjumpa. Saya berasa sangat bersemangat apabila mereka menunggu saya di lapangan terbang untuk menjemput saya ke tempat-tempat ceramah yang telah ditetapkan.
Semalam saya telah dihubungi oleh Dato' Rosli Ibrahim, seorang pemimpin PAS dan bekas ADUN di Kelantan. Kami sudah tidak berhubung selama dua puluh tahun dan beliau memanggil saya untuk datang memberikan penerangan tentang penyertaan saya dalam DAP kepada orang ramai di kawasan Melor. Beliau meminta saya untuk memberikan penerangan dan mengatasi isu PAS dikudakan DAP dan DAP mengudakan PAS seperti yang dihebohkan dan diisukan oleh pihak BN itu.
Selain daripada seronok menjawab isu-isu berbangkit apa yang menyenangkan saya ialah saya dapat menemui ratusan malahan ribuan rakan-rakan lama. Di antara mereka ada yang sudah bergelar dan bernama, ada yang masih seperti biasa tetapi yang lebih saya gembira ialah mereka mudah untuk menerima penerangan saya tentang isu-isu yang berkaitan dengan DAP dan Melayu yang telah dijadikan isu oleh pihak yang sedang berkuasa.
Tidak ramai yang menentang tentang penyertaan saya dalam DAP malahan mereka mudah untuk menerima hakikat yang kita tidak boleh menjadikan isu rasis sebagai isu lagi. Kita tidak akan mendapat negara yang aman jika kita tidak membuangkan perasaan yang rasis kerana isu rasis ini adalah isu yang digunakan oleh pihak pemerintah untuk mendapatkan sokongan bulat orang Melayu. Bagi saya hanya pihak desperado sahaja yang bergantung kepada isu rasis ini.
Rakan-rakan saya yang menanti saya di mana-mana sekali pun mengakui bahawa pihak pemerintah sekarang dalam keadaan panik kerana mereka tidak dapat menyelesaikan isu krisis keyakinan yang BN sedang hadapi. Rakan-rakan saya ini mengakui yang BN menghadapi isu krisis kepimpinan ini dengan tidak dapat mencari jalan penyelesaiannya.
Bagi sesuatu pihak yang tidak dapat menyelesaikan isu kepimpinan ini, ianya memberikan jawapan yang jelas kepada kita. Ianya menunjukkan bahawa mereka sebenarnya tidak tahu apa masalah yang dihadapi oleh rakyat. Apabila kita tidak tahu masalah yang timbul adalah mustahil bagi kita untuk mencari jalan penyelesaiannya.
Kita mesti faham apa masalah sebenarnya sebelum kita berfikir untuk menyelesaikannya. Itulah saya selalu berkata yang pimpinan BN hari ini sudah hilang hidayah dan punca bagaimana untuk terus mentadbir negara dengan baik. “We must understand problems up to specific first before we even start thinking of solving it”. Itu kata-kata pengkaji subjek pengurusan yang semua pihak faham.
Saya tidak lupa menyatakan kepada sahabat-sahabat yang ribuan yang kembali menemui saya bahawa krisis yang dihadapi oleh pimpinan BN hari ini bukan sahaja dalam kepimpinan parti mereka. Mereka juga sedang menghadapi krisis keyakinan terhadap agama yang mereka anuti. Apa tidaknya? Mereka sudah tidak berapa yakin yang kita orang Islam percaya kepada adanya pahala dan dosa serta ada neraka dan syurga.
Jika mereka tidak mempunyai krisis terhadap keyakinan tentang adanya syurga dan neraka ini, mereka tidak akan melakukan rasuah dan salahguna kuasa. Mereka telah cuba difahami oleh agama kita yang rasuah itu besar dosanya dan ia sama seperti kita memakan daging saudara kita sendiri.
Apabila kita tidak yakin terhadap agama kita sendiri bagaimanakah pimpinan berjaya untuk mendapatkan keyakinan terhadap mereka? Mereka tidak mahu menerima dan meyakini diri mereka yang semua agama pun menyeru kepada nilai-nilai baik.
Itu sebabnya kita melihat bahawa kerajaan Pulau Pinang amat dicemburui oleh pihak pimpinan kerajaan sebelumnya kerana kejayaan pimpinan PR negeri itu melaksanakan kepimpinan mengikut kehendak Islam dan agama-agama yang lain yang meningkatkan nilai-nilai ‘spiritual’ kepada kepimpinannya. Jika saya berkata begini ada pihak yang berkepentingan akan menafikannya dan mengkritik saya.
Bagi saya parti dan ahli sepatutnya memberikan sumbangan terhadap masing-masing. Sebagai seorang bekas ahli UMNO yang telah begitu lama dalam parti itu tentulah banyak budaya dan nilai parti itu yang masih terlekat kepada diri saya. Oleh itu saya tentulah terpaksa melakukan ‘adjustment;’ dengan budaya yang ada dalam DAP itu dan parti tentulah akan memberikan dan membentuk diri saya dengan nilai dan budaya parti itu.
Saya sanggup untuk membuat ‘adjustment’ tersebut kerana keyakinan saya terhadap parti itu yang telah membuktikan kebaikan sebagai parti yang akan bersama-sama mentadbir negara dengan baik dan adil. Saya menyebut ini kerana saya serius dalam memperjuangkan sebuah negara yang kepimpinan yang beretika dan bersih dari rasuah yang begitu serius ‘consequence’nya jika tidak diperbaiki.
Saya bersama rakyat yang ramai untuk melepaskan kerinduan untuk hidup di dalam sebuah negara yang bersih daripada elemen yang buruk ini yang akhirnya akan membunuh tamadun yang telah terbina selama ini.
Berbalik kepada perjumpaan dengan ramai rakan-rakan karib di seluruh negara ini saya tidak lupa untuk bercakap dan berbincang tentang isu ini. Setakat yang saya alami sejak empat lima bulan yang lepas saya mempunyai keyakinan yang mereka menilai dan memberikan tumpuan untuk mendengar pandangan saya dan saya tidak mempunyai masalah untuk mendapatkan dorongan dan sokongan daripada mereka.
Insyaallah selagi tubuh badan dan pemikiran saya masih sihat saya rela untuk menghabiskan masa dan waktu untuk memperjuangkan usaha untuk mendapatkan sebuah pentadbiran yang baik serta bersih daripada segala elemen-eleman negatif yang selalu memperdayakan rakyat yang ramai ini.
Selari dengan itu saya sendiri sedia untuk memperbaiki segala kelemahan yang jika ada dalam diri saya sendiri. Bersama-sama kita untuk memperbaiki diri kita sendiri serta kebaikan perjuangan untuk memperbaiki keadaan politik dan siasah negara.