KRISIS MB SELANGOR.....JANGAN SELALU U TURN DAN MEREBAK KE PENGKALAN KUBUR...?

on Aug 25, 2014






Kalau Pandu Kereta, Mesti Tahu Ke Mana Nak Dituju Dan Jangan Selalu U Turn


Keputusan mengenai kemelut kerusi Menteri Besar Selangor dijangka akan diketahui dalam sehari dua ini. Sultan Selangor ketika ini dipercayai sedang mendapatkan pelbagai nasihat tentang keputusan terbaik yang bakal dilakukan oleh baginda sebelum dijangka menemui Khalid Ibrahim dan juga Dr Wan Azizah pada hari esok.

Khalid Ibrahim hari ini sudah pun mengesahkan beliau akan mengadap Sultan Selangor pada hari esok iaitu Selasa manakala Anwar Ibrahim pula membayangkan Dr Wan Azizah akan dipanggil mengadap selepas pertemuan Sultan Selangor dengan Menteri Besar itu.

Sama ada Sultan Selangor akan menerima perletakan jawatan Khalid, bersetuju dengan pembubaran DUN yang dijangka banyak pihak akan disyorkan oleh Menteri Besar, menerima Dr Wan Azizah sebagai Menteri Besar yang baru, mahukan PR mengemukakan calon lain atau apa saja, semuanya dijangka akan diketahui dalam sehari dua ini.

Tetapi ketika semua orang begitu teruja dan dan tertunggu-tunggu apakah yang bakal terjadi di Selangor ini, Pas hari ini sekali lagi membuat pusingan U dalam isu Menteri Besar ini.

Dalam mesyuaratnya hari ini, Pas memutuskan untuk menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan Sultan Selangor dalam membuat keputusan, selain memaklumkan 13 Adunnya tidak akan menandatangani akaun bersumpah menyokong Dr Wan Azizah sebagai Menteri Besar yang baru.

Jika diimbas daripada awal, Pas sebenarnya sudah beberapa kali membuat pusingan U.

Pada mulanya Pas mahu Khalid terus dikekalkan sebagai Menteri Besar dengan hujah tiada sebarang pengkhianatan kepada rakyat yang telah dilakukannya selama mentadbir Selangor sejak lebih enam tahun yang lalu. Rakan gabungannya, PKR dan DAP yang telah bersetuju dengan pertukaran Khalid mulai pening dengan pendirian Pas itu.

Apatah lagi, Pas juga kemudiannya menangguh-nangguhkan tarikh mesyuarat daripada 10 Ogos kepada 13 Ogos, selepas itu kepada 17 Ogos pula.

Ketika itu berbagai jangkaan muncul. Ada yang meramalkan Pas akan terus kekal dengan pendiriannya menyokong Khalid dan memungkinkan terbentuknya kerajaan perpaduan antara UMNO, Pas dan Khalid di Selangor. Yang lain pula menjangkakan Pas akan akur dengan semangat kebersamaan bersama PKR dan DAP dalam PR yang selama ini banyak memberi manfaat kepada parti itu.

Msyuarat Pas pada 17 Ogos itu akhirnya memutuskan untuk menolak Khalid dan menerima Dr Wan Azizah sebagai penggantinya bersama pilihan calon kedua iaitu Azmin Ali. Pas juga menyatakan ikrar untuk terus komited bersama PR melawan UMNO dan BN serta menyediakan pilihan kerajaan alternatif yang meyakinkan untuk rakyat.

Pendirian Pas itu pada umumnya diterima baik oleh semua pihak, walaupun mungkin agak mengecewakan bagi UMNO yang mengharapkan bibit-bibit perpecahan akan terus merekah dalam PR.

Apabila Azmin Ali kemudiannya menolak pencalonan kerana akur dengan keputusan partinya yang hanya mencalonkan Dr Wan Azizah, mesyuarat Majlis Pimpinan PR akhirnya akur untuk menerima dan mencalonkan Dr Wan Azizah sahaja sebagai calon tunggal bagi menggantikan Khalid Ibrahim.

