HELAH Polis Untuk Tangkap Raja Petra TERBONGKAR

on Apr 24, 2011

Peguam dan isteri Raja Petra Kamarudin mengesyaki langkah polis Malaysia mahu menemu bual blogger kontroversial itu di premis kedutaan negara di Bangkok kemungkinan bertujuan membawa dia balik ke Malaysia dan menahan semula di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Kakitangan Kedutaan Malaysia dan polis Malaysia telah mendampingi Raja Petra di Florida Hotel, Bangkok untuk mendapatkan keterangan beliau malam tadi.

Bagaimanapun urusan itu tidak menjadi sehingga awal hari ini.


Peguam Raja Petra, Haris Ibrahim (gambar) berkata beliau, seorang lagi peguamnya Amarjit Sindhu dan isteri blogger itu Marina Abdullah tidak begitu “senang” untuk melihat dia pergi ke Kedutaan Malaysia untuk diambil keterangan.

Mereka, kata Haris, membuat andaian sedemikian memandangkan pihak polis pernah mengambil keterangan daripada Raja Petra sebelum ini iaitu mengenai akuan bersumpah (SD) ketika ditahan di bawah ISA tiga tahun lalu.

“Amarjit dan saya tidak begitu selesa dengan idea Raja Petra pergi ke kedutaan untuk memberi kenyataan,” kata Haris dalam entri blognya hari ini.


“Sementara itu, sebelum majlis dialog bermula (sempena pelancaran semalam), kedua-dua Amarjit dan saya menerima panggilan demi panggilan dan SMS daripada orang ramai dari tanah air mengatakan bahawa sudah ada berita media bahawa RPK akan disoal siasat di kedutaan.


“Ada juga khabar angin bahawa dia sudah ditahan atau akan ditahan,” kata Haris lagi.

Kata Haris beliau dan Amarjit juga telah memujuk Raja Petra daripada pergi ke kedutaan memandangkan polis boleh datang ke hotel untuk mengambil kenyataan di mana kedua-dua mereka akan hadir.

“Kami menyuarakan kekhuatiran bahawa kedutaan, di bawah undang-undang antarabanga dianggap sebagai bumi Malaysia, kami bimbang keseluruhan (tujuan) urusan mengambil kenyataan ialah membawa dia ke sana (ke kedutaan), menahan dan kemudian, dengan ataupun tanpa bantuan pihak berkuasa tempatan, membawanya ke Kamunting,” katanya lagi. Kata Haris, Raja Petra “seperti biasa” berdegil tidak mahu menerima nasihat, sebaliknya mahu pergi ke Kedutaan Malaysia untuk diambil kenyataan atas tanggapan bahawa bertujuan membantu siasatan berkaitan individu-individu yang dinamakan dalam temu bual dengan TV3 dua minggu lalu.

Raja Petra pernah diambil keterangan mengenai SDnya tiga tahun lalu.

“Ketika sesi soal jawab, salah seorang hadirin juga berhujah agar Raja Petra tidak pergi ke kedutaan. ‘Jika anda pergi ke sana, mereka akan menahan anda," katanya lagi.

Kata Haris lagi, Amarjit mengugut untuk memutuskan hubungan dengan Raja Petra jika masih berdegil untuk pergi ke kedutaan.

“Marina (pula) berkata jika dia pergi, dia akan menempah tiket untuk keluar dari Bangkok malam itu juga (semalam). Akhirnya Raja Petra berlembut,” katanya.

“Keempat-empat kami pergi bertemu dengan (kakitangan kedutaan, Abdul) Hamid (Bulat) dan RPK memberitahunya bahawa dia bersetuju untuk pergi ke kedutaan tetapi Marina, Amarjit dan saya tidak bersetuju kepada urusan ini dan serahkan kepada Hamid untuk memujuk mereka.


“Saya memberitahu Hamid bahawa tiada apa yang dia (Hamid) boleh kata untuk memujuk kami daripada (berubah) pendirian kami,” kata Haris.

Haris seterusnya berkata, dia memberitahu Hamid bahawa Amarjit dan dia telah menasihatkan Raja Petra, yang telah menerima nasihat agar tidak pergi ke kedutaan.

“Kami memberitahu bahawa RPK akan memberikan kerjasama penuh dan kenyataannya kepada polis di hotel di mana dia dan Marina tinggal,” katanya.

Haris berkata, Hamid memberitahunya bahawa dia akan kembali ke kedutaan dan akan membawa pegawai-pegawai polis ke hotel.

“Dengan itu, RPK, Marina, Amarjit dan saya menuju kembali ke hotel.

“Sekitar 10.15 malam, Hamid, ACP Aziz dan seorang lagi pegawai yang memperkenalkannya sebagai Tony, berada di hotel. Tony, saya dimaklumkan kemudian bahawa adalah pegawai polis bertugas di kedutaan,” katanya lagi.

“RPK, Amarjit dan saya bertemu dengan mereka di lobi hotel,” katanya.

Kata Haris, anggota polis terbabit cuba memujuk agar kenyataan diberikan di kedutaan sambil menimbulkan aspek status penerimaan di mahkamah jika kenyataan tidak diambil di kedutaan.

“Kedua-dua Aziz dan Hamid memberi jaminan bahawa RPK akan dilepaskan sebaik sahaja kenyataan diambil. Amarjit dan saya tidak tertarik dengan jaminan mereka dan tidak diyakinkan untuk menasihatkan RPK agar datang ke kedutaan untuk memberi kenyataan,” katanya.

Malah Haris juga menulis dia telah meminta Aziz mengenai bentuk kesalahan disiasat, di mana kenyataan diperlukan daripada RPK.

“Dia menjawab bahawa ia berkaitan kesalahan di bawah Seksyen 203 Kanun Keseksaan. Saya bertanya apa itu (yang dimaksudkan),” kata Haris sambil berkata. “Aziz kemudian berkata ia berkaitan dengan kenyataan palsu.”

Haris menambah, dia bertanya sama ada ia berkaitan dengan kenyataan dalam temu bual TV3 atau SD pada 2008.

Haris juga berkata, Amarjit juga bertanya untuk melihat laporan polis dibuat, yang menyebabkan polis memutuskan untuk menjalankan siasatan.

“Aziz berjanji untuk menunjukkan (salinan) laporan itu di kedutaan jika kami mengikut mereka ke sana.


“Kedua-dua Amarjit dan saya dengan segera menerima tawaran tetapi menekankan bahawa RPK akan kekal berada di hotel manakala kedua-dua kami akan pergi ke kedutaan untuk melihat kandungan laporan polis,” katanya lagi.

“Aziz juga cuba membuat pusingan ‘U’. Kami menekan untuk melihat laporan polis bagi membolehkan kami menasihati RPK jika selamat untuk hadir di kedutaan. Akhirnya Aziz berlembut,” katanya.

Mereka pergi ke pejabat kedutaan sekitar 11 malam.

“Di sini (kedutaan) kami dimaklumkan bahawa Aziz tiada salinan laporan polis dan sedang menunggu satu salinan dari KL.


“Ini adalah pengesahan pertama yang serius bagi kami berdua, Amarjit dan saya bahawa keseluruhan urusan mahu mendapatkan kenyataan RPK di kedutaan adalah untuk membolehkan beberapa agenda lain.


“Mengapa pegawai penyiasat datang ke Bangkok untuk menyoal siasat seorang saksi bagi satu kemungkinan (perbuatan) jenayah dan tanpa salinan aduan polis bersamanya. Keseluruhan adalah jelik,” katanya lagi.


Kredit : TMI



0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List