Mahathir mahukan orang Melayu berlindung di bawah UMNO walaupun sudah busuk sampai ke ususnya

on Sep 22, 2012






Dr Mahathir berkata di Johor Baru dua hari lepas yang pemimpin yang baik perlu menerima teguran yang membina. Ini pun Mahathir benar dan betul tetapi jika kritikan itu di arahkan kepada beliau itu adalah satu kesalahan besar. Apabila beliau di tegur dan di tandingi secara demokratik beliau mengambilnya sebagai satu tindakan memalitkan tahi ke muka dan beliau tidak dapat menerimanya. Hasilnya beliau secara sistematik telah mengharamkan partinya sendiri.

Apabila sistem dan undang-undang yang masih baik semasa itu mampu untuk memulihkan parti yang beliau haramkan itu, maka sistem itu di bunuhnya dengan menceroboh Badan Kehakiman yang sepatutnya bebas dari pengaruh eksekutif. Empat orang hakim Mahkamah Agung telah di pecat termasuk Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas melalui penubuhan ‘tribunal’ yang amat tercemar cara penubuhannya.

Apabila semua sistem berada di tangan beliau, Dr Mahathir bertindak mengikut kehendak hatinya sendiri. Tidak lagi sistem demokrasi yang betul kerana semuanya boleh dilakukan oleh Dr Mahathir dan itulah yang membolehkan beliau terus berkuasa dengan rakus selama 22 tahun itu. Jika sistem tidak tercemar Dr Mahathir tidak akan dapat kekal kerana populariti beliau telah jatuh hasil dari pemilihan 1987 itu.

Di Johor itu juga Dr Mahathir telah menasihatkan yang pemimpin tidak tunggu lama-lama dan memberikan peluang kepada pemimpin lain untuk naik. Seseorang pemimpin mesti memahami isyarat yang di dapati dari bawah supaya seseorang itu tahu bila untuk turun. Nasihat ini membuatkan kita lebih yakin yang Mahathir adalah seorang yang benar-benar mudah lupa dan hanya pandai memberi nasihat kepada orang lain sahaja.

Isyarat yang beliau harus bersara telah di tunjukkan oleh ahli-ahli UMNO apabila beliau hanya memenangi 43 undi di dalam pemilihan parti 1987 dahulu. Hampir separuh dari perwakilan memberikan isyarat supaya beliau berundur tetapi keengganan beliau untuk berbuat demikian itulah yang menyebabkan beliau membunuh UMNO dan menyalahkan pihak lain di atas pengharaman UMNO itu.

Mahathir terus sahaja menubuhkan parti yang baru yang diberi nama yang sama seperti parti yang beliau bunuh itu semata-mata untuk membina sokongan ramai tanpa pemimpin-pemimpin yang tidak sebulu dengan beliau. Itulah penyebabnya kenapa Tunku A Rahman dan Hussein Onn tidak berada di dalam UMNO semasa mereka ini meninggal dunia.

Mahathir ini seperti Kamal Attaturk yang mempunyai sikap, ‘you do what I ask you to do, don’t do what I do’.

Mahathir tidak konsisten dengan pendirian beliau dan beliau tidak dapat lari dari mengharapkan politik kepartian yang sempit walaupun sudah berada dalam usia yang begitu lanjut. UMNO katanya adalah parti yang lemah dan busuk hingga ke usus. Dia juga berkata UMNO itu di anggotai oleh orang-orang yang bodoh. UMNO juga katanya menggunakan cara membeli undi dengan pembayaran BRIM dan banyak lagi komen-komen buruk yang beliau lemparkan kepada partinya itu.

Tetapi beliau sekarang mundar mandir untuk meminta rakyat memberikan sokongan kepada UMNO yang sudah lemah longlai itu. Saya tidak ingin menyebut kenapa beliau menjadi begini, tetapi rakyat faham yang beliau bermasalah jika PR mendapat mandat.

Itulah sebabnya rakyat berharap jika PR mendapat mandat kali ini, jangan sekali-kali melakukan perkara yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin UMNO yang di dorong oleh kepimpinan Mahathir selama 22 tahun itu.

Rakyat wajar mengambil keputusan sendiri. Kita telah mendengar nasihat dan galakkan pemimpin seperti Dr Mahathir ini dan telah terbukti membawa padah kepada parti dan negara.

Jika semua nasihat beliau selama itu betul, masakan beliau wariskan UMNO yang sedemikian rupa. Beliau bolehlah menyalahkan Pak Lah tetapi kesalahan beliau memilih Pak Lah sebagai pengganti beliau sendiri itu adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab. Kerana apa beliau memilih Pak Lah? Kerana beliau sangkakan yang Pak Lah boleh beliau kotak-katekkan seperti yang beliau lakukan terhadap Ghaffar Baba dan Najib sekarang ini.  

Rakyat mendengar kata-kata beliau yang UMNO itu parti yang sudah busuk sampai ke usus, tetapi kerana kepentingan politik peribadi beliau masih ingin Melayu ini berlindung dengan parti ini.

Begitulah nasib bangsa ku. Hanya di gunakan untuk kepentingan politik peribadi pemimpin-pemimpin mereka. Walau sebusuk mana pun parti itu Melayu di minta oleh Mahathir untuk berlindung di bawahnya.




ASPAN ALIAS


Photobucket

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List