Pakatan Rakyat :- Jangan Bercakaran, Jangan Leka. Persiapkan Diri Dari Sekarang......???

on Sep 23, 2010

Pakatan: Usah menunggu, mantapkan persiapan hadapi perang besar


TERBUKTI Umno-BN masih tidak berubah. Ia belum dapat mengambil iktibar atau gagal membaca mesej pengundi dalam pilihan raya umum Mac 2008. Formula menebus kekalahan yang dipakai jelas tidak dapat keluar daripada kepompong perkauman yang sempit dan berbahaya itu. Politik rasis yang berhasrat mahu "pecah dan perintah".


Umno masih mahu mengekalkan imej palsu sebagai wira Melayu, manakala MCA - seperti dizahirkan secara terbuka oleh presidennya, Dr Chua Soi Lek - ghairah mempromosi partinya sebagai penyelamat orang Cina dengan membuat pelbagai tuntutan dan tekanan.
Melalui "lidah rasmi Umno" yang boleh dijual di tempat awam dan tidak terhad kepada ahli parti (ya ... berbeda sekali dengan Harakah yang dikongkong dengan syarat-syarat ketat dan tidak munasabah), serta mendapat dokongan kewangan kerajaan, Utusan Malaysia tidak henti-henti meneruskan kempen berbahaya dengan memanipulasi isu-isu sensitif.

FITNAH DOA KHUTBAH 

Dari hal karut-marut macam "perlembagaan baru" sampailah kepada yang fitnah terkini, "doa buat Lim Guan Eng (Ketua Menteri Pulau Pinang) menggantikan Yang di-Pertuan Agong" dalam khutbah Jumaat.  Di samping itu, apa jua aktiviti Perkasa pimpinan Ibrahim Ali seperti sudah menjadi laporan tetap akhbar berkenaan.
Justeru, ada pimpinan Pakatan Rakyat, terutama yang pernah menjadi mangsa "permainan jijik" Umno-BN sehingga disumbat ke Pusat Tahanan Kamunting melalui Operasi Lalang 1987, seperti Mahfuz Omar dan Guan Eng, sempat memberi ingatan agar tidak terperangkap dengan taktik kotor pihak yang terdesak itu.
Pada tahun itu nampak Umno dan MCA yang bertelagah, namun akhirnya yang dikurung tanpa bicara oleh Dr Mahathir Mohamad, adalah aktivis sosial dan pemimpin pembangkang.
Bagi Umno-BN, tanpa kuasa memang cukup menyakitkan dan memeritkan. Dr Mahathir semasa menjadi Presiden Umno sering mengingatkan ahli-ahlinya bahawa tidak ada gunanya berebut-rebut berkempen menjadi pemimpin parti itu tetapi akhirnya kalah dalam pilihan raya dan hilang kuasa memerintah.
Seolah-olah tanpa kuasa, Umno tiada peranan langsung.

GILA KUASA 

Bagi saya, ini penyakit gila kuasa yang cukup membimbangkan. Seolah-olah tanpa kuasa sesebuah parti politik hilang fungsinya sedangkan banyak sumbangan boleh diberikan kepada rakyat, seperti ditunjukkan PAS misalnya, walaupun kalah berulang kali (malah ramai calonnya pernah hilang deposit) dalam pilihan raya.
DAP juga membuktikan hal sama, menjadi pelindung kedaulatan rakyat tanpa letih meskipun sentiasa didiskriminasi dan ditindas. Aktivis PAS bukan sahaja dinafikan hak untuk berpolitik secara bebas seperti dibenarkan Perlembagaan, malah ramai yang dibuang daerah, dihalang daripada mendapat pelbagai kemudahan kerajaan, dipenjarakan tanpa bicara, malah ada yang dibunuh kejam.

Tetapi memang benar pun, Umno akan lumpuh sepenuhnya jika talian hayatnya di negeri-negeri yang kalah seperti Kelantan, Pulau Pinang, Selangor dan Kedah yang kini bersumberkan kuasa di Putrajaya, dapat dicantas segera.
Selama ini Umno-BN berdepan dengan parti-parti lain bukannya seperti "anak jantan"; ia bergantung rapat dengan kekuatan di luar parti yang dieksploitasi secara tidak sah.
Apabila dirasakan laluan Pakatan Rakyat ke Putrajaya semakin cerah, maka pemimpin Umno-BN dan para strategisnya pasti tidak duduk diam merencanakan usaha memintas.

