Mulut Laser Ali Hamsa

on Jun 29, 2012




Kenyataan awal Ketua Setiausaha Negara yang baru dilantik, Dato' Dr Ali Hamsa, yang mengaitkan parti pembangkang dengan janji-janji kosong, bagi memburuk-burukkan Pakatan Rakyat pada kaca mata kakitangan awam, bukan saja satu langkah salah, malah mendedahkan kepincangan yang berlaku sejak sekian lama.

Malang sekali jika Ali sengaja mahu menempatkan dirinya sebagai satu lagi perkakas atau jurucakap Umno-BN, seperti dilakukan pegawai kanan kerajaan tertentu, misalnya Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Timbalan Ketua Polis Negara. Seharusnya beliau diberi amaran agar berhati-hati dengan mulut celuparnya itu!

Ketika ramai bercakap kemungkinan kerajaan persekutuan akan bertukar selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti, kenyataan Ali itu telah menimbulkan reaksi kurang senang banyak pihak. Apakah ia satu petanda jelas bahawa sektor awam akan diperalatkan semahunya oleh Umno-BN, sebagai talian hayat terakhirnya, dalam "ibu segala pilihan raya" itu?

Sesungguhnya, kerajaan boleh bertukar pada setiap kali pilihan raya umum diadakan, namun penjawat awam akan kekal di situ. Jika Pakatan berjaya menyisihkan BN dalam PRU13, pegawai kerajaan, termasuk KSN, tidak akan berubah. Lihat saja peralihan kerajaan negeri dalam PRU12, daripada BN kepada Pakatan Rakyat, atau sebelumnya PAS, di Kelantan dan Terengganu, pegawai-pegawai kerajaan langsung tidak diusik.

Malaysia mengamalkan sistem pentadbiran awam yang berkecuali dan bukannya "spoils system" atau "sistem rampasan" atau "sistem penaung", yang memberikan jawatan dalam perkhidmatan awam kepada penyokong parti politik yang menang dalam pilihan raya. Terbukti ia menjamin kelancaran dan kelicinan pentadbiran awam kita.

Dalam sistem berkecuali ini, pengambilan kakitangan awam dan kenaikan pangkat adalah berdasarkan sistem merit, dengan menimbangkan kelayakan dan kecekapan, melalui suruhanjaya yang dikira bebas.

Justeru, kesetiaan mereka dilambangkan kepada ketua negara, Yang di-Pertuan Agong dan ketua negeri, iaitu Raja-Raja Melayu atau Yang Dipertua Negeri, dan bukannya kepada parti pemerintah.


Sebenarnya isu kesetiaan kakitangan kerajaan kerap ditimbulkan apabila negara berdepan situasi politik yang dilihat tegang dan kritikal.

Ketika Dato' Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada jawatan dalam kerajaan dan Umno, serta tercetusnya demonstrasi hujung minggu di sekitar bandaraya Kuala Lumpur, maka KSN waktu itu, Tan Sri Abd Halim Ali mengeluarkan pekeliling agar kakitangan awam tidak terlibat dengan gerakan reformasi.

Cuba bayangkan, dalam keadaan Anwar diaibkan dan dizalimi sebegitu rupa, dengan kaedah pemecatannya yang cukup luar biasa, apakah mungkin seseorang kakitangan awam yang prihatin, apatah lagi melihat jasa besar Timbalan Perdana Menteri semasa berada kerajaan boleh berpeluk tubuh begitu sahaja?

Kini, menjelang PRU13 yang cukup mendebarkan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak -- yang memungkinkan buat pertama kalinya rakyat benar-benar mempunyai pilihan untuk menukar kerajaan -- peringatan sama, walaupun secara tidak rasmi, bergema semula.

Lebih buruk lagi apabila lantunan suara Ali itu dilihat memomokkan perjuangan pembangkang, sekali gus berkempen untuk BN. Di kala perancang media Najib melancarkan program "Jelajah Janji Ditepati", manakala Pakatan Rakyat pula menawarkan pelbagai jaminan dalam Buku Jingga, maka kenyataan Ali agar kakitangan awam tidak diperbodohkan oleh janji-janji kosong pembangkang jelas sarat dengan motif politik.

Mengapa beliau mendefinisikan janji-janji pembangkang sebagai "kosong"; apakah itu sesuai dilafazkan oleh seorang bertaraf KSN? Bukankah selama ini banyak tawaran dalam Buku Janji telah diadaptasi oleh Najib dan mengemukakannya semula dalam pakej berbeza, terutama berkaitan insentif "one-off"?

Walaupun Ali berhak untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada Najib, selepas dilantik ke jawatan tertinggi itu, tetapi bukanlah sehingga merendahkan martabat KSN ke tahap sama dengan "juak-juak politik" BN lainnya.

Kenapa harus melafazkan kalimat yang mengguris, malah menyakit hati, sebahagian besar rakyat negara ini? Tentu beliau amat menyedari bahawa sokongan BN dalam PRU13 hanya separuh daripada jumlah pemilih yang mengundi pada Mac 2008 itu?

