Hubungan saya dengan MB S’gor masih akrab

on Jul 7, 2012




Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali menegaskan hubungan beliau dengan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim masih akrab walaupun wujud pelbagai spekulasi buruk mengaitkan mereka berdua.
“Hubungan saya dan Tan Sri Khalid akrab, mantap dan kukuh,” tegas beliau ketika ditemui pada Program Khas Terima Kasih Rakyat di sini hari ini.
Azmin turut menafikan pembabitannya dalam penyebaran video (durasi 15 minit) membabitkan Abdul Khalid di pejabatnya yang tersebar sejak Selasa lalu.
Beliau sebaliknya menyalahkan Umno dan penulis blog, Raja Petra Kamarudin (RPK) di atas pelbagai fitnah yang ditimbulkan dalam media dewasa ini.
“Semua masalah di Malaysia dibeban kepada saya. Saya minta RPK nak berjuang baliklah, jangan bacul, kemukakan bukti, hujah mari bertarung dalam negara. Kenapa menjerit di luar?
Umno tiada kredibiliti
“Semua bukti yang dikeluarkan adalah palsu. Umno tiada kredibiliti nak bercakap masuk kampung orang tak percaya, guna budak serpihan ini untuk menyalak siang dan malam, sama ada di dalam mahupun luar negara,” katanya yang juga Adun Bukit Antarabangsa.
FMT pada 3 Julai lalu melaporkan dakwaan Raja Petra bahawa ‘orang Azmin’ memberitahu bahawa wujud beberapa salinan video lain yang belum ditayangkan.
Video itu dakwa Raja Petra menunjukkan Khalid bermanja dengan seorang wanita.
Sementara itu, menyentuh mengenai pilihan raya akan datang Azmin menjelaskan PKR kini diperingkat akhir untuk menentukan calon di setiap kawasan.
Beliau yang juga Pengarah Pilihanraya PKR berkata, parti menerima lebih 1,000 senarai nama yang disaring dan dijangka pada Ogos ini senarai calon tidak rasmi akan dikeluarkan.
“Mana-mana kerusi yang telah menang, Pakatan Rakyat tidak akan runding semula. Pertindihan kerusi dalam Pakatan juga terlalu kecil dan proses untuk menentukan kerusi itu hampir muktamad,” katanya.


0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List