Peguam dicari bantu siasatan

on Sep 9, 2010

        


KUALA LUMPUR 8 Sept. – Seorang peguam dipercayai menjadi antara senarai individu paling dikehendaki dalam kes kehilangan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dan tiga lagi lelaki, sejak 30 Ogos lalu.
Ini kerana lelaki yang ingin ditemui oleh Sosilawati, peguam, pegawai bank dan pemandunya itu di Banting disyaki merupakan individu terakhir bertemu dengan mereka.

Bagaimanapun sehingga kini, peguam tersebut belum tampil dan masih belum dikenal pasti identitinya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Risikan dan Operasi Bukit Aman, Datuk Hadi Ho Abdullah berkata, orang ramai diminta agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes kehilangan jutawan kosmetik tersebut.

Beliau berkata, orang awam turut dinasihati agar tidak mempercayai sebarang khabar angin yang disebarkan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) mahupun mulut ke mulut.
“Sebaliknya, orang ramai yang mempunyai maklumat seharusnya bantu pihak polis dalam siasatan dan bukannya menyebarkan khabar angin mahupun mempercayainya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.


Sejak beberapa hari lalu, pelbagai khabar angin tersebar mengenai misteri kehilangan Sosilawati bersama tiga lelaki.
Sosilawati yang merupakan Pengasas Nouvelles Visage dikesan hilang bersama pembantu peribadinya, Kamarudin Samsudin, 47, pegawai bank CIMB, Norhisham Mohammad, 38, dan peguam Ahmad Kamil Abd. Karim, 32, sebaik meninggalkan pejabatnya.

Misteri kehilangan Sosilawati bagaimanapun menemui petunjuk baru apabila Kereta BMW X5 bernombor pendaftaran WTL11 berwarna hitam milik Sosilawati yang dipercayai ditinggalkan dalam keadaan tergesa-gesa akhirnya ditemui di kawasan letak kereta di Flat USJ1, Subang Jaya, semalam.

Dalam pada itu, adik Sosilawati, Masturi, 42, ketika ditemui di rumah jutawan kosmetik itu di Taman Harmonis, Gombak berkata, mereka sekeluarga masih belum menerima sebarang panggilan mahupun SMS daripada mana-mana individu.
Beliau berkata, semua ahli keluarga sepakat untuk membuat kenduri doa selamat bagi mendoakan keselamatan kakak bersama tiga lagi lelaki selamat.

“Apa yang kita sekeluarga harapkan adalah dia (Sosilawati) pulang dan dapat beraya bersama seluruh ahli keluarga,” katanya yang memberitahu Sosilawati sekeluarga akan pulang ke Batu Pahat, Johor setiap kali Hari Raya Aidilfitri.

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List