
"Saya tegaskan bahawa komen-komen saya itu sebahagian besarnya berdasarkan pemerhatian dan penilaian saya berhubung sentimen dan persepsi masyarakat Cina susulan kenyataan (Menteri Mentor) Lee Kuan Yew dari Singapura bahawa orang Cina di negara ini dipinggirkan," katanya.

"Jiran kami, kedua-duanya mempunyai masalah dengan orang Cina. Mereka amat sukses. Mereka berjaya dan rajin dan oleh itu, secara sistematik mereka dipinggirkan," kata Lee.
Diplomat Amerika kemudian meminta ulasan dan pendapat Ong yang berkata masyarakat Cina di negara ini memang menyedari bahawa mereka dipinggirkan.
Bagaimanapun dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini hari ini, Ong menafikan bahawa kenyataannya berhubung "saki-baki" dan “sisa serbuk” merujuk kepada projek-projek pembangunan kerajaan.
Katanya, perkara itu adalah sesuatu yang diluahkan oleh masyarakat perniagaan Cina.

Ong mengulas isu itu, selepas Malaysiakini Isnin lalu melaporkan kabel rahsia antara Washington dan kedutaannya di Kuala Lumpur yang didedahkan oleh portal pembocor maklumat Wikileaks memperincikan mesyuarat bekas presiden MCA itu dengan pegawai-pegawai kedutaan.
Menurut kabel itu, Ong yang adalah presiden MCA ketika itu, mengakui bahawa masyarakat Cina di negara ini turut dipinggirkan tetapi tidak boleh mendedahkannya kerana terikat untuk menyokong kerajaan, khususnya Umno yang memerintah negara.

Dalam mempertahankan kenyataan yang dibuatnya kepada diplomat Amerika berkenaan, Ong yang juga ahli parlimen Pandan, berkata beliau memilih tidak menghebohkan apa yang diperkatakannya itu kerana yakin, perkara tersebut akan menimbulkan kegusaran dalam MCA.
"Sepanjang perbualan, pandangan peribadi yang saya luahkan ialah penilaian saya berhubung sokongan masyarakat Cina kepada BN/MCA pada pilihan raya umum ke-12 lalu. Saya langsung tidak optimistik.
"Malangnya, apa yang saya sifatkan sebagai hakisan sokongan masyarakat Cina benar-benar menjadi kenyataan dan berubah menjadi gelombang besar tsunami politik pada pilihan raya umum 2008.”


0 comments:
Post a Comment