Mana Lebih Wajar, Anwar Kemuka Petisyen Rayuan Atau Kekal 5 Tahun Dalam Penjara...?

on Feb 15, 2015




Di sebalik kedudukan Anwar Ibrahim yang kini sudah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan untuk menghuni Penjara Sungai Buloh untuk tempoh lima tahun akan datang, ruang untuk beliau bebas lebih awal sebenarnya tidaklah tertutup sama-sekali.

Satu-satunya jalan terakhir yang boleh dilakukan olehnya untuk memendekkan tempoh hukuman itu ialah dengan mengemukakan petisyen rayuan kepada Yang Dipertuan Agong.

Setelah dihukum pada 10 Februari lalu, Anwar sebenarnya mempunyai ruang selama 14 hari  iaitu sehingga 24 Februari depan untuk memikir sama ada mahu mengemukakan petisen rayuan atau sebaliknya.

Jika petisyen rayuan tidak dikemukakan sehingga 24 Februari itu, bermakna kerusi Parlimen Permatang Pauh akan diisytiharkan kosong dan suatu pilihanraya kecil wajib diadakan dalam tempoh 60 hari selepas itu.

Bagaimanapun jika Anwar memutuskan untuk mengemukakan rayuan, kedudukannya sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh akan terus kekal sehingga ada keputusan berhubung rayuan itu.

Speaker Dewan Rakyat, Pandikar Amin Haji Mulia, baru-baru in tampil dengan kenyataan bahawa kerusi Parlimen itu belum boleh diisytiharkan kosong lagi buat waktu ini.

Katanya, pengumuman rasmi sama ada kerusi itu kosong atau sebaliknya hanya boleh dibuat selepas 14 hari daripada tarikh hukuman dijatuhkan, tetapi tempohnya akan menjadi lebih panjang jika Anwar mengemukakan petisyen rayuan kepada Yang Dipertuan Agong.

Menurut beliau, petisyen rayuan mesti dikemukakan dalam tempoh 14 hari selepas hukuman dijatuhkan dan jika ia dikemukakan oleh Anwar, kekosongannya hanya dapat disahkan selepas rayuan diputuskan sama ada diterima atau ditolak oleh Yang Dipertuan Agong.

Dalam hal ini, apa yang perlu dilakukan oleh Anwar, mengemukakan rayuan atau tidak?

Bagi kalangan yang kental dengan perjuangan PR, lebih ramai yang mahukan beliau tidak mengemukakan petisyen rayuan kerana jika merayu bermakna Anwar mengakui kesalahan liwat yang dihadapkan kepadanya.

Mereka berhujah bahawa menolak rayuan lebih mengukuhkan keyakinan rakyat terhadap PR serta memperteguh lagi pengakuan tidak bersalah yang sering dilaungkan oleh Anwar sebelum ini.

Kata mereka lagi, dengan simpati, kemarahan rakyat serta tekanan antarabangsa yang diterima Najib ketika ini, beradanya  Anwar terus berada dalam penjara dan memainkan peranannya daripada Sungai Buloh adalah lebih baik bagi PR.

Sebaliknya, jika bersetuju mengemukakan rayuan, imej dan kredebilitinya akan hancur dan musnah di mata rakyat.

Sebaliknya, ada pula yang berpendapat, jika yakin rayuan itu boleh mendapat pertimbangan, terutama kerana Anwar pernah berjasa kepada negara semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri dahulu, di tambah dengan usianya sudah menjangkau 67 tahun, ini adalah peluang terbaik untuk meneruskan karier politiknya di samping menikmati kehidupan sebagai manusia yang bebas.

Soal ia bermakna mengakui bersalah atas perlakuan liwat jika mengemukakan rayuan, dianggap hanyalah tafsiran teknikal semata-mata.

Selain itu, dalam berhadapan dengan pendirian Mahathir yang terus menyerang dan mengasak Najib bahkan mula menyindirnya tentang perletakan jawatan walaupun setelah Anwar dipenjarakan, Perdana Menteri dinilai banyak pihak sudah tentu lebih suka jika ada rayuan dan berkemungkinan memberi lebih pertimbangan terhadapnya.

Dalam sistem Raja Berperkembagaan yang kita amalkan, walaupun rayuan dikemukakan kepada Yang Dipertuan Agong tetapi sudah tentulah sebarang keputusan yang dibuat seharusnya mendapat nasihat daripada Perdana Menteri juga.

Ini menjadikan jika pengampunan diberi, Anwar akan terhutang budi bak "segunung intan" kepada Najib kerana dapat bebas lebih awal daripada tempoh yang sepatutnya. Dalam masa yang sama, bukan saja pilihanraya kecil dapat dielakkan, malah kedudukan Anwar sebagai Ketua Pembangkang dan Ahli Parlimen juga tidak terjejas.

Dikatakan juga melalui pengampunan itu Najib seterusnya mampu meredakan kemarahan dalam negara dan mematikan segala kritikan dari beberapa negara luar yang kecewa dengan hukuman penjara keatas Anwar sebelum ini.

Sekiranya terus menerima kritikan daripada Mahathir pula, tidak mustahil selepas itu Najib akan menawarkan kerjasama dengan Anwar yang sudah terhutang budi dengannya. Seiring dengan tindakan Najib yang lebih lunak dengan Pas sejak kebelakangan ini, lebih mungkin juga kerjasama itu turut melibatkan BN dengan PR atas nama rekonsilasi nasional yang sering disebut sebelum ini.

