BN dah pulih, Pilihanraya Sarawak April.......???

on Mar 10, 2011

Keputusan pilihanraya kecil DUN N27 Merlimau, Melaka dan N28 Kerdau, Pahang memang sudah dijangka lebih awal oleh pemerhati-pemerhati politik. BN menang besar di DUN Merlimau dengan majoriti 3,643 undi dimana calon BN, Roslan Ahmad mendapat 5,962 undi, manakala calon PAS, Yuhaizad Abdullah memperolehi 2,319 undi. 

BN turut menang pilihan raya kecil DUN Kerdau dengan majoriti 2,724 undi dimana calon BN, Syed Ibrahim Syed Ahmad memperolehi 5,060 undi, menewaskan calon PAS yang mendapat 2,336 undi.

Di Kerdau, majoriti kemenangan BN di situ juga menunjukkan pertambahan hampir 70 peratus berbanding majoriti yang diperolehi BN sebanyak 1,615 undi pada 2008 dan dapat  mengembalikan tahap sokongan yang dinikmatinya pada pilihan raya umum 2004 di mana parti itu mendapat majoriti sebanyak 2,565 undi. Manakala Di Merlimau, majoriti itu lebih tinggi berbanding dengan 2,154 undi pada 2008. Bagaimanapun, ia masih rendah berbanding dengan majoriti BN pada 2004 sebanyak 5,087.

Setelah 16 siri pilihanraya kecil diadakan, saya tidak pasti sama ada akan berlaku atau tidak lagi pilihanraya kecil selepas ini memandang masa berbaki selepas 3 tahun persidangan DUN pertama  selepas Pilihanraya umum ke-12, Mac 2008 masih ada kira-kira sebulan lebih lagi.

Tidak ada pilihanraya kecil DUN jika berlaku kekosongannya selepas tarikh berikut, di Penang (20hb. April), Melaka dan Johor (21hb. April), Perak dan Negeri Sembilan (25hb. April),  Perlis dan Kelantan (28hb. April), Sabah (30hb. April), Terengganu (6hb. Mei), Pahang (20hb. Mei) dan Selangor (21hb. Mei).

Jika tidak ada lagi PRK selepas ini bagi penggal PRU ke-12, bermakna ianya kurang 1 daripada 17 PRK yang diadakan dalam penggal PRK ke-8 pada tahun 1990 dan melebihi 1 daripada 15 PRK yang diadakan sepanjang PRK ke-9 pada tahun 1995. Dalam penggal ke-10 (1999), 9 PRK  diadakan dan 6 PRK sahaja diadakan pada penggal ke 11 (2004).

Sebelum tahun 2008, walaupun banyak PRK diadakan tetapi ianya bukanlah menjadi fenomena dan mimpi buruk kepada parti pemerintah, BN. Walaupun begitu, pada tahun 1990 dan 1999 kedudukan BN sedikit tergugat, sebelum pulih semula pada tahun 1995 dan 2004.   
   
Sebagaimana yang saya tulis dalam ruangan ini beberapa minggu yang lepas, tirai pilihanraya kecil pada 2011 merupakan ujian kepada BN (UMNO) pula sama ada mampu mengekalkannya atau pun tidak. BN (UMNO) memulakannya dengan baik bila ianya berjaya mengekalkan kerusi DUN Tenang, Johor (Januari, 2011) Sekarang berjaya mengekalkan Merlimau, Melaka  dan Kerdau, Pahang pula. 

Manakala bagi 6 kerusi DUN dalam PRK pada tahun 2009 sebelum itu, semua parti mengekalkan kerusi DUN masing-masing, iaitu PKR bagi DUN Bukit Selambau (April, 2009) dan Penanti  (Mei, 2009) dan PAS pula mengekalkan Manek Urai ((Julai, 2009) dan Permatang Pasir (Ogos, 2009) serta BN pula mengekalkan Batang Ai (April, 2009) dan Bagan Pinang (Oktober, 2009). Nasib tidak menyebelahi PR, bila PAS kecundang kepada BN (UMNO) dalam PRK DUN Galas (November, 2010).

