JUSA Luar -Sistem Kerajaan Akan Porak-Peranda...?

on Nov 29, 2011



1. Semalam Utusan melaporkan bahawa kerajaan bercadang untuk membenarkan mereka yang di luar skim perkhidmatan awam memohon menjawat Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA). Menurut laporan tersebut mereka yang berpengalaman di sektor swasta boleh memohon menyertai JUSA C dan ke atas. 

2. Ini bermakna sesiapa sahaja boleh dilantik menjawat jawatan dalam kategori JUSA C sehingga ke Ketua Setiausaha Negara tanpa perlu melalui Sistem Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD).

3. Kita dimaklumkan bahawa cadangan ini sebagai sebahagian daripada Program Transformasi Kerajaan (GTP) dalam sektor awam. Kononnya, melalui pengambilan kepakaran tenaga di luar kerajaan maka kerajan akan menjadi lebih baik, cekap dan efektif.

4. Secara peribadi saya tidak bersetuju dengan cadangan ini kerana ia bukan sahaja merendah-rendahkan kualiti PTD kita tetapi juga merosakkan sistem pemilihan dan kenaikan pangkat PTD sedia ada tanpa sebab yang munasabah. 

5. Tidak dinafikan terdapat kelemahan dan kepincangan di kalangan segelintir pegawai kanan kerajaan. Namun proses pembetulan, tindakan disiplin dan tunjuk ajar harus dibuat dalam konteks sistem yang sedia ada.

6. Alasan untuk mendapat kepakaran luar untuk membantu kerajaan adalah sangat lemah kerana bagi sesebuah kementerian yang mempunyai pelbagai isu dan masalah yang tidak mungkin dapat diselesaikan dengan mengambil mereka yang pakar dalam sesuatu bidang. 

7. Tugas para pegawai kanan kerajaan ialah melaksanakan polisi, memberi pandangan dan membantu merangka polisi. Untuk merangka polisi ini adalah tugas mereka sebagai pentadbir untuk mengumpul sebanyak maklumat dan pandangan dari pakar-pakar dalam bidang yang diperlukan untuk sesuatu polisi.

8. Namun untuk melaksana polisi kerajaan kita memerlukan para pegawai kerajaan yang cekap, mahir dan tahu organisasi dalam kerajaan, rangkaian arahan dalam kerajaan dan juga peraturan serta undang-undang yang membabitkan bidang kuasa mereka. Ini tidak mungkin dapat difahami oleh kumpulan luar yang dibawa masuk secara "payung terjun" melalui sistem yang dikatakan akan diperkenalkan dalam sedikit masa lagi.

9. Sebab itu seseorang PTD mengambil masa lama untuk sampai ke jawatan pegawai kanan kerana mereka melalui pelbagai pengalaman kerja di pelbagai peringkat kementerian, jabatan dan organisasi dalam kerajaan bagi membolehkan mereka menimba sebanyak mungkin pengalaman dan pengetahuan. Pengalaman dan pengetahuan inilah kemudiannya akan membantu mereka melicinkan jentera kerajaan dan juga mengawal tata laku mereka sebagai pegawai kanan kerajaan apabila memasuki kumpulan JUSA.

10. Adalah sangat berbahaya kepada pentadbiran kerajaan dan juga individu yang menjawat jawatan tinggi sekiranya mereka tidak memahami dengan cekap segala peraturan, undang-undang dan keadaan dalam organisasi kerajaan. 

11. Jika selama ini Menteri dan Menteri Besar yang baru boleh mendapat tunjuk ajar dan panduan daripada pegawai kanan kerajaan mengenai perjalanan kerajaan, saya khuatir pada masa akan datang kita akan mendapati terdapat keadaan Menteri atau Menteri Besar baru dinasihati oleh mereka yang dibawa masuk dari luar sebagai Ketua Setiausaha atau Setiausaha Kerajaan Negeri. Kedua-dua mereka tidak menguasai peraturan kerajaan dan mungkin boleh menyebabkan berlakunya pelanggaran undang-undang dan juga kecelaruan pentadbiran.

12. Selebihnya, laluan jalan belakang ke dalam jawatan-jawatan kanan sistem perkhidmatan awam ini akan menyebabkan para pegawai dalam sistem yang sedia ada berasa kecewa, terpinggir dan tidak lagi mempunyai motivasi meningkatkan kualiti perkhidmatan. Ini boleh menjadi masalah besar kepada parti pemerintah.

13. Kerajaan juga akan terdedah kepada tuduhan kronisme, salah guna kuasa dan pilih kasih dalam pemilihan pegawai-pegawai kanan kerajaan. Jika selama ini Perkhidmatan Awam dianggap berkhidmat kepada kerajaan sedia ada, pada masa akan datang pegawai kanan kerajaan akan dianggap alat parti politik semata-mata.

14. Ini akan meletakkan kedudukan pegawai kanan kerajaan dalam keadaan tidak menentu. Mereka pastinya akan disingkirkan jika berlaku perubahan dalam parti pemerintah. Justeru adalah dikhuatirkan kumpulan pegawai kanan ini tidak lagi boleh menjalankan tugas dengan profesional kerana untung nasib mereka terletak sepenuhnya kepada tuan politik.

15. Mereka yang mahu memperkenalkan dasar pengambilan kumpulan luar memasuki JUSA ini harus mengenal pasti dulu apakah masalah sebenar yang mereka mahu atasi. Saya percaya jika mereka telah mengenal pasti masalah sebenar yang mereka mahu atasi, maka soal memperbaiki perkhidmatan kerajaan boleh dijalankan secara dalaman sahaja. 

16. Pegawai kerajaan bergantung kepada Peraturan AM Kakitangan kerajaan dan polisi yang ditetapkan oleh kerajaan. Jika terdapat kelemahan dalam pentadbiran kerajaan maka soal Peraturan Am dan Polisi kerajaan yang harus disemak terlebih dahulu. 

17. Jika ada kelemahan dan keperluan pengisian ilmu para PTD maka adalah tugas kerajaan untuk meningkatkan kualiti PTD. Ia boleh dibuat melalui pengambilan yang lebih cermat, latihan dari semasa ke semasa dan memberi ruang lebih luas kepada para pegawai kanan kerajaan melanjutkan pelajaran ke luar negara. 

18. Ada perubahan yang membawa kekuatan dan kejayaan; namun ada juga perubahan yang mungkin boleh membawa kelemahan dan kehancuran. Dalam konteks inilah saya berharap jangan lain yang bengkak, lain yang bernanah dan lain pula tempat diubatinya. Akhirnya nanti kita jadi seperti tikus membaiki labu. Saya khuatir pengenalan sistem ini bukannya akan memperbaiki sistem pentadbiran kerajaan tetapi lebih memporak-perandakan pentadbiran sedia ada.

sumber :-  http://www.drkhir.com
Photobucket

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List