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abd Khalid Ibrahim memberi respons: "Sebagai ketua yang baharu kepada 1.4 juta kakitangan awam, beliau perlu menunjukkan sikap profesional dan bebas tanpa memihak kepada mana-mana parti politik. Jika kita mengambil sikap beliau, adakah bermakna penjawat awam sekarang tidak boleh bekerjasama dengan kerajaan negeri yang tidak sealiran politik dengan kerajaan pusat?"

Presiden Teras, Cikgu Azmi Abd Hamid pula membidas: "Belum pernah mana-mana KSN sebelum ini yang terang-terangan menyatakan sikap politik kepada penjawat awam dan meminta mereka menolak pembangkang." Bagi Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar, sebagai KSN, Ali boleh meminta kakitangan awam patuh kepada kerajaan tetapi bukan patuh kepada parti yang menguasai kerajaan.

Sebenarnya sikap yang ditunjukkan Ali itu bukanlah sesuatu yang pelik atau aneh. Di negara ini, segala kemudahan kerajaan seringkali tidak dapat dipisahkan dengan kepentingan Umno-BN. Aset negara dianggap seperti harta parti sendiri.

Kepincangan ini bukan hanya menyerlah semasa bahang pilihan raya meningkat tetapi diamalkan sepanjang masa.

Hinggakan garis pemisah antara maslahat parti pemerintah dan kepentingan negara sukar dibuat; ia mungkin difaktorkan oleh kerana Umno-BN terlalu lama memerintah dan elitpolitiknya begitu mencengkam dalam pentadbiran kerajaan. Pegawai kerajaan pula berlumba-lumba "mengipas" bos politik mereka.

Saya telah mendedahkan, sejak tujuh tahun lalu, bagaimana pegawai-pegawai kanan universiti, iaitu kakitangan awam, termasuk bertaraf Naib Canselor, berkomplot untuk menewaskan kumpulan pelajar yang bebas dan bersikap kritikal dengan kerajaan, dalam pilihan raya kampus.

Sepatutnya pimpinan tertinggi universiti yang mengendalikan perjalanan pilihan raya itu bersikap adil dan berkecuali, dengan tumpuan utama menyediakan "padang permainan" sama rata kepada semua calon-calon yang bertanding. Sepatutnya biarlah anak-anak muda kita bereksperimen dengan sistem demokrasi yang belum tercemar di kampus, malangnya pilihan raya di menara gading itu rupanya lebih buruk lagi!

Jika diteliti Peraturan 21 dalam Perintah Am mengenai kegiatan politik, seseorang kakitangan awam tidak dilarang daripada melaksanakan hak mereka untuk menyokong mana-mana politik di luar waktu pejabat.

Hanya pegawai tinggi dilarang daripada membuat pernyataan menyebelahi mana-mana parti politik; menerbit, mengedar buku, artikel, risalah mengenai politik; merayu undi; agen pilihan raya tempat mengundi; bertanding dan memegang apa-apa jawatan.


Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Ustaz Azizan Abd Razak, kerap menekankan bahawa beliau memberi kebebasan kepada penjawat awam di negeri itu untuk memilih pendirian politik masing-masing di luar pejabat asalkan tidak menganggu tugas dan amanah yang diberikan. Ustaz Azizan tidak melihat kepelbagaian kecenderungan politik pegawainya sebagai satu masalah.

Sebenarnya perkhidmatan awam tidak boleh dipisahkan daripada ciri-ciri profesionalisme dan sikap berkecuali atau neutraliti. Menurut Dr Abd Aziz Bari, secara idealnya perkhidmatan awam harus menjadi pelindung kepada rakyat, supaya tidak menjadi mangsa kepada parti yang memerintah.

Bagaimanapun, bagi pakar perlembagaan ini, peruntukan peraturan tatatertib perkhidmatan awam 1993, yang mahukan kakitangan awam "pada setiap ketika memberikan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Yang di-Pertuan Agong, negara dan kerajaan" hendaklah dipinda kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Berdasarkan kedudukan dan peranan pegawai kerajaan, kesetiaan kepada negara, yang dilambangkan oleh Yang di-Pertuan Agong, adalah bersesuaian dengan Perlembagaan, tetapi kakitangan kerajaan tidak perlu setia kepada kerajaan yang memerintah. ... Ketua Negara atau Ketua Negeri perlu mengelakkan diri daripada menjadi boneka atau cop getah parti yang memerintah," tulisan Dr Aziz dipetik.

Sesungguhnya Pakatan perlu melakukan reformasi menyeluruh terhadap sistem perkhidmatan awam dan pelaksanaannya, termasuk berkaitan "sikap politik" ini jika menang PRU13 nanti. Saya tidak pasti di mana kedudukan orang seperti Dr Ali Hamsa ketika itu ... Harapnya beliau tidak teraniaya.


Ahmad Lutfi Othman

Photobucket

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List