PRU 13.....Husam Mungkin Ke Pusat

on Dec 13, 2011






PAS Kelantan telah memuktamadkan senarai pusingan pertama bakal calon yang akan diturunkan pada pilihan raya umum ke-13 termasuk kemungkinan membawa seorang pemimpin kanan negeri bertanding kerusi Parlimen.
The Malaysian Insiderdifahamkan dewan harian PAS Kelantan yang bermesyuarat malam kelmarin telah bersetuju dengan nama-nama yang dikemukakan kepimpinan kawasan.
Sumber berkata, kali ini kebanyakan nama yang disyorkan diterima tanpa sebarang masalah kecuali bagi kerusi-kerusi Parlimen yang pernah ditanding dan dimenangi PKR tiga tahun lalu.
“Hampir kesemua nama disyorkan telah diterima kelmarin. Setiap kawasan menghantar dua hingga tiga nama, kali ini hampir kesemua nama diterima, di peringat pusingan pertama ini, tiada yang ditolak,” kata sumber dari Kelantan kepada The Malaysian Insider.
Menurutnya, PAS Kelantan kemungkinan akan membawa empat hingga lima muka baru di peringkat negeri.
“Kebanyakan penyandang akan kekali, kecuali empat lima muka baru sahaja,” kata sumber itu lagi.
Minggu lalu, Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau akan bertanding kali ini.
Nik Aziz (gambar), 80, berkata tidak ada sebab untuk beliau berundur seperti desakan beberapa perwakilan semasa Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini.
Kelantan menawarkan 14 kerusi Parlimen dan 45 kerusi Dewan Undangan Negeri.
PAS dan PKR, komponen Pakatan Rakyat, memenangi 39 kerusi Dewan Undangan Negeri dan 12 bahagian Parlimen pada pilihan raya umum 2008.
PKR bertanding di lima kerusi Dewan Undangan Negeri dan tiga kawasan Parlimen.
Ahli Parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali yang bertanding menggunakan tiket PAS mengisytiharkan dirinya sebagai wakil rakyat bebas kemudian.
“Di peringkat PAS, pusingan awal pemilihan sudah selesai, kemudian apabila dekat dengan pilihan raya, nama-nama ini akan dihantar kepada majlis syura pusat untuk pengesahan akhir,” kata beliau lagi.
Sumber itu juga memberitahu bahawa PAS Kelantan juga mencapai beberapa keputusan, antaranya mengurangkan calon-calon luar bertanding di Kelantan.
“Kali ini, Kelantan memutuskan untuk mengurangkan calon luar bertanding... angka itu akan dikurangkan kali ini berbanding sebelum ini,” kata beliau.
Tiga ahli Parlimen dari Kelantan iaitu Salahuddin Ayub, Nasharudin Mat Isa dan Dr Hatta Ramli, masing-masing naib presiden, bekas timbalan presiden dan pengarah pilihan raya pusat PAS merupakan orang luar yang bertanding kerusi Parlimen negeri itu.
Cadangan ke arah itu pernah dicetuskan sebelum ini.
“Ini antara kelainan yang kita boleh lihat di peringkat Kelantan pada kali ini, dan kemungkinan Datuk Husam Musa akan dibawa ke peringkat pusat,” katanya lagi dengan menyebut bahawa Husam kemungkinan bertanding di Kubang Kerian, kerusi disandang oleh Salahuddin.
Salahuddin disebut-sebut akan bertanding di Pasir Mas ataupun dibawa ke Johor.
Kata sumber,  buat masa ini Husam telah dinamakan sebaagi calon bagi kawasan Dewan Undangan Negeri dan juga Parlimen.
Husam merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri kerusi Salor.
“Kemungkinan beliau akan tanding di kedua-dua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri ataupun satu sahaja. Pertimbangan masih diteliti,” kata beliau.
Husam yang juga Exco Kerajaan Negeri merupakan Naib Presiden PAS dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan.


malaysianinsider

Photobucket

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List