Mohamad Hassan Bermimpi Di Siang Hari

on Jun 14, 2012


14 JUN 2012  -
Saya telah dihubungi oleh beberapa pemimpin UMNO Baru di Negeri Sembilan dan meminta saya membuka Free Malaysia Today kerana ada berita hangat yang akan saya temui. Bila saya bertanya apa beritanya dia menjawab, “Bacolah bang. Ado coghito Mad Hasan nak botanding di Paroi. Nak tumpaskan PAS terus bang,” katanya.

Setelah sampai ke rumah saya pun membelek-belek apakah benar cerita yang dikatakan oleh AJK Bahagian UMNO itu. Benar, ada berita tentang kecenderungan MB Negeri Sembilan untuk bertanding di DUN Paroi untuk menentang YB Taufek yang kini ahli Legislatif Negeri Sembilan mewakili  DUN Paroi itu.

Sebenarnya saya percaya apa yang ditulis oleh FMT itu. Kalau berita itu datangnya dari Utusan, kita terpaksa berfikir panjang untuk memastikan berita itu benar atau pun tidak Ini adalah kerana akhbar milik UMNO itu belum lagi berjaya menulis berita-berita yang benar. Akhbar milik UMNO itu tidak ‘professional’ dan tugasnya hanyalah untuk memecah-belahkan pihak-pihak yang hendak bersatu. Akhbar itu tidak sedar bahawa semua rakyat kini mahu bersatu, tetapi di luar UMNO dan BN.

Saya tidak terkejut jika Mohamad mengambil keputusan beralih kawasan dari Rantau ke mana-mana kawasan DUN yang lain.  Saya tidak perlu memberikan sebab-sebab secara ‘detail’ kenapa beliau mahu berhijrah ke kawasan yang baru tetapi cukuplah jika saya katakan yang Rantau tidak lagi kawasan yang selamat bagi beliau. Pengundi Rantau hanya menunggu masa untuk menolak beliau di dalam PRU yang akan datang.

Ramai pengundi Rantau pasti kecewa kerana tidak sampai hajat mereka untuk melihat Mohamad ditewaskan oleh orang-orang kampungnya sendiri. Tindakan Mohamad untuk berhijrah ke Paroi itu memang mudah untuk beliau lakukan kerana beliau adalah Ketua Bahagian Rembau dalam mana Paroi adalah salah satu kawasan DUN dalam kawasan Parlimen Rembau. Beliau juga adalah Pengerusi kepada Badan Perhubungan Negeri Sembilan.

Mengikut berita itu, Mohamad bertindak berpindah itu kerana beliau mahu menambah aura pilihanraya dengan bertanding melawan satu-satunya ADUN PAS dan ia kononnya akan memberikan uumph yang lebih untuk beliau memenangi kembali kerusi-kerusi yang telah jatuh ke tangan pembangkang dalam pilihanraya yang lalu.

Baguslah kalau begitu niatnya, tetapi apakah itu sebab yang sebenarnya beliau hendak menukar kawasan itu? Jawapannya ada pada pemikiran pengundi-pengundi di NS dan tidak payah kita sebut-sebut lagi.

Bolehkah Mohamad menumpaskan YB Taufek dari PAS itu sedangkan beliau hanya berjaya memenangi kerusi Rantau dengan majoriti kecil semasa menentang tukang jahit dari PR dalam pilihanraya yang lalu? Kalau di Rantau tempat kariah dan kampungnya sendiri beliau tidak berani bertanding, bagaimanakah perkiraan beliau yang beliau boleh berjaya dengan cemerlang di Paroi?

Bagaimanakah perkiraan pengundi-pengundi di seluruh Negeri Sembilan dengan penghijrahan itu? Tidakkah mereka terfikir bahawa penghijrahan itu adalah untuk lari dari kawasan yang beliau wakili sekarang kerana beliau telah merasakan bahawa pengundi di DUN Rantau sudah tidak lagi diyakini memberi beliau sokongan kali ini?

Tidakkah beliau merasakan bahawa walaupun mungkin beliau merupakan ‘winnable candidate’ untuk Paroi, tetapi tindakan itu akan menjejaskan prestasi UMNO di kawasan-kawasan lain di Negeri Sembilan. Berita ini merupakan berita yang amat menarik, kerana seorang yang bergelar MB yang bertindak lari dari kawasan beliau sendiri dengan alasan yang melakukannya sebagai ‘gerakan strategik’ untuk menumpaskan PAS.

Kalau beginilah keadaannya maka teori saya yang mengatakan bahawa sekarang ini hakikatnya BN sebenarnya sedang melawan PAS, bukannya PAS yang hendak melawan BN. Lain-lain perkataan PAS dan PR di Negeri Sembilan sedang mendahului BN secara psikologinya. BN pula yang sedang bersilat mengikut rentak dan tari PR pula.

Bagaimanapun kita tahu PAS tidak akan mampu ditumpaskan lagi. PAS sudah menyelinap jauh ke dalam sanubari rakyat, bukan sahaja di kalangan orang Melayu tetapi juga mendapat sambutan dari semua kaum di negara ini, termasuk di Negeri Sembilan sendiri.

YB Taufek akan tetap menjadi wakil bagi rakyat kawasan Paroi di Dewan Legislatif Negeri Sembilan itu, Insya-Allah. “Takut-takut Mohamad Hasan hanya bermimpi di siang hari sahaja,” kata beberapa orang pimpinan UMNO di Negeri Sembilan.

Kalaulah benar berlaku pertembungan di antara Mohamad dengan Taufek di Paroi, ianya adalah pertandingan di antara seorang yang sentiasa merendah diri dan berkeperibadian baik dengan seorang yang sombong dan meninggi diri yang merasakan dirinya sebagai pemimpin yang datangnya dari langit.



ASPAN ALIAS


Photobucket

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List