FACEBOOK DAN TEMAN MAYA........

on Mar 20, 2011




Iya nya terjadi kepada kedua dua insan bernama lelaki dan wanita. Tapi kisah kali ini di fokaskan oleh wanita terhadap lelaki...... Renungkan lah.....


Terkejut  membaca Utusan Malaysia 4 Mac lalu mengenai kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim bahawa setiap 15 minit ada pasangan suami isteri bercerai.
Lebih mengejutkan apabila memikirkan antara perceraian berpunca daripada isteri atau suami asyik melayan 'teman maya' di laman sosial Facebook.

Terpanggil dengan isu ini, secara kebetulan saya menerima panggilan telefon daripada seseorang  yang ingin berkongsi kes yang sama. 

Wanita itu yang saya namakan Nana (bukan nama sebenar) dan suaminya Radzi (bukan nama sebenar) masih hidup tetapi si isteri sudah memfailkan permohonan cerai di mahkamah.

Kepada pembaca, Nana ingin berkongsi cerita sedih akibat cinta maya suaminya dengan seorang pelayan kelab malam.

Ikuti luahan perasan Nana.

"Saya berusia lewat 20-an, sebaya dengan suami dan suri rumah sepenuh masa, mempunyai tiga anak berusia dua, empat dan lima tahun.

"Suami tidak bekerja tetap. Sesekali dia melakukan pelbagai kerja untuk menampung hidup kami sekeluarga. Saya bukan berasal daripada orang senang tetapi mempunyai sedikit wang hasil peninggalan ayah. Saya ada tiga adik beradik, seorang kakak dan seorang adik lelaki.

"Sebagai suri rumah, saya tentunya ada kekurangan dalam serba serbi. Saya seorang yang suka bergaya. Memang saya amat menjaga penampilan sejak zaman anak dara lagi sehingga sekarang.
"Saya juga mengaku saya seorang isteri yang lurus bendul, taat kepada suami dan tidak pernah membantah atau meragui kasih sayang dan kesetiaannya.

"Dalam erti kata lain, memang saya sayang dan percaya suami seratus peratus. Tidak sangka sikap baik saya itu memakan diri. Suami pula buat hal dan bermain kayu tiga di belakang saya.
"Kali pertama buat hal saya maafkan. Dia janji tak buat lagi.

"Tetapi perbuatan menipu saya baru-baru ini menghancurkan seluruh hidup saya. Saya tak percayakannya lagi.
"Semuanya bermula apabila pada suatu hari dia beritahu saya hendak ke Jakarta ada urusan kerja. Saya terima alasannya mahu membantu seorang kawan membuat kerja-kerja kontraktor di sana. Saya tak banyak soal tentang pemergiannya.

"Suatu hari seorang kawan telefon beritahu dia terbaca Facebook (FB) suami saya yang bercerita keseronokan bersama kekasihnya di Jakarta.

"Kawan saya tanya ke mana suami saya pergi. Tanpa berselindung saya beritahu suami ke Jakarta, bekerja. Dia senyum sambil gelengkan kepala seperti ada yang disembunyikan.
"Saya rasa tak sedap hati dan minta bercerita lanjut. Dia ajak ke rumahnya hendak tunjuk bukti.
"Dia buka FB, tunjuk sesuatu yang buat saya hampir pengsan. Memang betul gambar yang saya nampak itu suami saya.

"Dek kerana buta IT (teknologi maklumat), kawan saya itu mengajar saya bagaimana menggunakan FB. Saya tengok status - in a relationship with… saya belek lagi, breakfast with my love in Hotel H.
"Hati saya berdegup kencang. Buat lagi suami aku ni! Banyak gambar mereka dalam aksi menyakitkan mata dan hati.

"Bagi menenangkan fikiran saya keluar rumah beberapa hari sementara menunggunya pulang. Saya nekad hendak bersemuka.

"Apabila balik, dia buat muka selamba, macam betul-betul pergi kerja. Penatlah, letih dan macam-macam. Saya tak beri peluang, terus gasak soalan tentang perempuan yang dibawanya ke Jakarta.
"Tergamam dia, terkebil-kebil hendak menjawab. Dia tunduk kepada desakan saya hendak berjumpa perempuan itu.

"Perempuan itu tidak tahu malu itu. Dia selamba kata 'bertepuk sebelah tangan takan berbunyi'.
"Dia mengaku, bukan suami saya seorang saja yang dia pernah tidur. Padanya, tidur dengan suami orang bukan perkara besar.

"Mendidih darah saya dengan perempuan kelab malam itu. Dia kurang sopan dan buat muka tak salah sambil merokok.
"Bayangkan perasaan anda jika berada di tempat saya. Mengaku baru berkenalan tiga bulan, berani ikut ke luar negara.
"Yang pelik, suami saya bukan ada duit, macam mana bawa perempuan itu makan angin?
"Selama ini saya dan mak yang banyak tolong dia. Duit ringgit, barang kemas kami habis.

"Apabila kes ini terjadi, saya minta diceraikan tetapi dia enggan. Sebab mak saya dan kami adik beradik sudah bagi amaran jika dia tidak mahukan saya lagi sebagai isteri dia boleh tinggalkan tetapi dengan syarat, selesaikan dulu semua hutang dengan mak.

"Syarat itu menekan dia. Dia tidak mahu lepaskan saya kerana dia tiada duit membayar hutang.
"Baru enam tahun usia perkahwinan. Tak sangka perkahwinan kami berakhir begini. Saya tidak nampak dia akan berubah dan kembali ke pangkal jalan. Hidupnya hanya menipu saya, mak dan adik beradiknya.

"Saya bersyukur kerana ketika saya sedih, mak dan kakak memberi saya sokongan. Saya tidak tahu apa kesudahannya kisah saya ini tetapi saya berdoa agar Tuhan memberi petunjuk untuk meneruskan kehidupan.
"Saya nasihatkan semua isteri muhasabah diri, jangan percaya seratus peratus kepada suami walaupun dia seorang yang baik.

"Setiap masa kita perlu hati-hati agar tidak 'dijual'. Pada masa sama, gunakan masa yang ada untuk celik IT, belajar dan cari ilmu berkaitan rumah tangga. Sekurang-kurangnya kita tidak mudah ditipu.
"Sebelum menutup cerita, saya menasihatkan wanita terutama para isteri supaya celik mata, buka minda dan tengok keliling apa yang berlaku. Yang baik jadikan teladan yang buruk jadikan sempadan.
Sejam berbual, nyata Nana amat kecewa apa yang berlaku. Enam tahun hidup bersama, Nana diuji masalah yang amat berat.

Namun saya yakin Nana menerimanya dengan reda dan berharap semuanya akan selesai dengan cara baik. Tidak ada masalah yang tidak dapat diselesaikan.

Menutup kata, kasih sayang seorang isteri ibarat sumber air yang mengalirkan cinta dan kasih yang meluap kepada suaminya berbeza dengan perjalanan seorang suami di padang pasir untuk mencari sepohon indah yang tidak mungkin ditemuinya melainkan kesunyian! 
Salam.


0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List