Kerusi Pasir Mas: Apa Nasib Ibrahim Ali Pada PRU-13.....????

on Sep 25, 2010




PASIR MAS, — Sejak lebih setahun lalu antara nama yang menjadi sebutan dalam arena politik tempatan ialah Datuk Ibrahim Ali yang kini merupakan Ahli Parlimen Bebas kerusi Pasir Mas, Kelantan.

Tinjauan The Malaysian Insidermenunjukkan walaupun pelbagai usaha dilakukan oleh Ibrahim, namun nampaknya ia masih gagal untuk mendapatkan sokongan menyeluruh pengundi Melayu di kawasan Pasir Mas pada pilihan raya umum ke-13.
Majoriti pengundi Melayu di kawasan ini berpendapat Ibrahim adalah seorang pemimpin yang hanya pandai “bercakap kosong.”
Ibrahim yang juga Presiden Perkasa memenangi kerusi Parlimen Pasir Mas dalam pilihan raya umum ke-12 setelah menewaskan calon Umno Ahmad Rasdi Mahmed dengan majoriti 8,991 undi.Ketika itu Ibrahim bertanding atas tiket PAS.Parlimen Pasir Mas mempunyai seramai 59,640 pengundi.

Pada pilihan raya umum ke-11 2004, Ibrahim turut bertanding di kawasan tersebut sebagai calon Bebas namun tewas.
Ia dimenangi calon PAS Ismail Noh (17,526 undi) manakala calon Umno Datuk Abd Rahim Ab Rahman hanya memperoleh 16,275 undi dan Ibrahim pula 6,198 undi.
Ibrahim buat pertama kali memenangi kerusi Pasir Mas pada pilihan raya umum 1986 dengan memperoleh 55 peratus atau 15,711 undi dan mempertahankan kerusi itu empat tahun kemudian atas menggunakan tiket S46.
Beliau tewas tiga pilihan raya umum seterusnya dan menang kembali dua tahun lalu atas tiket PAS.
Semenjak menjadi Ahli Parlimen, Ibrahim melalui Perkasa banyak membangkitkan isu-isu berkaitan orang Melayu dan juga perpaduan Melayu yang dilihat semakin terhakis.

Malah beliau turut “menghentam” pemimpin PAS dan Umno dan Parlimen apabila ia berkaitan dengan hak keistimewaan orang Melayu.
Seorang penduduk, Yusof Hasan, 72, berkata, Ibrahim tidak akan berpeluang untuk memenangi pilihan raya umum akan datang kerana pengundi di Parlimen itu tidak menyukainya.
“Dulu beliau (Ibrahim) bertanding dengan tiket PAS dan dalam pilihan raya akan datang saya tidak akan lagi mengundi beliau.

“Ini kerana beliau hanya mendatangkan lebih banyak masalah, bukan kebaikan terutamanya kepada pengundi-pengundi di sini,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Tambahnya, Ibrahim hanya bernasib baik menang dalam pilihan raya umun ke-12 kerana PAS memberikan ruang kepadanya.
“Pilihan raya akan datang saya pasti PAS tidak akan tertipu lagi, sejak menjadi Ahli Parlimen saya lihat beliau banyak menghentam PAS di Parlimen.
“Jadi saya rasa PAS pasti akan letakkan calon sendiri,” katanya.

Bagi Salleh Hussin, 63, pula, sudah sampai masa Ibrahim melupakan hasrat untuk bertanding semula di Parlimen Pasir Mas kerana pengundi-pengundi di kawasan itu sudah muak dengan tindakan yang dilakukan beliau sejak menjadi wakil rakyat.
“Saya dah serik nak undi beliau lagi, semenjak jadi wakil rakyat tiada apa yang beliau lakukan untuk kami di sini.
“Beliau hanya tahu cakap sana, cakap sini... tapi tiada apa-apa yang dilakukan,” katanya dengan nada kecewa.
Suhaimi Deraman, 42, berkata PAS perlu meletakkan calon lain dalam pilihan raya akan datang dan jangan memberikan mandat kepada Ibrahim untuk bertanding atas tiket parti Islam itu.
“Saya tidak mahu beliau jadi Ahli Parlimen lagi, saya mahu PAS letakkan calon lain kerana ramai lagi calon yang berkebolehan untuk menjadi wakil rakyat.
“Lagipun Datuk Ibrahim tidak buat apa-apa pun kepada penduduk di sini, beliau hanya tahu bercakap sahaja,” katanya.
Menurut Salleh Junoh, 63, dia sanggup tidak membuang undi dalam pilihan raya umum akan datang sekiranya Ibrahim tetap bertanding atas tiket PAS.
“Saya sanggup tidak mengundi kalau PAS tetap memberikan mandat kepada Datuk Ibrahim.
“Jadi saya minta supaya PAS tidak lagi memberikan mandat kepada beliau sebaliknya meletakkan calon lain yang berkebolehan,” katanya.
Bagi pesara Yusoff Mohamad, 56, tiada pengundi di Parlimen itu akan memberikan undi kepada Ibrahim sekiranya beliau bertanding atas tiket Umno ataupun sebagai calon Bebas.
“Dulu beliau menang atas tiket PAS, kalau beliau bertanding atas tiket Umno sudah pasti beliau akan kalah.
“Jadi Ahli Parlimen kemudian di Parlimen hentam pula pemimpin PAS... macam mana ini? Saya percaya dalam pilihan raya akan datang beliau pasti akan kalah,” katanya.

