Team Anwar-Azmin Main Kotor.......??? :– Dakwa Jenapala

on Sep 21, 2010

KUALA LUMPUR: Calon timbalan presiden PKR P S Jenapala hari ini mendakwa berlakunya penyelewengan dan taktik kekerasan yang digunakan oleh Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim dan orang kanannya, Naib Presiden Azmin Ali dalam pemilihan parti pada ketika ini.
1 jenapalaPermainan kotor ini kata Jenapala termasuk menyalah guna jentera kerajaan negeri Selangor, memberi tekanan kepada para pencabar terhadap calon-calon yang condong kepada Anwar-Azmin supaya menarik diri dan dengan menawarkan jawatan-jawatan kepada para penyokong mereka.
Beliau memberi contoh pemilihan peringkat cabang di Permatang Pauh pada hujung minggu lalu, di mana Ketua Menteri II Pulau Pinang Dr Mansor Othman menang tanpa bertanding selepas dua pencabarnya, termasuk penyandang Che Mat Hashim dan Roselai
Muhamad, menarik diri.
"Selepas mengemukakan namanya, Roselai secara tiba-tiba menarik diri pada hari penamaan calon selepas diberi tekanan kuat supaya berbuat demikian.
Dalam kes Che Mat, beliau menarik diri pada hari sebelum pemilihan dan para penyokongnya mendakwa terdapat tekanan daripada Anwar supaya berbuat demikian," katanya pada satu sidang media di sini hari ini.
"Macam mana mereka boleh menyuruh Che Mat menarik diri sebelum namanya disenaraikan dalam kertas pengundian,?" soal Jenapala yang juga bekas timbalan setiausaha agung parti.
Beliau mendakwa Azmin menyalah guna jentera kerajaan negeri Selangor untuk berkempen sebagai calon timbalan presiden parti.
"Ahli-ahli exco kerajaan negeri yang menyokong beliau (Azmin) menggunakan pejabat mereka untuk pemilihan parti sementara pegawai-pegawai penerangan negeri memancing dan memujuk ahli-ahli di peringkat akar umbi untuk menyokong beliau.
"Ini merupakan satu penghinaan kepada rakan-rakan Pakatan Rakyat DAP dan PAS serta rakyat Selangor yang melantik mereka," tambah beliau.
Beliau juga mendakwa Azmin ketika melakukan lawatan ke Tuaran, Sabah telah memberitahu ahli-ahli dalam satu perjumpaan bahawa Ansari Abdullah, ketua Cabang PKR di kawasan itu, akan menjadi calon pada pilihan raya umum akan datang sekiranya beliau menang.
Azmin juga menawarkan beberapa jawatan kabinet kepada mereka yang menyokong beliau dan memastikan beliau menjadi timbalan presiden.
Manipulasi di Sabah
Dalam satu perkembangan yang memeranjatkan, beberapa cabang di Sabah telah mencalonkan Azmin untuk pertandingn sengit merebut jawatan timbalan presiden walaupun terdapat sentimen anti-Azmin yang kuat di negeri di bawah bayu itu.
Naib Presiden PKR itu terpaksa melepaskan jawatan Ketua PKR Sabah berikutan "pemberontakan kecil" oleh beberapa pemimpin cabang yang rapat dengan naib presiden Dr Jeffrey Kitingan.
Berikutan itu, Ansari dilantik sebagai ketua PKR negeri yang baru ditengah-tengah desakan pemimpin-pemimpin tempatan supaya pemimpin dilantik di kalangan rakyat peribumi dan bukannya seorang Melayu, dilantik sebagai ketua PKR Sabah.
Sabah terkenal sebagai kubu kuat ahli majlis pimpinan tertinggi Datuk Zaid Ibrahim, pencabar utama Azmin untuk merebut jawatan timbalan presiden parti.
Perubahan yang berlaku secara tiba-tiba oleh cabang-cabang di Sabah untuk mencalonkan Azmin disifatkannya sebagai manipulasi. Beliau mengambil contoh berlakunya kepincangan dalam pemilihan di cabang Kudat dan Silam pada hari mengundi.
"Di Kudat, lebih 800 orang hadir dengan penyandang Mursalim Tangul, kebanyakan mereka hanya mempunyai kad pengenalan sementara dan dikenalpasti sebagai pendatang tanpa izin.
Di Silam, nama penyandang ketua AMK Silam yang juga timbalan ketua AMK negeri Johan bin Nul tidak dapat ditemui dalam senarai keahlian walaupun penamaan mereka sebagai calon telah diterima lebih awal.
"Johan kemudian diisytihar terbatal dan tidak boleh bertanding. Pemenang, Johani Abdul Halim, dikenali sebagai penyokong Azmin," dakwa Jenapala.
Beliau juga mendakwa terdapat insiden pengiraan semula undi pada pemilihan di cabang Bandar Indera Mahkota dan Raub yang beliau dakwa dilakukan oleh kem Azmin.
Calon-calon yang rapat dengan Zaid pada mulanya diisytihar sebagai pemenang tetapi selepas pengiraan semula undi dibuat dan beberapa ahli mendakwa mereka belum lagi mengundi, memberi kemenangan kepada Azmin.
Anwar dan Azmin mesti sah atau nafi secara terbuka
"Saya kini mahu mencabar Anwar dan Azmin untuk mengesah atau menafi secara terbuka penglibatan mereka dalam insiden-insiden yang akan saya tonjolkan ini," kata Jenapala.
Selain itu, beliau juga mendakwa seorang pemimpin kanan parti menggelar seorang pemimpin India sebagai "pariah" dan ingin tahu sama ada permohonan maaf telah dibuat kepada pemimpin itu.
Beliau juga menuduh Dr Molly Cheah, pengerusi jawatankuasa pilihan raya adhoc pusat, pilih kasih.
Cabang dari tujuh negeri telah bermesyuarat hujung minggu lalu untuk melantik pemimpin cabang dan bakinya dijangka mengadakan pemilihan dalam tempuh tiga minggu.
Azmin kini sedang mendahului dengan mendapat 39 pencalonan berbanding Zaid mendapat 15.  Jenapala tidak mendapat sebarang pencalonan setakat ini.
Pilihan raya parti peringkat nasional akan berlangsung pada penghujung Oktober dan awal November di mana kira-kira 400,000 ahli akan mengundi calon-calon secara terus untuk 25 jawatan pusat, termasuk presiden dan timbalan presiden.
Presiden Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang setakat ini menerima 36 pencalonan, tidak akan dicabar pada pemilihan parti.
FMT

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List