Mungkinkah ini penutup tirainya kes Anwar ini? (SH 14/02/2015)

Friday, 13 February 2015

Berita Gembira Untuk Perubahan


Bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad tidak menunggu lama untuk membawa kegembiraan kepada mereka yang mahukan perubahan. Hanya setelah dua hari Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim menghuni penjara Sungai Buloh atas kesalahan liwat yang dihadapinya, beliau hari ini menyatakan pendirian yang jelas dapat difahami sebagai terus menolak kepimpinan Najib Razak.

Mahathir berkata, jika menjadi Perdana Menteri ketika ini, beliau pasti akan meletakkan jawatan kerana gagal memberi pentadbiran yang baik, selain semakin meningkatnya kritikan daripada rakyat.

Kata bekas Perdana Menteri selama 22 tahun itu, seseorang Perdana Menteri sepatutnya memudahkan sesuatu perkara dan meletakkan jawatan sekiranya gagal mentadbir dengan baik.

Walaupun tidak menyebut secara khusus nama Najib, adalah jelas kenyataan terbaru Mahathir ini ditujukan dengan tepat kepada Najib yang sudah ditarik balik sokongan dan dikritiknya sejak beberapa bulan lepas.

Ia secara langsung memberi gambaran bahawa Mahathir kekal dengan pendirian tidak lagi menyokong serta tidak bersetuju dengan kepimpinan Najib. Malah mengandaikan kesediaan meletakkan jawatah jika masih menjadi Perdana Menteri adalah sindiran yang boleh difahami dengan mudah oleh sesiapa saja bahawa Najib sepatutnya berundur segera ketika ini.

Selain itu, Mahathir juga terus mengkritik kewujudan 1MDB yang banyak bermasalah dengan pinjaman dan hutang, sambil mengatakan ia adalah "syarikat miskin"  yang tidak sepatutnya wujud.

Katanya lagi, 1MDB umpama seseorang yang meminjam wang daripada ceti dan perbuatan itu tidak boleh dianggap sebagai telah bertukar menjadi kaya.

Mahathir juga meneruskan kritikannya dengan mengatakan kerajaan yang ada sekarang semakin terpinggir daripada rakyat kerana tidak sensitif terhadap apa yang dikatakan oleh orang awam.

Apabila Anwar Ibrahim dipenjara selama lima tahun sejak 10 Februari lalu, kemampuan rakyat melakukan perubahan dalam pilihanraya umum akan datang mulai disangsikan.

Walaupun ada keyakinan bahawa pemenjaraan itu akan meningkatkan rasa simpati serta menambahkan kebencian rakyat terhadap kerajaan, tetapi kemungkinan berlakunya perpecahan dalam PR berikutan ketiadaan Anwar tetap amat membimbangkan.

Dengan ketiadaan nakhoda yang berwibawa seperti Anwar, ditambah perpecahan dan bercakaran sesama sendiri, ia tentu saja memberi kelebihan kepada BN untuk terus mengekalkan kuasanya.

Selama ini juga, kritikan, teguran dan penarikan balik sokongan oleh Mahathir kepada Najib, secara tidak langsung turut memberi kelebihan kepada PR kerana pengaruh Mahathir memang terbukti masih kukuh jika beliau bersuara.

Lihat saja pada pilihanraya 2004 di mana BN ketika itu menang paling bergaya dengan 198 kerusi Parlimen, tetapi apabila Mahathir kemudiannya mula mengkritik kepimpinan Pak Lah, kemenangaj BN pada pilihanraya 2008 merosot kepada 140 kerusi dan pertama kali hilang majoriti dua pertiga.

Dengan BN hanya berbekalkan 133 kerusi pada pilihanraya 2013 dan cengkaman undi popular sebanyak 47 peratus saja, ketiadaan sokongan Mahathir bersama Najib tentu saja boleh memberi makna yang besar kepada PR.

Tetapi pemenjaraan Anwar menimbulkan kebimbangan bahawa Mahathir mungkin kembali menyokong Najib. Ada yang berkata kritikan, teguran dan penarikan balik sokongan oleh Mahathir itu hanyalah untuk memberi tekanan kepada Najib agar menghantar semula Anwar ke penjara sebagaimana yang dilakukannya dahulu.

Apabila Ketua Pembangkang itu sudah dipenjara, dikatakan tiada apa lagi yang dibimbangi oleh Mahathir sebagai seorang yang pernah memenjarakan Anwar sebelum ini dan pilihan yang terbaik baginya ialah kembali menyokong Najib serta memastikan BN menang dengan lebih baik pada pilihanraya akan datang.

Namun dengan Mahathir terus menolak dan mengasak Najib, malah menyindirnya dengan ungkapan "akan meletakkan jawatan jika masih sebagai Perdana Menteri", ini adalah berita gembira kepada rakyat yang mengimpikan perubahan.

Pendirian Mahathir ini memberi harapan sama ada Najib akan diturunkan daripada jawatannya melalui UMNO atau PR harus mengambilnya sebagai peluang keemasan dengan segera melupakan persengketaan sesama sendiri, merapatkan barisan dan mengukuhkan lagi kesepakatan. 

Oleh yang demikian,  penolakan berterusan Mahathir ini seharusnya disambut dengan sewajarnya dan jangan sesekali disia-siakan. 


Photobucket

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List