Tony Fernandes kini pemilik baru kelab Queens Park Rangers

on Aug 19, 2011





Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes hari ini muncul sebagai pemilik majoriti baru kelab bola sepak Perdana Inggeris, Queens Park Rangers (QPR) dengan memiliki 66 peratus saham.
Menurut laporan The Guardian hari ini, beliau memiliki pegangan itu dengan membelinya pada harga £35 juta (RM168 juta).
Fernandes (gambar) dilaporkan membeli keseluruhan pegangan dimiliki Bernie Ecclestone dan harga itu juga dikatakan sama dengan kadar pelaburan Ecclestone dan rakannya Flavio Briatore pada 2007.
Dengan perkembangan ini, Fernandes menjadi tokoh terbaru dalam senarai ahli perniagaan dari Asia melabur dalam kelab-kelab bola sepak Inggeris. Sebelum ini, bekas Perdana Menteri Thailand yang kini dalam buangan, Thaksin Shinawatra membeli Manchester City dan hartawan Hong Kong Carson Yeung membeli Birmingham City.
“Saya sentiasa mahu terlibat dalam bola sepak dan rayuan sebuah Kelab London seperti QPR, adalah satu peluang yang sukar untuk diketepikan begitu sahaja,” kata Fernandes lagi.
“QPR merupakan berlian mentah dan moga-moga saya boleh menyumbang untuk menjadikannya satu berlian. Saya mahu peminat-peminat bangga dengan apa yang kami lakukan dan terlibat bersama sejauh yang boleh,” kata beliau lagi.
Laporan semalam menyebut beliau bakal membeli saham pemilik Formula 1 Ecclestone yang merupakan pemegang saham utama dalam QPR dengan urus janji itu kemungkinan diumumkan dalam waktu terdekat.
Ecclestone memegang 66 peratus saham kelab itu, bersama-sama hartawan besi dan keluli dari India Lakshmi Mittal, seorang lagi pemegang saham utama dengan 33 peratus dan bekas ketua pasukan Renault Formula 1, Flavio Briatore memiliki satu peratus.
Ecclestone merupakan pemegang saham utama kelab itu sejak lima tahun lepas dan beliau telah sejak sekian lama mahu menjualnya.
Fernandes, yang juga pemilik pasukan Team Lotus Formula 1, menghangatkan lagi spekulasi pengambilalihan itu pada Sabtu lalu apabila beliau menyaksikan kekalahan pasukan itu 4-0 kepada Bolton dari kotak pengarah di Loftus Road.
Wall Streets Journal semalam melaporkan Fernandes bakal membeli 51 peratus pegangan dalam kelab itu daripada Ecclestone dan beliau dikatakan akan membeli saham itu bersama-sama Mittal, yang sudah memiliki sepertiga saham kelab itu.
Sebuah lagi akhbar, Financial Times juga melaporkan Fernandes bakal mengambil alih saham majoriti QPR seawal Isnin tetapi mengingatkan urus janji itu masih belum dimeterai dan mungkin akan tertangguh atau malahan batal berikutan pihak-pihak perlu mencapai persetujuan pada butiran muktahir.
Fernandes, peminat West Ham, telah beberapa kali cuba dan gagal membeli West Ham United, kelab bola sepak utama di timur London.
Minggu lepas, Fernandes menerusi Tune Air telah memperoleh kawalan tidak rasmi Malaysian Airline System dengan memegang 20.5 peratus saham dalam syarikat penerbangan kebangsaan itu menerusi perjanjian pertukaran saham dengan cabang pelaburan kerajaan Khazanah Nasional, yang sebagai balasannya akan memegang 10 peratus saham dalam AirAsia Berhad.
Tahun lepas, Forbes Asia menilai kekayaan peribadi Fernandes sebanyak AS$330 juta (RM982 juta), meletakkannya pada ranking ke-19 dalam senarai orang paling kaya di Malaysia.


0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List