TEORI 4F KAMARUDIN JAFFAR 

Selepas pilihan raya 1999, persempadanan semula kawasan pilihan raya dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diperalatkan semahunya - di samping pelbagai taktik kuno 3M (media, money, machinery) yang digunakan terus-menerus, ditambah teori 4F (Fun, Fund, Fear dan Future) - kini survival elit penguasa bagaikan telur di hujung tanduk.
Kamarudin Jaffar dalam buku terbarunya, Krisis Ketuanan Melayu (Ikdas, 2010) mengemukakan teori 4F bagi sebagai usaha untuk memahami bagaimana dan mengapa rakyat Melaysia mengundi BN. 4F itu ialah Fun(Hiburan), Fund (Wang/Dana), Fear (Takut) dan Future (Masa Depan).

"Perhatilah bagaimana setiap kali musim pilihan raya datang, akan bermulalah program dan majlis-majlis hiburan, akan diumumkan projek-projek dan bantuan-bantuan kewangan, akan ditakut-takutkan rakyat dengan imej-imej buruk yang kononnya ada pada parti-parti pembangkang, dan akan diberikan gambaran masa depan yang begitu baik jika mengundi BN dan begitu buruk jika mengundi pembangkang," tulisan Kamarudin, yang juga Ahli Parlimen Tumpat dan bekas Setiausaha Agung PAS dipetik.

Fitnah dan adu-domba media hanya cebisan kecil gerakan mempertahankan Putrajaya. Apatah lagi di zaman yang menyaksikan media baru lebih mendominasikan kecenderungan politik rakyat Malaysia.
Peluang pengundi untuk menghakimi pemerintah secara bijaksana lebih terbuka luas. Umno-BN tidak lagi memonopoli maklumat dan sumber berita.
Walau bagaimanapun, aktivis Pakatan Rakyat seharusnya  bersedia untuk diasak dengan "peperangan" yang lebih real, yang mungkin menuntut "korban" lebih besar.

SABOTAJ BN 

Bekas pemimpin Umno yang dahulunya menyertai Semangat 46 dan kini KeADILan tentu berpengalaman dengan kelaziman BN (sebelumnya Perikatan) berdepan situasi genting. Usaha sabotaj kerap dipakejkan bagi memburukkan parti lawan.
Jadi, tidak mustahil kes gambar Sultan Johor yang dieksplotasi dalam sepanduk KeADILan di Batu Pahat baru-baru ini tidak terlepas daripada usaha sabotaj pihak tertentu bagi menyekat kemaraan Pakatan dan taktik jahat melaga-lagakan dengan pihak istana. 

Saya merasakan itu semua hanya permulaan, dan dijangka ia disusuli bermacam-macam lagi tindakan tidak terduga lainnya. Sepatah kata Anwar Ibrahim: "Pimpinan Umno menerusi akhbar Utusan Malaysia berterusan menggunakan aksi politik perkauman sempit yang usang. ... Usaha pimpinan Umno ini tidak akan berhenti di situ sahaja. Mereka pasti menganyam fitnah yang lain pula demi memecah-belahkan muafakat masyarakat ini yang mahu hidup dalam kerukunan dan sejahtera. Mereka menyedari rakyat Malaysia mempunyai keyakinan yang teguh untuk terus beriltizam dengan perubahan dan demi Malaysia yang adil ..."

Langkah paling baik Pakatan bukannya sekadar bersiap mempertahankan dan membentengi diri tetapi harus bertindak balas secara proaktif dan sistematik melancarkan "serangan" berterusan mendombrak penyelewengan kerajaan BN, termasuk (malah lebih penting) menyuntik keyakinan pengundi dengan menunjukkan teladan pemerintahan yang baik di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor.
Imej dan kemampuan Pakatan sebagai "kerajaan menunggu" harus ditampilkan dengan penuh wibawa. Keberkesanan parti-parti seperti PAS, DAP dan KeADILan sebagai pembangkang tidak boleh dinafikan lagi.

BERBILION WANG AWAM  HANGUS 

Banyak pendedahan terutama berkaitan skandal kewangan yang menghanguskan berbilion wang rakyat dikemukakan kepada publik dengan statistik meyakinkan. Keupayaan ahli-ahli Parlimennya membahaskan isu-isu rakyat sentiasa teruji.
Di samping itu ramai mengharapkan agar tidak timbul isu-isu (yang mungkin dianggap remeh) yang dilihat boleh memecah-belahkan kesatuan Pakatan.
Kini rakyat sedang memerhatikan dengan rapi langkah kerajaan negeri Pakatan menangani pelbagai masalah berbangkit di samping memenuhi janji-janji pilihan raya lalu dalam konteks keterbatasan kuasa yang ada.
Nada retorik politik mungkin boleh direndahkan kerana yang lebih utama bagi rakyat adalah kesungguhan dan keikhlasan pemimpin dan wakil rakyat Pakatan untuk turun padang menawarkan formula praktikal ke atas begitu banyak tekanan kehidupan semasa.

