
Khairy: Mereka (Perkasa) terus-menerus berkata bahawa mereka tiada apa-apa motif politik, jadi mengapa mereka harus mengugut parti-parti politik, parti komponen terbesar (Umno) dalam kerajaan (BN) yang memerintah?
KUALA LUMPUR, 21 Sept — Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin memberi amaran kepada Perkasa bahawa pertubuhan bukan kerajaan bela orang Melayu itu tiada hak untuk menentukan hala tuju perjuangan Umno ataupun mendesak membuang mana-mana pemimpin yang mereka tidak suka.
Khairy, salah seorang daripada beberapa pemimpin Umno yang secara konsisten mendesak agar parti itu menjauhkan diri daripada Perkasa mengulangi pendirian beliau tentang keperluan untuk beralih daripada ‘kebergantungan’ pada pertubuhan bukan kerajaan itu.
“Pendirian saya dalam isu ini sangat jelas dan tidak berubah. Umno tidak harus mempunyai sebarang kaitan dengan Perkasa,” kata Khairy kepada The Malaysian Insider.
Bagaimanapun Ahli Parlimen Rembau ini enggan mengulas dakwaan berubahnya pendirian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam isu berkaitan dengan keperluan menjauhkan diri daripada Perkasa.
“Mereka (Perkasa) terus-menerus berkata bahawa mereka tiada apa-apa motif politik, jadi mengapa mereka harus mengugut parti-parti politik, parti komponen terbesar (Umno) dalam kerajaan (BN) yang memerintah?
“Mengapa menggesa agar Presiden Umno memecat Ku Nan (Tengku Adnan)? Ku nan adalah pemimpin kanan parti dengan mempunyai rekod prestasi yang baik. Mengapa minta ketua Umno menyingkirkan setiausaha agung?” katanya.
Tengku Adnan juga merupakan Setiausaha Agung BN.
“Jika anda konsisten dengan pendirian anda, tak mengapa. Tetapi anda terus meniupkan retorik ekstremisme apabila anda mengikat kerjasama dengan beberapa pemimpin Umno... anda sebenarnya menyusahkan perdana menteri,” kata Khairy yang juga Ketua Pemuda BN.
Beliau memberi amaran kepada kumpulan itu agar berhenti daripada mempengaruhi Umno dari segi arah tuju parti.
“NGO tiada hak atau kedudukan politik untuk berbuat demikian,” katanya.
“Berhenti daripada mengatakan kami apa yang kami perlu lakukan dalam menentukan hala tuju politik kami. Saya akan terus dengan pendirian saya,” kata Khairy.
Semalam, Perkasa melahirkan pandangan agar Najib mempertimbangkan untuk memecat Tengku Adnan daripada jawatan setiausaha agung Umno dan BN.
Dalam gesaannya, Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hassan Syed Ali yang mendakwa Presidennya Datuk Ibrahim Ali sudah tentu telah memecat beliau jika membuat kenyataan yang menjatuhkan imej badan berusia dua tahun itu.
“Saya setiausaha agung agung Perkasa kalau buat kenyataan menyusahkan Perkasa, sudah tentu Presiden saya Datuk Ibrahim Ali akan pecat saya serta-merta.
“Tak tahulah Presiden Umno (Datuk Seri Najib Razak) kalau dia masih nak simpan setiausaha agung macam ini,” kata Syed Hassan berpendapat kenyataan Tengku Adnan bahawa BN memutuskan untuk menjauhkan Perkasa bukan kecil telah menjejakan imej perikatan itu dan juga Umno.
Malah, semalam Pertubuhan Mantan Wakil Rakyat Umno (Penawar) juga mendesak Umno agar bekerjasama dengan Perkasa dan badan-badan bukan kerajaan Melayu lain yang memperjuangkan hak Melayu dan Bumiputera.
Keputusan itu diambil oleh Dewan Tertinggi Penawar semalam di sebalik pandangan bahawa Umno dan BN harus menjauhkan diri daripada Perkasa jika tidak mahu sokongan pengundi dalam pilihan raya umum ke-13 terhakis.
Presiden Penawar Tan Sri Adam Kadir berkata, pihaknya juga duka cita dengan kenyataan Tengku Adnan dan mahu beliau memohon maaf atau dipecat.
Sebelum ini, Perkasa dalam siri kenyataan berkontroversi membabitkan Khairy beberapa bulan lalu pernah meminta beliau meletakkan jawatan sebagai Ketua Pemuda Umno kerana menyokong pendirian rakan sejawatannya dari MCA dalam berkaitan soal biasiswa.
Dalam pada itu, beberapa pemimpin Umno menegaskan parti itu sebenarnya tidak tunduk kepada tuntutan-tuntutan Perkasa meskipun pemimpin-pemimoin kanannya memperlihatkan perubahan pendirian dalam isu kontroversi menjauhkan diri daripada Perkasa.
