Istana Kelantan…tunggu Isnin ini

on Sep 11, 2010



Perhatian kini bertumpu ke Kelantan dengan khabar yang kuat mengatakan isu yang sekian lama menyelubungi keluarga diraja negeri itu bakal selesai dengan permasyhuran Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan Isnin ini.

Ini berikutan indikasi yang diperolehi oleh media mengenai majlis yang dikatakan akan diadakan Balairong Seri Istana Balai Besar di Kota Bharu bermula pada pukul 11.30 pagi.

Kini sudah lebih setahun berlalu sejak macam-macam cerita timbul ekoran kegeringan baginda Sultan sejak Tuanku Ismail Petra yang mula mendapatkan rawatan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura pada 14 Mei 2009.

Sekalipun secara rasmi ia tidak dapat disahkan lagi ketika berita ini ditulis,namun desas desus permashyuran putera sulong Sultan Kelantan itu sudah menjadi bualan wartawan tempatan sejak adanya jemputan dari Istana meminta wartawan serta jurugambar memakai pakaian kebangsaan berwarna hitam mengikut protokol rasmi.

Apa lagi yang dapat difikir lebih besar dari sesuatu majlis penting bila mereka diminta hadir berpakaian begitu.

Malah ada kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri yang mengaku turut menerima jemputan dari Istana pada hari berkenaan.

Mungkinkah ia hanya satu majlis yang ada kaitan dengan Hari raya Aidilfitri.

Jika demikian ia tidak mungkin melibatkan soalan pakaian protokol.

Apapun Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dipetik sebagai berkata setakat ini beliau belum menerima surat rasmi dari Istana mengenai pemasyhuran Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan Isnin ini.
Katanya sehingga kini beliau tidak mendapat sebarang khabar mengenai perkara itu daripada mana-mana pihak.
"Saya kalau boleh tidak mahu komen sebarang perkara berkaitan Istana (Kelantan)," katanya kepada Bernama Jumaat bila diminta mengulas laporan sebuah akhbar mengenai hal berkenaan.

Sementara itu Pengelola Istana DiRaja Kelantan Datuk Abdul Halim Hamad ketika dihubungi Bernama berkata beliau enggan mengesahkan mengenai istiadat pemasyhuran itu.
"Saya tidak mahu mengesahkan dan juga tidak mahu menafikan perkara itu. Saya juga tidak mendapat perintah daripada Pemangku Raja untuk mengeluarkan sebarang kenyataan tentang perkara itu," katanya

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List