Kejadian Tragis Menimpa Sosilawati Tidak Boleh Diterima

on Sep 13, 2010

KUALA LUMPUR: Kenalan rapat Datuk Sosilawati Lawiya menganggap peristiwa tragis dan kejam yang menimpa jutawan kosmetik itu sebagai sesuatu yang sukar diterima.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mashitah Ibrahim yang merupakan rakan serta jiran Sosilawati di Taman Harmonis, Gombak berkata selagi DNA tulang yang ditemui belum mengesahkan ia adalah Sosilawati, selagi itulah beliau masih berharap ada harapan untuk melihat rakannya itu pulang.
"Saya masih berharap akan berlaku keajaiban dan sehingga belum dapat dipastikan saya tidak menganggap dia telah menjadi arwah," katanya ketika mengunjungi keluarga Sosilawati di sini, Isnin.
Beliau berkata penduduk di sekitar Taman Harmonis yang prihatin atas apa yang menimpa Sosilawati telah membuat solat hajat sejak beliau dilapor hilang dan ia akan berterusan sehingga mendapat pengesahan.
Sosilawati bersama tiga lelaki iaitu pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dilapor hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting, Selangor untuk urusan pembelian tanah.
Pada Ahad, polis mengesahkan kempat-empat mangsa dipukul sampai mati sebelum dibakar dan abu dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong dekat sini.
Bagi Datuk Suhaimi Ibrahim yang merupakan setiausaha politik Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pembunuhan yang berlaku itu sukar dipercayai kerana ia sesuatu yang sangat kejam, zalim serta tidak bertamadun.
Beliau yang merupakan kenalan rapat Sosilawati sejak tujuh tahun lepas, berkata kali terakhir beliau dihubungi Sosilawati ialah pada 29 Ogos lepas iaitu sehari sebelum Sosilawati bersama tiga lagi mangsa ke Banting bagi urusan pembelian tanah.
"Sosilawati menghubungi saya untuk berjumpa pada tarikh itu bagi mendapatkan nasihat dan pandangan mengenai penjualan tanahnya di Bukit Jambul, Pulau Pinang tetapi saya tidak boleh menemui beliau pada hari itu kerana ada urusan lain dan saya maklumkan padanya untuk bertemu pada 31 Ogos," katanya.
Beliau berkata pada 31 Ogos, beliau cuba menghubungi Sosilawati untuk mengesahkan pertemuan itu tetapi panggilannya tidak dijawab.
"Sangat pelik bila dia tidak jawab telefon sebab Sosilawati jarang buat begitu, kalau ada 'miss call' dia akan cepat-cepat telefon semula. Pada 1 September saya cuba menghubungi beliau lagi tetapi telefonnya dimatikan," katanya.
Beliau berkata pada pertemuan mereka sebelum bulan puasa, Sosilawati pernah memaklumkan kepadanya tentang tanah itu selain hasrat untuk menyenaraikan syarikatnya dalam bursa saham.
"Beliau merupakan ikon wanita, beliau salah seorang pelopor usahawan kosmetik yang menjadi ikutan dan contoh pada usahawan lain," katanya.
Sementara itu adik Sosilawati, Masturi Lawiya berkata malam Isnin solat hajat dan kenduri tahlil akan diteruskan di kediaman Sosilawati manakala solat hajat dan tahlil turut diadakan di rumah ibu bapanya di Batu Pahat, Ahad.
Pengusaha stokis produk kecantikan Nouvelle Visages di Kampung Baru pula berkata beliau mengenali Sosilawati sejak tahun 1985 dan sepanjang perkenalan itu Sosilawati adalah seorang wanita yang baik hati dan dermawan.
"Kali terakhir kami berjumpa sebelum Ramadan lalu dan amat sukar untuk mempercayai apa yang berlaku. Diharapkan anak-anak dan keluarga Sosilawati tabah dan redha dengan apa yang berlaku," katanya yang enggan namanya disiarkan. - BERNAMA

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List