Pemimpin-pemimpin Umno menekankan bahawa parti itu sebenarnya beralih daripada Perkasa, meskipun Najib tidak secara terbuka memperlihatkan pendirian tidak memihak kepada pertubuhan itu.
Malah kata mereka, dasar-dasar Perdana Menteri adalah “inklusif” dan kerajaan persekutuan adalah berdasarkan merit dan menuju ke arah liberasi ekonomi.
“Tindakan-tindakan adalah berkesan daripada perkataan. Umno bukannya, saya mengulangi Umno tidak tunduk kepada tuntutan Perkasa dalam erti kata tindakan.
“Dalam tindakan, Perdana Menteri sebenarnya bergerak jauh daripada Perkasa.
“Pelbagai dasar yang diperkenalkan oleh pentadbiran semasa, menerusi konsep 1 Malaysia, dari segi liberalisasi ekonomi, tindakan ke arah sistem berasaskan merit, kesemua ini dan semua yang ditentang oleh Perkasa,” katanya.
“Umno, BN tidak memberi mereka (Perkasa) apa yang mereka mahukan,” kata Ahli Parlimen Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed.
Ketua Umno Pulai itu memberitahu The Malaysian Insider bahawa Najib selaku Presiden Umno tidak mengarahkan partinya menyisihkan diri daripada Perkasa sebab beliau tidak mahu mendiskriminasikan mana-mana parti ataupun NGO.
“Dalam kenyataan-kenyataan ya, kerana beliau mahukan sifat inklusif. Beliau tidak mahu mendiskriminasi mana-mana pihak atau organisasi,” kata Nur Jazlan.
Pengerusi UDA itu berkata tindakan Tengku Adnan “berubah pendirian” tidak bermaksud Umno sudah tunduk kepada tuntutan Perkasa.
“Berapa banyak yang Perkasa telah lakukan? Meskipun mereka telah menyebabkan pemimpin-pemimpin membetulkan kenyataan mereka, ia tidak digambarkan dalam tindakan kerajaan semasa.
“Perkasa tidak memperoleh apa yang mereka mahukan. Dalam tindakan, kami tidak mendengar apa yang mereka lakukan,” kata beliau.
“Perkasa, (Datuk) Ibrahim Ali tidak penting, tetapi mereka dijadikan penting dengan cara pemimpin kita dan media memberi respons kepada kenyataan-kenyataan mereka,” kata Nur Jazlan lagi.
Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Saifuddin Abdullah mempertahankan pendirian Najib mengenai Perkasa dengan berkata, tidak kisah sama ada Perkasa menyokong Umno atau tidak setuju dengan Umno dalam isu-isu yang berkaitan dengan hak orang Melayu.
“Saya tidak menolak Perkasa. Tetapi bagi saya Umno perlu berubah dalam caranya memperjuangkan agenda orang Melayu.
“Ia perlu mencari cara baru. Saya tidak membangkang mereka, tetapi Perkasa menggunakan rangka kerja lama dalam mengetengahkan isu orang Melayu, Perkasa mewakili cara pemikiran lama, dan kami di Umno perlu merangka pendekatan baru.
“Jika Perkasa menyokong kami, OK. Jika tidak pun OK,” kata Ahli Parlimen Temerloh ini.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi ini menambah Umno perlu melihat kumpulan pendesak Melayu sebagai satu cabaran, dan parti memerlukan “bahasa politik yang baru” apabila menangani isu-isu berkaitan dengan hak orang Melayu, yang boleh diterima oleh bukan Melayu, tanpa dilihat sebagai rasis atau ketuanan Melayu.
Sumber: Malaysian Insider



Kita memang sudah terkenal dengan hasil kerja kontraktor-kontraktor yang korup. Namun, sebagai warganegara kami sudah tidak dapat menahan malu apabila sikap ini dibawa ke pesada antarabangsa. Pavilion Malaysia di Shanghai yang menelan belanja RM35 juta, amat menghampakan jika dibandingkan dengan mana-mana Pavillion Negara lain yang menyertai Expo tersebut, seperti Pavilion UAE dan Pavilion berputar Britain.
Kami juga bingung akan mengapa Kementerian Pelancongan menyertai expo berkenaan, mungkin kerana tidak mahu ketinggalan dengan Negara-negara lain yang menyertainya. Apa yang lebih membingungkan adalah dakwaan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong (gambar kiri) bahawa pemberian kontrak dibuat secara "direct nego" dengan Venturepharm Sdn Bhd sedangkan tender terbuka telah dibuat sebanyak dua kali, dan yang paling membingungkan, mengapakah kontrak berkenaan diberi kepada Venturepharm Sdn Bhd yang merupakan sebuah syarikat farmaseutikal! Seperti yang sering kami canangkan, kami tidak dapat memahami tindakan-tindakan kerajaan 1Malaysia.