Dia juga menjelaskan bahawa pengundi di Kelantan mempunyai pandangan yang berbeza dalam politik.
“Kalau di kawasan lain pengundi pasti akan melihat kepada calon yang bertanding tetapi di sini (Kelantan) kita melihat parti.
“Saya percaya kalau PAS meletakkan calon yang kurang sempurna seperti buta pun boleh menang di sini (Pasir Mas),” katanya.
Seorang lagi pengundi di kawasan itu Rahman Mat, 48, berkata, tiada perubahan yang dilakukan Ibrahim semenjak menjadi wakil rakyat.
“Saya ada satu perkara untuk menggambarkan Datuk Ibrahim, kucar-kacir dan hanya tahu bercakap sahaja.
“Anda boleh tengok sendiri, selama ini apa yang beliau lakukan? Hanya tahu bercakap sahaja, cakap pasal orang Melayu, cakap pasal perpaduan tetapi akhirnya tiada juga perubahan,” katanya.
Menurut peniaga, Syed Khalid Syed Zakaria, 38, apa yang dilakukan Ibrahim selama ini adalah semata-mata untuk mendapatkan sokongan dan kepercayaan rakyat terutamanya pengundi di Parlimen Pasir Mas.
“Tapi apa yang dilakukan adalah sia-sia sahaja.
“Pengundi sudah serik dan tidak akan tertipu lagi dengan apa yang dicakapkan beliau. Cukuplah apa yang beliau lakukan selama ini. Kami lebih selesa dengan PAS berbanding beliau,” katanya.
Parlimen Pasir Mas mempunyai tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mana ketiga-tiga tersebut dimenangi PAS pada pilian raya umum lalu. Ketiga-tiga DUN tersebut adalah DUN Tendong (Mohamad Mat Daud), Pengkalan Pasir (Hanifa Ahmad) dan Chetok (Abdul Halim Abdul Rahman).
Namun, masih ada pengundi di Parlimen Pasir Mas mahukan Ibrahim kekal menjadi wakil rakyat dan memenangi pilihan raya akan datang.
“Sebagai pengundi saya sayang akan wakil rakyat saya. Walaupun masih tiada perubahan yang dilakukan namun beliau banyak membantu rakyat di kawasan ini.
“Beliau memang seorang yang pemurah dan selalu menghulurkan bantuan kepada mana-mana penduduk yang memerlukan bantuan.
“Bahkan beliau juga ada memberikan sumbangan Hari Raya kepada penduduk,” kata Hasan Ali, 63.
Dia berkata Ibrahim masih berpeluang untuk menang di kawasan itu dalam pilihan raya akan datang.
“Saya rasa beliau boleh menang lagi,” katanya.
Bagi Azan Abdul Rahman, 24, walaupun masih baru menjadi wakil rakyat Ibrahim telah menunjukkan prestasi dan imej yang baik kepada rakyat.
“Beliau masih lagi baru, mungkin masih banyak perubahan yang boleh dilakukan.
“Jadi beliau perlu diberikan lebih masa dan peluang untuk menunjukkan apa yang boleh dilakukan,” katanya.
Esok satu program Perhimpunan Melayu Perkasa Kelantan akan diadakan di Pekarangan Stesen Keretapi Pasir Mas.

