BN Selangor Buka Bilik Gerakan Untuk Terus Hulur Bantuan Bantu Mangsa Banjir

on Mar 13, 2012





Barisan Nasional Negeri Selangor hari ini memberi dan menyalurkan bantuan segera kepada mangsa-mangsa banjir di Kampung Lembah Jaya, Ampang sebagai permulaan bagi meringankan beban mangsa banjir di kawasan ini.

Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor,  Datuk Seri Noh Omar berkata, hari ini pihaknya menyediakan 2,000 nasi bungkus kerana difahamkan rumah-rumah di sekitar Kg Lembah Jaya, Ampang ini mengalami kerosakan yang teruk termasuk sebahagian besar dapur dihanyutkan banjir.

“Malam ini Tekun Nasional memberikan sumbangan sebanyak RM5,000 untuk kita mengadakan gotong-royong menyediakan makanan kepada penduduk dan mangsa banjir di sini.

“BN cuba memberikan bantuan makanan kepada mangsa-mangsa banjir yang masih lagi belum dapat mulakan kehidupan seperti biasa, masak di rumah masing-masing,” ujarnya selepas memberikan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir di Kampung Lembah Jaya, Ampang di sini, hari ini.

Dalam masa yang sama, beliau yang juga Timbalan Pengerusi BN Selangor berkata BN negeri juga menerima bantuan bahan-bahan mentah seperti beras, memandangkan mangsa banjir kini tidak ada dapur untuk memasak, BN Selangor juga memberikan sumbangan sebanyak 331 tong gas dan juga dapur dengan harapan dapat meringankan beban mangsa.

“Kita juga akan memberikan bantuan pakaian kepada anak-anak yang bersekolah, saya difahamkan bahawa pakaian sekolah anak-anak ini telah pun rosak. Jadi untuk memastikan semua mangsa ini akan dapat bantuan yang disediakan BN Selangor, saya minta pimpinan BN di Ampang dan di Hulu Langat  membuat kajian secara terperinci

“Kajian secara terperinci  ini penting supaya tidak ada mana-mana mangsa yang tertinggal. Dalam memberikan bantuan ini, kita tidak ‘memilih bulu’, kita mengamalkan konsep 1Malaysia, maka kita akan bagi kepada semua yang benar-benar memerlukan tanpa mengira fahaman politik,” ujarnya.

Tambah beliau, mangsa banjir di Ampang dianggarkan dalam 331 buah keluarga manakala di Hulu Langat melibatkan 3,000 lebih keluarga yang menjadi mangsa kejadian banjir pada 7 Mac lalu.

“Sehubungan dengan itu, BN Selangor meminta semua pimpinan BN di semua peringkat turun ke akar umbi membuat kajian supaya mereka yang benar-benar yang terlibat yang akan mendapat bantuan dan kita harap tidak ada mana-mana pihak yang akan mengambil kesempatan di atas bantuan kecemasan yang akan kita salurkan ini.

“Saya yakin dengan kerjasama semua pimpinan BN, insya-Allah kita akan dapat bancian yang terperinci dan akan cuba untuk memberikan kepada semua orang yang terlibat,” ujarnya

Sehubungan dengan itu, BN akan terus membuka bilik gerakan banjir di Ampang dan Hulu Langat, bagi meneruskan penyampaian bantuan kepada mana-mana mangsa banjir di dua kawasan ini. -MediaUMNO


Photobucket

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List