Di sebalik lumpuhnya tentera udara Gaddafi

on Mar 28, 2011

REVOLUSI di Libya berlaku selepas kejayaan revolusi di Tunisia dan di Mesir. Muammar Gaddafi telah menyaksikannya dan telah mempelajarinya.
Dia telah melihat Zine Al Abidene Ben Ali dan Hosni Mubarak. Mempertahankan diri pun tak selamat, menyerah seperti tuntutan para demonstran pun tidak selamat.

Komen Gaddafi sebelum tercetus revolusi di Libya, tidak mungkin tercetus revolusi di Libya seperti di Tunisia dan di Mesir kerana rakyat Libya mengasihinya.

Tidak sampai seminggu lepas dia berkata, rakyat Libya pun bangun hingga berjaya menguasai sebahagian bandar besar di Libya kecuali di Tripoli.

Gaddafi rupanya sudah tertipu dengan rakyatnya sendiri. Ketika dia menyangka rakyat Libya menyayanginya, rupanya sebahagian besar dari mereka membencinya.

Ketika kebanyakan kota besar jatuh ke tangan pemberontak, dia masih memberitahu rakyat Libya dan penduduk dunia, rakyat Libya masih menyayanginya. Yang ramai membantah itu, mengikutnya, adalah orang yang dihasut oleh Al-Kaedah.

Dia pura-pura percaya rakyat bersamanya ketika dia hanya masih menguasai Tripoli.

Rakyat yang menunjuk perasaan itu tidak bersenjata. Dia dapat bertahan di Tripoli kerana rakyat tidak bersenjata, sedang dia menguasai senjata. Sekiranya dia tidak bersenjata, dipercayai sudah lama penduduk menguasai Tripoli seperti kota-kota lain.

Kota-kota lain jatuh ke tangan orang yang tidak bersenjata kerana tentera yang menguasai senjata tidak mahu menggunakan senjata, bahkan mereka berpaling tadah menyertai rakyat yang memberontak.

Penduduk dan tentera di Tripoli mengaku setia kepadanya kerana dia berada di situ dan dia dikawal oleh tentera upahan yang mengancam sesiapa saja yang tidak setia kepadanya.

Dia enggan memenuhi tuntutan rakyat supaya berundur kerana dia menyangka dia masih disayangi rakyat tetapi dia mengaku akan menentang kebangkitan itu hingga ke laki-laki terakhir dan perempuan terakhir.

Ini bererti dia bersedia untuk berperang dengan rakyatnya sekali pun dia tahu rakyat sudah tidak bersamanya lagi. Dan sekarang dia sudah pun mengerahkan tentera yang setia kepadanya untuk mematahkan daerah yang sudah jatuh ke tangan pemberontak dan menggunakan pesawat pejuang yang ada untuk mengebom bandar yang menentangnya.

Tentera yang berpaling tadah kini mulai membekalkan senjata yang ada kepada pemberontak dan menubuhkan pasukan tentera rakyat, memberi latihan asas peperangan bagi menentang dan membebaskan Tripoli daripada penyokong Gaddafi dan bagi menangkis kiranya tentera Gaddafi cuba menyerang kawasan yang sudah dibebaskan.

Agak sukar bagi rakyat menghadapi Gaddafi dalam waktu yang singkat kerana ia menguasai tentera udara. Ia boleh menggunakan pesawat pejuang untuk menentang rakyat.

Gaddafi kini cuba bertahan dengan sokongan yang rapuh oleh orang yang mengaku setia kepadanya. Dia tidak dapat mengagak berapa lama golongan yang sudah jadi minoriti itu boleh bertahan menentang penentang yang majoriti.

Jika menteri dan diplomatnya sudah berpaling tadah, maka tiada jaminan orang yang mengaku setia itu akan kekal bersamanya. Mereka juga mahu menikmati udara kebebasan yang mulai dirasa oleh mereka yang berjaya membebaskan diri dari kegerunan Gaddafi.

Gaddafi tidak teragak-agak untuk menggugurkan bom ke atas penentangnya bagi mengekalkan kuasanya. Dia sedia menumpah darah hingga tinggal dia dan keluarganya.

Dia boleh menjadikan Libya padang jarak dan padang terkukur kerana dia ada kapalterbang. Ini mendorongkan rakyat minta bantuan asing khususnya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Tentunya Amerika dan Eropah boleh mengambil kesempatan untuk campur tangan. Gaddafi suka kalau kuasa asing campur tangan bagi dijadikan alasan betapa yang menentangnya itu adalah kuasa asing.

Tetapi rakyat Libya yang memberontak itu menolak campur tangan Amerika dan Nato seperti di Iraq dan di Afghanistan. Yang mereka mahu sekadar sekatan kepada Gaddafi menggunakan ruang udara bagi mengebom rakyat. Guna apa jua cara supaya Gaddafi tidak dapat menggunakan pesawat.

Gaddafi boleh menentang orang yang menentangnya tetapi jika yang menentangnya adalah seluruh rakyat, maka Gaddafi tidak boleh menjadi pemimpin kepada makhluk yang bukan manusia atau rakyat yang amat minoriti.

harakahdaily

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List