Selain Ibrahim, program tersebut turut disertai bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
The Malaysian Insider difahamkan seramai 20,000 orang akan hadir ke program tersebut.
Dalam pada itu, walaupun Ibrahim dilihat sebagai pemimpin rasis, andaian yang dinafikannya, bagi masyarakat Tiong Hua di Kampung Cina di sini, ketua Perkasa itu merupakan seorang pemimpin yang memahami dan tidak membezakan taraf antara kaum.
“Saya lihat beliau (Ibrahim) adalah seorang pemimpin yang bagus.
“Walaupun masih tiada perubahan yang jelas dilakukan beliau semenjak menjadi wakil rakyat, tapi apa yang positif tentang beliau adalah tidak pernah membezakan orang Melayu dan orang Cina di sini,” kata Teo Bo Tiap, 40, ketika ditemui The Malaysian Insider pada Pesta Tanglung di Kampung Cina di sini malam tadi.
Program anjuran Pergerakan Pemuda Malaysia Pasir Mas dirasmikan oleh Ibrahim.

Ia disertai kira-kira 100 orang masyarakat Tiong Hua dengan Ibrahim disambut dengan perarakan tanglung sebelum dipersembahkan dengan tarian singa.
Tan Ah Wang yang berusia 61 tahun memberitahu walaupun masih lagi baru wakil rakyat di kawasan itu, namun Ibrahim telah menjalankan tugasnya dengan baik.
“Setakat ini apa yang beliau lakukan masih lagi tiada masalah.
“Sebagai pengundi di kawasan ini saya berpuas hati dengan usaha-usaha yang dilakukan selama ini.
“Selain itu, saya juga melihat beliau tidak membezakan orang Melayu dan Cina, sebaliknya beliau memberikan hak sama rata kepada semua,” katanya.

Tambahnya, hubungan antara orang Melayu dan orang Cina di kawasan itu boleh diibaratkan seperti adik-beradik.
“Kami di sini tiada masalah dengan orang Melayu. Kami juga selalu kunjung-mengunjungi antara satu sama lain.
“Kadang-kadang kalau ada perayaan kami juga dijemput sama begitu juga sebaliknya,” katanya.
Seorang lagi masyarakat Tiong Hua yang hanya mahu dikenali sebagai Yap, 38, berkata, sepanjang hampir tiga tahun berkhidmat sebagai wakil rakyat Ibrahim selalu turun padang untuk menemui penduduk.
“Beliau selalu juga turun padang jumpa dengan penduduk di sini.
“Kadang-kadang beliau juga ada memberikan sumbangan kepada penduduk yang mempunyai masalah dan bagi saya secara peribadi beliau merupakan seorang pemimpin yang baik dan pemurah,” katanya.
Seorang penduduk tempatan yang hanya mahu dikenali sebagai Tan memberitahum walaupun berlainan bangsa dan budaya, namun orang Melayu dan orang Cina di kawasan itu boleh hidup sebagai sebuah keluarga yang besar.
“Di sini orang Melayu atau orang Cina semua sama sahaja. Kami boleh duduk dan makan bersama.
“Kami di sini tidak ada gaduh seperti di bandar besar.. kau duduk sana, aku duduk sini, itu semua tidak berlaku di sini,” kata yang berusia 50 tahun.

Dalam pada itu, seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Ong, 41, berkata, masih banyak perkara yang perlu dilakukan Ibrahim sekiranya mahu terus kekal menjadi wakil rakyat.
“Banyak lagi perkara yang perlu beliau lakukan. Beliau perlu membuktikan kepada semua bahawa beliau mampu membawa perubahan di sini.
“Beliau juga harus berhenti bercakap terlalu banyak dan buat perkara yang boleh meraih kepercayaan penduduk,” katanya.

Sementara itu, Ong Lee Kin, 41, berkata dia tidak terlalu menyukai Ibrahim kerana pemimpin itu banyak bercakap kosong dan bersifat perkauman.
“Saya tidak berapa suka beliau. Sebab yang pertama beliau banyak cakap perkara yang bukan-bukan.
“Kedua, beliau banyak bercakap pasal perkauman yang saya anggap ia tidak wajar dilakukan,” katanya.
Justeru dia menasihati Ibrahim supaya menghentikan daripada bercakap perkara-perkara yang boleh menyinggung perasaan kaum lain di negara ini.
“Apa yang beliau cakap pasal perkauman boleh menyinggung perasaan kaum-kaum lain.
“Jadi adalah lebih baik beliau berhenti bercakap akan perkara itu,” katanya.

TMI

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List