Tidak cukup dengan semua itu, kenyataan Ng Yen Yen (gambar kanan) di Dewan Rakyat turut mengundang kontroversi. Jawapan yang diberikan oleh Kementerian beliau kepada Parlimen amat menarik. Antaranya berhubung kos pembinaan pavilion tersebut, jawapan bertulis daripada Timbalan Menteri Kementerian Pelancongan James Dawos Mamit kepada Teresa Kok menyatakan bahawa kos binaan, operasi dan musnah Paviliion berkenaan dijangkakan sebanyak RM20 juta. Jawapan bertulis kepada wakil rakyat Batu Gajah, Fong Po Kuan pula menyatakan kos keseluruhan adalah sebanyak RM35 juta.
Pendek kata, tidak ada apa yang boleh dibanggakan dengan Pavilion itu, malah kami berasa malu dengannya. Mungkinkah kerajaan 1Malaysia kita sudah tidak mengerti malu? Daripada pelbagai dakwaan Indonesia sehinggalah ke prestasi melucukan Timbalan Pendakwaraya (gambar kiri) dalam inkues kematian Teoh Beng Hock, kami sudah penat mencuba untuk menjustifikasi tindakan-tindakan kurang baik kerajaan yang semakin kerap kebelakangan ini.
Sementara Anwar Ibrahim menjulang harapan anggota parti dan penyokong di luar parti untuk merampas kuasa kerajaan persekutuan daripada regim Barisan Nasional (BN), Ketua Umum PKR ini juga tidak terelak daripada menjadi sasaran pertama yang dituding jari, apabila situasi parti menjadi seolah-olah di luar kawalannya.
Anwar dituduh teragak-agak untuk mengenakan tindakan disiplin terhadap bekas peguamnya yang menyarung jersi PKR untuk bertanding di Kulim Bandar Baru ketika PRU ke-12. PKR hanya memecat Zulkifli Noordin (gambar kanan) pada Mac 2010, setelah beliau membuat laporan polis terhadap Khalid Samad, ahli parlimen Shah Alam-PAS, berhubung isu penggunaan kalimah Allah.
Tian Chua berkata, ramai orang yang menganggap bahawa Anwar (gambar kiri) mempunyai kedudukan yang tidak tercabar dalam parti, tetapi pada hakikatnya, Anwar jarang menggunakan kewibawaan ini untuk menyelesaikan masalah. Sebaliknya beliau tetap dengan "sangka baiknya", dan beliau tidak percaya, seandainya diberitahu, misalnya "Wee Choo Keong telah bertemu dengan pemimpin UMNO".
Ada yang menuduh bahawa arus keluar parti ini dibayangi "pengaruh budaya UMNO" yang masih kuat di kalangan anggota, malah pemimpin PKR. Tian Chua menyangkal analisa sedemikian, "padahal PAS mempunyai lebih ramai bekas anggota UMNO daripada PKR".
"Sesetengah akan berkata, untuk 10 tahun saya berkorban, kini tibalah masa saya mengecapi kekayaan dan kemewahan." Golongan ini akan meninggalkan PKR dengan penuh kekecewaan, apabila parti ini gagal memenuhi kemahuan mereka, jelas Tian Chua.
Tian Chua mengambil ahli parlimen Bayan Baru, Zahrain Hashim (gambar kiri) sebagai contoh untuk golongan ketiga, iaitu ahli korporat proksi UMNO. Golongan ini dipinggirkan semasa perbalahan dalam UMNO, kerana "tersilap" pilih sekta. Oleh itu, mereka pun menyertai PKR. Selepas PKR menguasai kerajaan negeri, maka mereka pun mendesak agar mereka dilantik sebagai pengarah syarikat tertentu, untuk mengembalikan kemegahan mereka seketika dahulu.
Tian Chua menjelaskan, Khalid Ibrahim (gambar kanan) enggan mengubah model yang lama kerana khuatir menyinggung pegawai kerajaan ini. Inilah punca kekecewaan anggota parti. Bagaimanapun, Tian Chua menganggap niat Khalid mungkin baik, iaitu orang yang melaksanakan dasar bukan datang dari parti.
Tian Chua, yang mengakui dirinya bukan menyetujui Azmin Ali (gambar kiri) dalam semua isu, bagaimanapun sanggup membela Azmin Ali dalam isu ini. Pada tanggapan Tian Chua, adalah kurang adil untuk Azmin Ali apabila ditonjolkan dengan imej negatif dalam media.