Buktikan bahawa sememangnya wakil rakyat dan kerajaan negeri Pakatan berbeda sama sekali dengan apa yang ditunjukkan BN sebelum ini. Usah terikut-ikut dengan tradisi  bobrok Umno-BN yang hanya mementingkan diri dan suku-sakat mereka sahaja.
Khazanah kekayaan negara lebih daripada mencukupi buat keperluan seluruh rakyatnya jika ia ditadbir secara baik dan telus. Kepelbagaian agama, budaya, adat resam jika diadun dengan bijaksana dan penuh keadilan merupakan satu kekuatan raksasa yang belum dimanfaatkan sepenuhnya.

Sementara pendekatan perkauman yang diamalkan Perikatan-BN sejak merdeka mempunyai begitu banyak kelemahan dan kini ia terdedah satu demi satu.
Demokrasi konsosiasional (permuafakatan) dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia mungkin satu formula terbaik, tetapi terbukti kerjasama dan rundingan elit pemerintah, seperti pandangan beberapa pengkaji politik, hanya topeng semata-mata. Mereka seolah-olah berusaha keras menjamin kepentingan rakyat, sedangkan yang menjadi prioriti adalah kepentingan diri dan kelompok.

PERBEDAAN KELAS 

Dr Nidzamuddin Sulaiman dalam tulisannya, "Kaum dan Kelas: Pendekatan Popular Melihat Politik Gabungan Malaysia" (1999), cuba memaparkan realiti dihadapi rakyat yang dikuasai elit politik yang menggunakan pendekatan perkauman:  "Perbezaan kelas tetap wujud, miskin kaya tetap berleluasa malah menjadi semakin meluas. Kelas bawahan sentiasa mengeluh tentang makanan yang tidak mencukupi, sewa rumah yang semakin tinggi dan belanja sekolah anak yang perlu dibiaya.

"Sentimen dan keperitan ini ditanggung oleh semua tanpa mengira kaum kerana penderitaan tidak mengenal kaum, kemiskinan tidak mengenal keturunan dan perut anak yang lapar tidak akan bertahan lama. Semua ini dikongsi sama oleh kelas bawahan tetapi mereka tetap tidak sedar. Mereka tidak sedar bahawa mereka berada bersama-sama di dalam satu kelas, satu kedudukan, satu perasaan dan satu sentimen."

Pengagihan sumber ekonomi dan politik yang terhad itu dibolot penguasa dan suku-sakatnya. Kadang-kadang sikap pemimpin atasan daripada pelbagai parti berbeda (komponen BN) yang membentuk kerajaan itu nampak bercanggah (seperti tertonjol dalam kes Umno dan MCA mutakhir ini) tetapi realitinya ia sekadar satu taktik untuk saling memperkukuhkan kedudukan masing-masing.
Kuasa yang ada diperalatkan untuk menimbun kekayaan secara tidak sah, khususnya melalui rasuah, walhal para penyokong di akar umbi tertekan dengan kenaikan kos sara hidup.

ALASAN TINDAS MUSUH POLITIK 

Dr Toh Kin Woon, Presiden Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG semasa mengungkapkan kekhuatirannya terhadap kenyataan dan tindakan perkauman secara berleluasa baru-baru ini (dengan merujuk kenyataan perkauman dua pengetua sekolah kebangsaan dan percubaan Utusan Melayu mengapi-apikan sentimen perkauman), mengingatkan: "... sejarah telah menunjukajar kita, dalam satu negara berbagai kaum yang politiknya belum berlandaskan demokrasi, spekulator politik sering menggunakan alasan “hubungan kaum tegang” untuk menindas musuh politik dan pihak berlain pendapat, ia merintangi perkembangan sihat demokrasi."
Kunci kata dalam menyelesaikan problem besar umat dan negara adalah "keadilan", serentak masa sama mencampakkan pendekatan perkauman dalam bakul sejarah. Islam telah menggariskan dengan jelas kepentingan keadilan sebagai prinsip hidup yang penting.

Prof Dr M Din Syamsuddin (2007) menekan: "... Islam sering disebut sebagai agama keadilan (din al-'adalah) di samping sebutan-sebutan lain seperti agama perdamaian (din al-salamah), atau agama kasih sayang (din al-rahmah). Begitu penting keadilan dalam Islam, al-Quran menyebutnya sebanyak 28 kali, salah satunya mengandungi perintah untuk menegakkan keadilan kerana keadilan lebih dekat kepada ketakwaan (al-Quran 5:8).
"Tradisi Islam juga menegaskan pentingnya keadilan dengan memasukkan seruan menegakkan keadilan pada bahagian akhir setiap khutbah Jumaat (inna Allahya'mur bi al-'adl wa al-ihsan)."

MindaRakyat



0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List