'Saya sudah putus haid' !!!

on Apr 7, 2011

APABILA wanita sudah menginjak usia 40-an, ada sebilangannya jadi makin pelupa, mata kian kabur, kerap 'naik angin' atau murung tidak tentu pasal, selain badan cepat rasa letih, berpeluh, sendi lenguh sana sini dan kurang cergas

Semua gejala itu pula jadi bahan jenaka dan seloroh rakan sama ada wanita atau lelaki yang sinis melontarkan kata-kata kepada mereka. Ada yang kata, “Dah nak menopaus la tu’ atau ‘faktor usia’ dan macam-macam lagi.
Senario itu adalah perkara biasa. Semua wanita, hakikatnya akan mengalami menopaus atau putus haid, cuma gejala dan pengalaman dihadapinya saja berbeza antara mereka.

Jika usia melebihi 45 tahun atau lazimnya 50 tahun, usia itu semakin digeruni wanita kerana akan berhadapan dengan gejala menopaus. Mereka terpaksa berhadapan dengan kehidupan menopaus yang lazimnya akan mengurangkan banyak aktiviti seks akibat tisu faraj yang menjadi semakin tipis, kering, sakit apabila ‘bersama pasangan’ sehingga ada kalanya menjejaskan kerukunan rumah tangga.

Selalunya, apabila isteri semakin lesu dan tiada nafsu seks, mulalah sang suami ‘langkah panjang’ mencari alasan dan waktu paling tepat untuk berselingkuh dengan wanita lain yang lebih muda, seksi dan cantik serta hebat menawarkan khidmat seks.

Ini semua tidak harus membuatkan wanita takut menempuh saat itu. Kini, jangka hayat wanita Malaysia sudah meningkat sehingga 80 tahun berbanding lelaki sekitar 75 tahun. Justeru, mereka perlu menjalani kehidupan itu yang lebih baik dan menggembirakan meskipun berada garisan menopaus.
Usia wanita menopaus ialah sekitar 45 tahun hingga 55 tahun. Berdasarkan kajian usia lazim menopaus pada 50 tahun. Namun, ia boleh berlaku lebih awal khususnya kalangan wanita yang mempunyai sejarah keluarga menopaus awal, merokok, menjalani kemoterapi atau radioterapi untuk merawat sebarang penyakit kanser.

Peringkat menopaus yang berlainan iaitu pramatang (wanita bawah usia 40 tahun); awal (50 tahun hingga 59 tahun), lewat (60 tahun) serta menopaus pembedahan dan perubatan.

Isyarat atau gejala nyata kemungkinan berhadapan dengan situasi menopaus ialah apabila kitaran haid tidak tetap, hangat memerah (rasa panas dan berpeluh), sukar tidur malam dan perasaan murung. Apa yang nyata sepanjang menopaus, hormon estrogen dan progesteron semakin berkurangan, yang ia boleh menjejaskan gaya hidup wanita seperti kehilangan nafsu seks.

Pakar Obstetrik dan Ginekologi Akademi Perubatan Malaysia (COGAMM) yang juga Pengerusi Jawatankuasa Garis Panduan Amalan Klinikal, Dr Ong Hean Choon, berkata ramai wanita kurang pengetahuan mengenai menopaus dan tidak memahami gejalanya.

“Mereka perlu tahu bahawa ia bukan sejenis penyakit, tetapi hanya membabitkan perubahan hidup wanita,” katanya.

Beliau berkata, Terapi Penggantian Hormon (HRT) adalah pilihan paling berkesan untuk menangani gejala menopaus. Ada banyak data klinikal yang menunjukkan HRT dimulakan di peringkat awal menopaus adalah berkesan dan selamat.

“HRT wajar menjadi sebahagian daripada pendekatan menyeluruh untuk menguruskan menopaus. Aspek lain dalam pengurusan menopaus termasuk mengubah gaya hidup, mengamalkan diet betul, bersenam, berhenti merokok dan mengelak pengambilan alkohol.