Sosek-sosek kekecewaan sesetengah pihak dalam Pas jelas kedengaran selepas itu sehingga ada yang menggelarkan wakil Pas yang hadir dalam mesyuarat Majlis Pimpinan PR itu sebagai "ayam daging" dan bukan lagi "ayam sabung" yang berani mempertahankan keputusan parti sendiri.

Walaupun Pas telah bersetuju menolak Khalid dan berikrar mahu kekal dalam PR, parti itu kemudiannya berdolak-dalik berhubung keperluan memberi sokongan secara hitam putih melalui akaun bersumpah kepada Dr Wan Azizah yang telah dipersetujui oleh Majlis Pimpinan PR pada petang 17 Ogos lalu dan memaklumkan perkara itu akan diputuskan dalam mesyuarat pada 25 Ogos.

Pas dalam mesyuaratnya hari ini, 25 Ogos akhirnya memutuskan tidak akan menandatangani akaun bersumpah itu dan menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan Sultan Selangor membuat keputusan.

Walaupun Dr Wan Azizah sudah mempunyai sokongan majoriti 30 Adun, keputusan Pas hari ini jika difahami seperti memberi maksud bahawa meskipun tetap menolak Khalid Ibrahim tetapi juga tidak menerima Dr Wan Azizah. Pas seperti tetap mahukan nama Azmin dalam pertimbangan Sultan sebagaimana yang dikehendaki sebelum ini atau barangkali juga Pas mengharapkan Adunnya pula dipilih menjadi Menteri Besar.

Daripada menyokong Khalid, kemudian menolaknya bermakna Pas sudah membuat sekali pusingan U sebelum ini. Menerima Dr Wan Azizah sebagai calon pilihan bersama Azmin Ali tetapi berdolak-dalik untuk menandatangani akuan bersumpah semata-mata kerana tiada nama Azmin dicalonkan sedangkan Azmin sendiri secara sukarela menolaknya, bolehlah pula dianggap sebagai perbuatan mencari-cari simpang untuk membuat pusingan U.

Apabila hari ini Pas membuat pendirian menyerahkan sepenuhnya kepada Sultan Selangor membuat keputusan sambil tidak mahu menandatangani akaun bersumpah, sahlah Pas membuat pusingan U sekali lagi.

Bukankah lebih mudah jika sejak awal lagi Pas berpendirian menyerahkan saja pengganti Khalid ini kepada kebijaksanaan Sultan Selangor tanpa perlu sekejap menyokong Khalid, sekejap yang lain menolaknya, sekejap tidak mahu Dr Wan Azizah, sekejap setuju Dr Wan Azizah dan akhirnya menyerahkan pula kepada pertimbangan Sultan Selangor.

Persefahaman dan pendirian dalam perjuangan seharusnya seperti kita membawa kereta. Apabila kita mula menghidupkan enjin kereta, kita mesti tahu ke mana tujuannya. Setelah tahu tujuannya, teruskanlah perjalanan itu sehingga sampai ke matlamat yang mahu dituju.

Tidak perlu menoleh-menoleh mencari simpang dan membuat banyak pusingan U sedangkan tempat yang hendak dituju tidak berapa jauh di depan mata. Jika kerap menoleh-noleh memandang simpang dan membuat pusingan U, bukan saja membuatkan penumpang tidak senang, malah juga melambatkan perjalanan.

Kiranya Pas sudah memutuskan untuk terus kekal bersama PR dan menjadi alternatif kepada UMNO dan BN terutamanya dalam menghadapi pilihanraya umum akan datang, matlamat ke arah itu hendaklah kukuh dan muktamad. Tidak perlu ragu-ragu. Bagaimana Pas menyatakan ingin terus bersama PR tetapi enggan mematuhi keputusan mesyuarat PR sendiri.

Kekerapan membuat pusingan U bukan saja melambatkan perjalanan, malah juga berisiko terlibat dalam kemalangan yang akhirnya memungkinkan langsung tidak sampai ke destinasi yang mahu dituju. (SH 25/08/2014)

MEREBAK KE PENGKALAN KUBUR...?


Photobucket

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List