Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan membawa Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menaiki kapal selam KD Tun Razak Jumaat ini bagi membuktikan bahawa dakwaan pembangkang yang kapal selam negara tidak boleh menyelam adalah tidak betul.

Beliau berkata ini merupakan pendekatan Kementerian Pertahanan untuk memperlihatkan aset itu yang dikatakan tidak boleh menyelam.
"Guan Eng ada telefon saya semalam untuk datang ke sini. Walaupun kapal selam itu untuk LIMA kali ini hanya membuat pertunjukan statik tetapi saya akan minta kapal selam itu menyelam untuk membawa Guan Eng," katanya pada sidang akhbar di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di Langkawi hari ini.
Ahmad Zahid berkata beliau turut menghantar surat jemputan kepada semua Anggota Parlimen dan Anggota Dewan Negara termasuk daripada parti pembangkang untuk menaiki dan menyelam bersama kapal selam negara.

Mengenai LIMA '11, Ahmad Zahid (atas, kanan) berkata sehingga kini, tujuh kontrak telah dimeterai dan beliau menjangkakan keseluruhannya 15 kontrak akan dimeterai selepas berakhirnya LIMA '11 Sabtu ini.
- Bernama

0 comments:
Post a Comment