“Dua jenis HRT utama ialah Terapi Estrogen dan Terapi Estrogen-Progestin. Setiap individu memerlukan terapi atau dos yang berlainan.

“HRT memberi manfaat kepada wanita menopaus dengan mengurangkan masalah jangka pendek hingga pertengahan dan melindungi mereka daripada masalah jangka panjang. Faktor utama menghalang wanita daripada memulakan HRT ialah kebimbangan terhadap kanser payu dara dan perasaan tidak yakin ia boleh melegakan gejala menopaus,” katanya pada seminar HRT ketika Menopaus di Kalangan Wanita Malaysia, baru-baru ini.

Dr Hean Choon menambah, seperti kebanyakan ubat atau terapi ada beberapa kesan sampingan seperti pendarahan bulanan, tompokan darah tidak tetap, sakit pada payu dara, yang mudah diuruskan berbanding masalah yang ditimbulkan oleh gejala menopaus.

Katanya, HRT tidak boleh menjadikan wanita muda semula tetapi mampu meningkatkan kualiti hidup mereka.

Jawatankuasa CPG sudah meneliti kebanyakan data yang boleh didapati untuk mencapai persetujuan pendapat dan merangka CPG. Input juga diberikan oleh pakar jemputan yang bukan ahli ginekologi tetapi pakar dalam kesihatan ulang, kardiovaskular dan payu dara.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan sebilangan doktor dan orang ramai masih keberatan dan ragu-ragu untuk menggunakannya HRT secara berterusan.

Justeru, COGAMM mengambil inisiatif memulakan projek menerbitkan Garisan Panduan Amalan Klinikal (CPG) yang pertama mengenai Terapi Hormon Semasa Menopaus Kalangan Wanita Malaysia.

CPG itu sebagai garis panduan kepada semua pakar obstetrik dan ginekologi serta mengurangkan sebarang kekaburan mengenai perkara ini. Pelancaran CPG itu adalah kemuncak hasil kerja yang dijalankan selama setahun berasaskan kajian dan data saintifik serta amalan klinikal yang diterima.

Beliau berkata, tiga gejala menopaus paling biasa dan teratas dialami wanita Malaysia ialah sukar tidur, pening kepala dan kurang nafsu seks.

Katanya, antara amalan yang bagus untuk mengurangkan gejala menopaus ialah banyakkan makan kacang soya, sekurang-kurangnya dua kilogram sehari atau minum air soya.

INFO: Menopaus

Usia wanita menopaus

  • Purata umur 49.5 tahun

  • Melayu - 49.5 tahun

  • China - 50 tahun

  • India - 49.9 tahun

  • Sabah - 49.3 tahun

    Masalah menopaus
    Masalah menopaus jangka pendek (enam bulan - dua tahun)

  • Badan panas

  • Berpeluh waktu tidur malam

  • Kurang selera makan

  • Berdebar-debar

  • Sakit kepala

  • Cepat marah

    Masalah menopaus jangka sederhana (dua tahun - lima tahun)

  • Masalah psikologi

  • Keadaan mood turun dan naik

  • Gatal dan luka

  • Masalah kencing

  • Kurang nafsu seks

  • Masalah kulit

    Masalah menopaus jangka panjang 

  • Penyakit jantung

  • Reput tulang

  • Lemah otak

  • Penyakit Alzheimer

  • Penyakit mata seperti rabun

  • Athritis

  • Tidak dapat menahan kencing

    ESTROGEN

  • Mempertahankan fungsi otak.

  • Mencegah gejala menopaus (seperti panas dan berpeluh) dan gangguan murung.

  • Menghasilkan sel pigmen kulit.

  • Ia mempengaruhi kitaran darah pada kulit dan mempertahankan keanjalan kulit.

    PROGESTERON

  • Mengatur putaran haid.

  • Mengembangkan jaringan payudara.

  • Melindungi wanita pasca menopaus terhadap kanser endometrium


  • JAMI'AH SHUKRI


    0 comments:

    Followers

    pop up text

    Blog Archive

    Top Ranking Pro PR

    My Blog List