Pelbagai Spekulasi PRU 13

on Nov 23, 2011



Hakikatnya, Najib masih meraba-raba untuk mencari tarikh sesuai mengadakan PRU13. 

Tentunya kepulangan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak daripada mengerjakan haji diharapkan banyak pihak, supaya ada pengumuman tentang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU) kerana mereka yang mewakili BN sering dikerah supaya sentiasa siap siaga dengan kemungkinan tersebut.

Namun, musim tengkujuh sekarang dan kepulangan jemaah haji belum selesai hingga Disember depan, menyebabkan ura-ura itu pergi bersama-sama desas-desus tersebut. Sekaligus, Najib kelihatan lebih bersedia mengumumkan pembubaran Parlimen tahun depan, tetapi bila ya?

Seperti biasa, mereka yang meramalkan akan menganjakanjak tarikh. Dari bulan November yang kononnya tarikh cantik iaitu 11.11.11, kini sudah ada yang mengatakan kemungkinan bulan Mac, kerana ia musim cuti sekolah.

Jika tidak berlaku juga pada bulan Mac, selepas habis cuti sekolah, mereka nanti akan meramalkan bulan Jun, kerana ada cuti setengah tahun persekolahan. Biasanya, pilihan raya memang perlu diadakan dalam musim cuti sekolah kerana sekolah sering digunakan untuk tujuan mengundi dan ramai guru-guru terlibat dalam pilihan raya dan sebagai petugas SPR.

Hujahnya mudah, Najib memerlukan keselesaan sebelum membubarkan Parlimen. Keselesaan yang dimaksudkan ialah, rakyat nampak BN amat boleh dipercayai kerana dekat dengan rakyat. Ketika itu, Najib tidak perlu lagi bertangguh kerana mandat baru amat-amat diperlukan.

Kerajaan yang Najib terajui sekarang adalah kerajaan peninggalan mantan PM yang lalu, Tun Abdullah Ahmad Badawi. 

Tiada majoriti 2/3 di Parlimen menyebabkan suasana sentiasa mendebarkan.

Ura-ura beberapa ahli Parlimen berhasrat melompat parti, meninggalkan BN dan menyertai Pakatan Rakyat menyebabkan banyak pihak tidak dapat lena. 

Malahan, ahli-ahli Parlimen BN dilarikan oleh Pengerusi BNBBC, Dato’ Seri Tiong King Sing ke Taiwan, kerana “mahu melawat sambil belajar” ke Taiwan.

Kalau mereka yakin ahli Parlimen BN semuanya setia kepada BN, mustahil mereka membuang jutaan ringgit Najib tidak yakin BN menang untuk ke Taiwan. Disebabkan mereka tidak percayalah, maka semuanya dilarikan, walaupun program ini kemudiannya dinamakan sebagai “lawatan sambil belajar.”

Seorang ahli Parlimen BN memberitahu, formula untuk Najib mengekalkan kuasa di Parlimen ialah mengekalkan 140 YB BN yang ada sekarang (kecuali dua dari Sabah yang melompat parti) sebagai calon-calon BN.

Kali ini, BN memerlukan calon yang setia kepada BN dan bukan alasan lain. 

Jika Najib sering menyebut calon-calon BN mestilah yang muda, terpelajar dan boleh menang, tetapi kalau mereka tidak setia, BN akan kecundang juga.

Itulah sebabnya, Najib masih teraba-raba mencari tarikh untuk mencadangkan pembubaran Parlimen kerana beliau tidak jumpa lagi kumpulan calon BN yang setia dan tidak meninggalkan BN selepas PRU13 akan datang.

Pada 10 November 2011 yang lalu, Najib yang baru balik dari Makkah telah mengadakan perjumpaan dengan ahli-ahli Mubarak – Persatuan Bekas Wakil Rakyat di Kediaman Rasmi Perdana Menteri di Putrajaya.

Khabarnya, Najib cukup risau jika ada bekas-bekas wakil rakyat ini, yang sebahagiannya masih muda dan bertenaga akan melompat parti menjelang pilihan raya umum, yang tentunya memberi kesan buruk kepada imej Umno-BN.

Semua perkara, dari yang sekecil-kecilnya hinggalah yang sebesar-besarnya, termasuk isu NFC yang melibatkan anak-anak dan suami Ketua Pergerakan Wanita Umno Malaysia, Dato’ Seri Shahrizat Abd Jalil cukup merimaskan Perdana Menteri.

Begitu juga dengan cadangan PTPTN mahu menghentikan pinjaman kepada pelajarpelajar yang mahu ke IPTA dan IPTS telah memberi gambaran bahawa berlaku ketidakcekapan pentadbir ini menguruskan kutipan pinjaman.

Najib juga terpaksa campur tangan dalam isu penggantungan Prof Dr Aziz Bari dari UIAM dan cabaran Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Mohd Khaled Nordin supaya Dr Aziz melepaskan jawatan di UIAM untuk aktif politik menjadi bahan gelak orang ramai.

Kata mereka, kenapa pula pensyarah universiti tidak boleh bercakap soal politik jika dalam masa yang sama ramai pensyarah-pensyarah yang pro Umno menulis dan berceramah atas pentas Umno-BN tidak pernah dikenakan tindakan?

Semua isu ini mengganggu fikiran Najib. Itulah sebabnya, Najib dilihat terkial-kial mahu mencari tarikh yang paling sesuai untuk mencadangkan pembubaran Parlimen. 

Beberapa pengumuman mengenai bantuan “one-off” yang disebutnya dalam Bajet 2012 tempoh hari juga perlu dibuktikan, bagi mencari sokongan rakyat.

Ini semua belum dapat dilaksanakan dan itulah sebabnya beliau tidak berani membubarkan Parlimen dalam bulan November atau Disember ini.

Lebih melucukan, khabarnya kenaikan pangkat dalam PDRM juga menjadi masalah besar sekarang kerana skim yang dilaksanakan telah melanggar syarat perjawatan dalam PDRM.

Kenaikan pangkat mestilah melalui temuduga dan kini, ia dijadikan kenaikan pangkat secara anugerah.

Kecelaruan ini, selain cerita rasuah dan ketirisan memungkinkan Najib melanjutkan cadangan pembubaran Parlimen hingga Jun 2012, sebelum menjelangnya bulan puasa dan Hari Raya.

Najib rasanya tidak mungkin mampu mencadangkan pembubaran Parlimen tanpa mengelilingi negara dengan mengadakan pertemuan dengan orang ramai secara besar-besaran seperti kelaziman yang dilakukan bekas-bekas Perdana Menteri dan diikuti dengan penjelajahan Timbalan Perdana Menteri menemui NGO dan orang-orang yang berpengaruh, sebagai pemangkin kepada sokongan terhadap BN.



Photobucket

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List