MP Badrul, Peguam Dituduh Hina Speaker DUN Selangor...

on Apr 3, 2011




ADUN Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah serta peguam beliau, Mohd Hafarizam Harun akan dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan atas tuduhan menghina Dewan Negeri Selangor.

Dalam pembentangan usul menghadapkan Badrul ke jawatankuasa tersebut, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata surat tersebut yang ditujukan kepada Speaker DUN, Datuk Teng Chan Kim mengandungi unsur-unsur yang tidak senonoh, biadab serta bertujuan mengugut.

"Mereka secara berasingan atau bersama melakukan kesalahan menghina Dewan dengan menghantar sepucuk surat bertarikh 29 Mac 2011 kepada Tuan Speaker Dewan ini yang berbahasa amat tidak senonoh, biadab dan mengugut," tegas Khalid.
Beliau semasa membentangkan usul itu berkata, surat mengenai isu kes mahkamah tentang status kerusi DUN Pelabuhan Klang oleh Badrul dan Hafarizam itu dihantar kepada Teng Selasa lalu semasa sesi DUN masih bersidang.

"Tuan Speaker dinamakan di dalam surat berkenaan bukan dalam kapasiti peribadi tetapi dalam kapasiti sebagai Speaker Dewan. Notis yang begitu tidak senonoh, kurang ajar dan bersifat mengugut dengan niat membawa keaiban, menghina, mengejek Dewan atau mengurangkan kuasa dewan jelas merupakan satu tindakan menghina Dewan, terutamanya apabila notis tersebut dihantar semasa persidangan Dewan kali ini," kata beliau lagi.

Khalid yang menemui wartawan selepas menangguhkan DUN semalam memberitahu, Teng telah melucutkan jawatan Badrul sebagai ADUN Pelabuhan Klang selepas berpuashati bahawa Badrul sememangnya tidak hadir ke sidang DUN lebih daripada tempoh yang sepatutnya.

Badrul pula telah membawa isu tersebut ke makhamah serta meminta kos yuran guaman sebanyak RM40 ribu daripada Chan Kim dan menghantar notis mengatakan sekiranya tidak dibayar, badrul akan mengambil tindakan memfailkan bankrupsi terhadap Chan Kim.

"Kalau tidak dibayar, dia menjalankan usaha bankrupsi. Dari segi etika perundangan, bankrupsi ini langkah paling akhir dalam menuntut bayaran, selalunya notis dihantar dengan mengatakan 'kalau tidak membayar, akan diambil tindakan selanjutnya'. Tetapi surat itu dikeluarkan semasa persidangan dewan dan persidangan dewan, dia tidak menghantar surat kepada Teng sebagai Teng sendiri sebaliknya beliau ketika itu berperanan sebagai speaker," jelas beliau.

Tambah beliau, tindakan Badrul jelas menampakkan keegoan beliau yang tidak menghormati dewan serta kerajaan negeri Selangor.

Khalid menambah, jawatankuasa itu nanti akan dipengerusikan oleh Adun Kota Alam Shah, M Manoharan menggantikan Teng.


0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List