Tahun 2009 bolehlah diistiharkan tahun pilihanraya kecil kerana sepanjang tahun tersebut sebanyak 8 pilihanraya kecil diadakan melibatkan 2 kerusi parlimen dan 6 kerusi DUN. PAS berjaya merampas kerusi Parlimen Kuala Terengganu daripada UMNO (BN)  dalam pilihanraya kecil diadakan pada bulan Januari, 2009 dan mempertahankan kerusi parlimen Bukit Gantang dalam pilihanraya kecil pada bulan April, 2009.

Mulai tahun 2010, daripada 3 pilihanraya kecil Parlimen dan satu pilihanraya kecil DUN  keadaan tidak lagi menyebelahi PR dan pencapaian BN menjadi semakin baik. BN (MIC) berjaya merampas kerusi parlimen Hulu Selangor (April, 2010) dari PKR tetapi BN (SUPP) kecundang di kerusi parlimen Sibu (Mei, 2010) kepada DAP serta BN (PBS) berjaya mempertahankan kerusi parlimen Batu Sapi (November, 2010).

Daripada 16 PRK ini, PR bermula dengan baik, tetapi BN mengakhir dengan baik. Setelah 16 siri PRK, BN berjaya memenangi 8 kerusi, iaitu Batang Ai (Sarawak), Bagan Pinang (Negeri Sembilan), Hulu Selangor (Selangor), Galas (Kelantan), Batu Sapi (Sabah), Tenang (Johor), Merlimau (Melaka) dan Kerdau (Pahang). Manakala PR juga memenangi 8 kerusi, iaitu Permatang Pauh (Pulau Pinang), Kuala Terengganu (Terengganu), Bukit Gantang (Perak), Bukit Selambau (Kedah), Penanti (Pulau Pinang), Manek Urai (Kelantan), Permatang Pasir (Pulau Pinang) dan Sibu (Sarawak).  

Sepintas lalu kekuatan kedua-dua pihak masih lagi seimbang antara BN dan PR walaupun kelebihan sentiasa memihak kepada BN dalam beberapa siri pilihanraya kecil yang terakhir pada tahun 2011 seperti di Tenang (Johor), Merlimau (Melaka) dan kerdau (Pahang) yang merupakan kubu kuat mereka.

Pilihanraya Sarawak 9hb April, 2011?

Sehari sebelum pilihanraya kecil Merlimau dan Kerdau, BN Sarawak telah mengadakan konvensyennya dengan dihadiri oleh lebih 5 ribu perwakilan daripada 4 parti BN Negeri, iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakya Bersatu Sarawak (SUPP), Pari Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP). Sekarang ini BN menguasai 62 daripada 71 kerusi DUN Sarawak.

Pilihan raya negeri terakhir diadakan pada 2006 dengan DUN dibubarkan pada 24 April manakala penamaan calon 9 Mei dan pengundian 20 Mei. Mandat untuk Dewan Undangan Negeri Sarawak akan berakhir pada 24hb. Julai akan datang. Beberapa pemerhati politik dan media tempatan telah mula membuat ramalan bahawa Ketua Menteri, Tan Sri Taib Mahmud akan membubarkan DUN dalam jangkamasa terdekat setelah perkembangan positif dalam beberapa siri PRK yang disertai oleh BN kebelakangan ini.

Ramalan yang cukup popular sekarang ini, pilihanraya Sarawak akan diadakan pada 9hb. April, 2011. Laporan The Star hari ini (2 Mac) menyebut DUN Sarawak akan dibubarkan pada 19 Mac dan kemungkinan hari pengundian pula 9 April.
   
caduk dari :-  http://www.detikdaily.net



0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List