Pakatan akan hancur jika Anwar terus lindungi Azmin - Gobala

on Feb 3, 2011

N. Gobalakrishnan, wakil rakyat terbaru keluar PKR, meneruskan serangan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan meramalkan bahawa Pakatan Rakyat (PR) akan hancur jika ketua pembangkang itu terus menyebelahi Azmin Ali.

Ahli Parlimen Padang Serai ini memberitahu The Malaysian Insider, PAS dan DAP juga “muhasabah diri” secara serius jika mereka ingin melihat PR terus berkekalan dan relevan, malah seharusnya menasihatkan Anwar berhenti daripada pilih kasih dan melindungi timbalan presiden PKR itu.

“Jika tidak, mereka tidak pertahan. Jika mereka tidak bercakap kepada Anwar... mereka tidak akan pertahan. Tiada boleh,” kata Gobalakrishnan yang kini bertindak sebagai wakil rakyat Bebas dengan mengikut langkah lima ahli Parlimen PKR sebelum ini.

Gobalakrishnan mendakwa tindakan Anwar melindungi Azmin secara berterusan dengan mudah melemahkan PKR dan perkembangan itu akan membawa kepada kejatuhan PR kelak.

“PKR yang lemah akan membawa kepada Pakatan yang lemah kerana Anwar adalah ketua yang dilantik... beliau sepatutnya mengikut keputusan (dibuat), dia sepatutnya berkecuali memandangkan beliau perdana menteri Pakatan (jika berkuasa),” katanya lagi.

Bagaimanapun Anwar dengan ketara kelihatan mengorbankan apa sahaja termasuk sokongan masyarakat India, Melayu dan juga mereka dari Sabah dan Sarawak untuk menaikkan Azmin.

“Jadi beliau terus berbuat demikian, PKR akan musnah dan begitu juga Pakatan kemudian,” kata beliau.

Kelmarin, pemimpin-pemimpin PKR menegaskan parti sanggup kehilangan pemimpin-pemimpinnya yang rasis termasuk yang terbaru Gobalakrishnan yang mengumumkan keluar parti itu Sabtu lalu.

Pengarah Komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, Gobalakrishnan baru-baru ini telah menuduh berkali-kali bahawa parti komponen Pakatan Rakyat itu meminggirkan masyarakat India.

“Sebelum ini, Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Nordin (juga) menuduh PKR mengabaikan masyarakat Melayu.

“Tuduhan-tuduhan bercanggah ini membuktikan bahawa pemimpin yang masih terperangkap dengan mentaliti perkauman tidak sesuai berada dalam PKR, yang merupakan parti politik pelbagai kaum yang progresif,” kata beliau.

Gobalakrishnan, 50, mengisytiharkan dirinya keluar PKR Sabtu lalu dan menjadi Ahli Parlimen Bebas.

Gobalakrishnan berkata, “saya sudah fed up (bosan) dengan Anwar serta Azmin, yang kini telah mengawal 100 peratus pentadbiran PKR.”

Katanya beliau bersama beberapa orang temannya terdiri daripada peguam, jurutera, doktor dan lain-lain akan menubuhkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memperjuangkan dan menjaga kepentingan pengundi di kawasan Parlimen Padang Serai.

Katanya, amat sesuai sekali pemimpin seperti Gobalakirshnan yang masih lagi terperangkap dengan mentaliti lapuk untuk keluar parti.

“Rakyat akan menilainya dalam pilihan raya umum akan datang dan PKR sebagai parti politik pelbagai kaum yang progresif akan terus bergerak ke hadapan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Gobalakrishnan berkata PR seharusnya memutuskan “apa yang perlu dilakukan dengan Anwar” dan bertanya kepada ketua umum itu mengapa beliau memberikan begitu banyak ruang kepada bekas setiausaha sulitnya.

Katanya, pemimpin-pemimpin PR juga seharusnya mempertimbangkan untuk memberitahu Azmin bahawa beliau harus meninggalkan politik demi kebaikan semua.

“Beritahu beliau supaya lebih baik jadi ahli perniagaan kerana sekarang keseluruhan ekonomi Selangor dikuasai Azmin dan kroni-kroninya,” kata beliau.

“Jika pemimpin-pemimpin Pakatan masih merasakan Anwar masih diperlukan dan masih relevan, maka mereka harus memintanya memilih antara Azmin dan Pakatan,” katanya.

Katanya, jika Anwar tidak sanggup untuk membiarkan Azmin pergi, maka beliau pula harus meninggalkan politik dan PR.

Malah kata beliau, pentadbiran Selangor juga sudah mula “tunggang-langgang” disebabkan peranan Anwar-Azmin dan mendakwa rasuah kini didapati di semua peringkat.

“Rasuah tidak semestinya dalam bentuk rasuah secara langsung... ia juga dalam bentuk kronisme dan nepotisme, apabila perkara ini diperkenalkan, maka datanglah rasuah,” katanya lagi.

Anwar merupakan penasihat ekonomi Selangor manakala Azmin merupakan Adun Selangor dan ketua PKR negeri itu. 

TMI

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List