Tidak kiralah, media pembangkang atau media pro BN, dalam arena media baru — Internet atau blogger — tanggungjawab penulis itu penting. Identiti itu penting bagi menunjukkan kebenaran penulisan dan berita yang dibawa.
Pembaca seharusnya juga mengambil tanggungjawab bagi memilih bahan bacaan. Membaca berita yang mempunyai nilai tanggungjawab yang tinggi oleh penulisnya dan tidak berselindung. Akhirnya melemparkan berita-berita yang tidak ada kredibiliti dan mampu menulis untuk memfitnah dan melakukan apa sahaja demi tujuan peribadi.
Banyak penulis blog hari ini menulis berita sensasi, mengutuk dan menyebarkan berita separa benar atau tidak benar langsung tetapi disokong oleh kita sebagai pembaca.
Ini sebenarnya merosakkan kita, merosakkan nilai kemasyarakatan kita kerana kita membenarkan perkara yang tidak sepatutnya berlaku, berlaku.
Kita sebenarnya, baik blogger pembangkang mahu pun blogger BN perlu mengambil tanggungjawab dalam menyampai berita yang mahu kita sampaikan.
Kita perlu ada tanggungjawab dan pembaca sepatutnya mendesak tanggungjawab itu atau kita akan terpalit sama-sama dalam menafikan kebenaran dan keadilan.
Saya tekankan sekali lagi, kita patut menolak blogger baik dari pro kerajaan atau pro pembangkang yang tidak berwajah dan tidak bernama kerana mereka mampu melahirkan fitnah yang akan merosakkan negara kita serta agama kita sendiri.
Hari ini kita terus mendewakan mereka. Adakah kita tidak turut sama dalam berkongsi dosa dengan mereka?
Hari ini mereka menembak berita sensasi tanpa kesahihan bukti, mengaibkan kepimpinan tanpa bukti. Adakah kita tidak disangkutkan atas dosa itu kerana kita bertanggungjawab dalam menyokong mereka?
Hari ini kita dalam sirkulasi blogger Umno/BN hanya mampu tersenyum melihat penafian blogger tersohor pro Umno dalam isu saman ke atas laman www.papagomo.com.
Semua kita yang menjadi pengamal media blog tahu siapa dan kenal siapa yang menulis tersebut.
Kita tersenyum kerana kita tahu dan kita kena turut menipu dan turut menyembunyikan kebenaran atas nama politik. Kita senyum kerana dalam masa kita bercerita mengenai moral, integriti, kebenaran dan keadilan untuk rakyat. Kita diam bila bertembung dengan penipuan.
Tidak banyak bezanya bila pembangkang mendengar penafian blogger mereka yang di saman. Kalau pernah ingat penafian blogger mereka yang di saman oleh Rais Yatim.
Akhirnya kita rakyat, kita ahli pro kerajaan dan pro pembangkang terbabit dengan penipuan, menyokong penipu dan sama-sama memikul dosa yang akan kita panjangkan sehingga akhir zaman.
Seharusnya kita lebih besar jiwa kita menyokong kebenaran tanpa syarat.
Kita harus menolak mereka yang tidak mahu mengambil tanggungjawab penulisan mereka dan membersihkan bumi negara ini dari terus dilanda budaya tidak sihat yang mampu menjadi benih kerosakan mutlak.
Kita yang menentukannya.
umno-reform2.com
0 comments:
Post a Comment