Zaid: Azizah bukan boneka, Anwar hanya ahli biasa......???

on Sep 21, 2010

PETALING JAYA: Ahli Majlis Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Zaid Ibrahim berikrar mahu mengembalikan kuasa sebenar Presiden parti itu jika beliau berjaya merebut kerusi Timbalan Presiden pada pemilihan Oktober ini.
zaidbmMengulas mengenai kritikan terhadap kredibiliti Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang hanya dianggap sebagai ‘lambang’ parti, Zaid berkata keadaan ini berlaku akibat wujudnya persepsi di kalangan kepimpinan parti sendiri yang kurang menghormati peranan Azizah.
"Kita tidak boleh membiarkan Presiden kita dianggap oleh sesetengah pihak hanya sebagai lambang. Terlalu kerap saya dengar bisikan mengenai kononnya Datin Seri Wan  Azizah bukan ketua sebenar.
"Malah ada pula yang berkata beliau tidak ada kuasa. Keadaan ini berlaku kerana ada di kalangan kepimpinan parti yang kurang menghormati jawatan Presiden.
"Kalau saya menang, saya akan bela kuasa Presiden. Presiden parti tidak akan dianggap sebagai lambang semata-mata," katanya dalam kenyataan melalui blog hari ini.
Sambil mengkritik kepimpinan PKR sekarang yang lebih selesa memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim menerajui parti, Zaid bimbang situasi ini akan menjadi satu amalan yang lebih buruk jika Pakatan Rakyat menguasai Putrajaya.
"Kepimpinan parti lebih selesa memberi kepercayaan sepenuhnya kepada Anwar.
"Saya juga memberi kepercayaan dan sokongan penuh kepada Anwar Ibrahim, kerana dia pengasas parti dan juga Ketua Pembangkang tetapi dari segi struktur parti buat masa ini beliau hanya ahli biasa.
"Kalau kita dari parti Keadilan tidak hormati jawatan Presiden kita yang sah kerana kita berpuas hati Presiden itu hanyalah lambang (walaupun dia berkuasa penuh mengikut Perlembagaan parti); apa jaminan kita akan menghormati Perlembagaan Negara bila kita berkuasa nanti," katanya.
Walaupun masih tiada lagi individu yang menawarkan diri mencabar Azizah termasuk Anwar yang memutuskan enggan bertanding bagi mana-mana jawatan, namun Anwar dilaporkan masih lagi menerima pencalonan daripada cabang di beberapa negeri.
Dasar reformis parti diperkukuhkan
Zaid turut menyatakan pendiriannya untuk mengukuhkan dasar reformis parti dan pada masa yang sama mahu terus taat setia kepada Presiden jika dipilih sebagai Timbalan.
"Adalah tanggungjawab Timbalan Presiden untuk memberi sokongan dan bantuan sepenuhnya kepada Presiden sesebuah parti.
"Bagi Timbalan pula, kesetiaan kepada parti bererti taat setia kepada Presiden dan menolong beliau dalam menjalankan tugas-tugasnya.
"Timbalan Presiden mesti mengimbangi atau ‘complement’ kekuatan Presiden. Hanya dengan cara itu prestasi dan imej parti kita akan jadi lebih baik.
"Datin Seri Wan Azizah telah banyak membuat pengorbanan termasuklah meletakkan jawatan beliau sebagai ahli Parlimen demi keperluan suaminya dan PKR. Pengorbanan ini adalah pengetahuan umum.
"Sebagai ahli PKR, saya percaya dengan kepimpinan dan kebolehan Presiden parti; dan sebagai calon untuk jawatan Timbalan Presiden saya ingin menyokong beliau dalam usaha beliau dan dengan ikhlasnya meneruskan dan mengukuhkan dasar reformis parti.
Ini untuk menunjukkan bahawa PKR mampu memenuhi perubahan yang dinanti-nantikan ahli parti dan rakyat Malaysia," katanya.
FMT

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List