APA KATA MARINA MAHATHIR

on Jul 17, 2011

Kegagalan menangani dengan baik perhimpunan Bersih 2.0 yang diadakan pada 9 Julai lalu memberikan imej yang buruk kepada kerajaan Malaysia di peringkat antarabangsa, kata Datin Paduka Marina Mahathir.

Marina, anak sulung bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad itu berkata, berbeza dengan kerajaan, "dunia" tidak mempunyai tanggapan yang buruk terhadap rakyat Malaysia yang menyertai perhimpunan tersebut kerana mereka berjuang menegakkan hak mereka - menuntut pilihan raya yang adil dan bebas.


"Ada juga orang yang mendakwa bahawa dunia kini memberikan tanggapan yang buruk kepada Malaysia kerana media asing (dan juga media tempatan) melaporkan hanya mengenai tindakan menembak gas pemedih mata dan meriam air," kata Marina dalam blognya pada 10 Julai lalu. "Saya rasa orang keliru di antara kerajaan dengan rakyat.

"Ya, memang dunia mempunyai tanggapan yang buruk terhadap kerajaan Malaysia kerana gagal menangani dengan baik keseluruhan isu ini. Mereka mempunyai tanggapan yang berbeza terhadap rakyat Malaysia yang memperjuangkan hak mereka."

Marina, seorang aktivis sosial merupakan salah seorang daripada ribuan orang yang berada di kota raya Kuala Lumpur pada Sabtu lalu, berhadapan dengan polis pencegah rusuhan, mempertahankan penyokong-penyokong Bersih dengan mengatakan bahawa mereka berhimpun secara aman dan tidak mencederakan sesiapa atau melakukan sebarang keganasan.

"Apa jua yang difikirkan mengenai isu yang diperjuangkan oleh Bersih, kita semua seharusnya berbangga dengan rakyat Malaysia yang tidak bersikap seperti orang liar, merosakkan harta benda dan mencederakan satu sama lain seperti yang diramalkan.

"Memang terdapat mereka yang cedera dan seorang mati tetapi ia bukanlah disebabkan oleh peserta yang menyertai perhimpunan tersebut. Restoren-restoren dan kedai-kedai di sekitar kawasan terbabit mendapat sambutan hangat kerana orang ramai haus dan lapar," tambah beliau.

Marina berkata, perhimpunan Bersih yang berlangsung Sabtu lepas membuktikan rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, usia dan agama boleh berhimpun bersama atas satu tujuan.

Lebih seribu orang ditangkap pada hari tersebut, dan kekecohan berlaku pada waktu tengah hari apabila polis pencegah rusuhan menembak gas pemedih mata dan meriam air untuk menyuraikan perhimpunan.
 




0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List