Mengapa saya tarik diri? - Khalid Ibrahim
Calon-calon Timbalan Presiden PKR masih belum memenuhi ciri-ciri pengganti Anwar Ibrahim, demikianlah penilaian Khalid Ibrahim, calon yang menarik diri pada saat-saat akhir dari pertandingan jawatan nombor dua.

Khalid Ibrahim berkongsi pandangan beliau dalam satu wawancara bersamaMerdekaReview pada 18 Oktober, di pejabat Menteri Besar Selangor. Dalam wawancara hampir sejam ini, Khalid Ibrahim menjawab semua soalan yang diajukan wartawan dengan hati yang terbuka, termasuk punca beliau menarik diri dari pertandingan jawatan tinggi PKR, ciri-ciri yang harus ada pada pengganti Anwar, dan kedudukan beliau sebagai Menteri Besar.

Khalid Ibrahim (gambar kiri, tengah) berjaya mempertahankan jawatan Ketua Cabang Kuala Selangor pada 4 Oktober dengan undi majoriti yang besar. Beliau mengumumkan secara rasmi pada 10 Oktober untuk bertanding sebagai Timbalan Presiden, selepas pertimbangan selama enam hari.
Namun demikian, Khalid tidak menyerah borang pencalonan enam hari kemudian. Hanya Naib Presiden Azmin Ali, Mustaffa Kamil Ayub dan Pengerusi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Zaid Ibrahim yang bertanding untuk jawatan nombor dua ini. Khalid Ibrahim menjelaskan kepada MerdekaReview, keputusan ini dibuat setelah berunding dengan Jawatankuasa Khas, termasuk pemimpin reformis seperti Tian Chua.
Malah, beliau mengakui bahawa dirinya pernah berunding dengan Ketua Umum dan Presiden PKR, iaitu Anwar Ibrahim dan Wan Azizah, dan kedua-dua mereka bersetuju bahawa diri beliau harus lebih menumpu kepada pentadbiran Selangor.
Sokongan dari seluruh negara
Bagaimanapun, penjelasan Khalid Ibrahim bahawa dirinya ingin menumpu kepada pentadbiran kerajaan negeri Selangor belum menjelaskan kesangsian orang ramai. Wartawan MerdekaReview terus bertanya, "Mengapa keputusan ini dibuat hanya enam hari selepas Tan Sri mengumumkan hasrat untuk bertanding jawatan Timbalan Pengerusi?"

Khalid berkata, beliau telah mengumumkan bahawa dirinya akan menyatakan sama ada beliau bertanding untuk jawatan peringkat pusat, ketika beliau bertanding untuk Ketua Cabang. Ramai yang meminta agar beliau bertanding untuk Timbalan Presiden, sebelum dan selepas beliau terpilih sebagai Ketua Cabang.
Kemudian, beliau membuat keputusan selepas berunding dengan empat orang pemimpin "veteran" dalam parti, juga anggota Jawatankuasa Khas yang dilantiknya, iaitu Pengarah Strategi Tian Chua, Majlis Pimpinan Pusat Irene Fernandez, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) merangkap Ketua Cabang Kelana Jaya Syed Shahir dan bekas Presiden ABIM, juga Pengerusi Biro Pemahaman & Pemantapan Agama PKR kini, Muhd Nur Manuty.
Khalid berkata, beliau berunding dengan keempat-empat orang tersebut kerana menghormati mereka yang telah bersama dalam parti dan perjuangan sejak awal lagi. Beliau berkata, "Mereka kembali dengan mesej bahawa parti memerlukan saya, dan mahu saya memainkan peranan yang lebih positif dalam pimpinan."
"Mereka berpandangan bahawa sudah cukup bilangan pemimpin yang bertanding, ada Azmin Ali, Zaid Ibrahim dan Mustaffa Kamil Ayub. Mereka berkemampuan untuk menyandang jawatan tersebut dengan baik. Tetapi ketiga-tiga mereka tidak dapat menyandang jawatan di negeri (Menteri Besar). Jadi, sebagai seorang Menteri Besar, saya harus lebih tertumpu kepada pentadbiran negeri."
Wartawan menyusul dengan soalan, bukankah faktor-faktor tersebut harus dipertimbangkan ketika Khalid mengumumkan keputusan untuk bertanding?

Beliau kemudian menyambung, "Mungkin kamu akan tanya, mengapa empat orang ini tidak memulakannya lebih awal? Jawapannya, saya tak dapat membuat keputusan sebelum saya memenangi pemilihan peringkat Cabang. Saya hanya mengumumkan selepas saya menang dalam pemilihan peringkat Cabang."
"Saya tidak mahu mengusik keempat-empat orang ini, sebelum saya membuat keputusan. Kalau tidak, saya boleh berbuat demikian (mengkaji situasi) tiga bulan sebelum ini. Tetapi saya tidak pasti saya akan menang dalam pemilihan peringkat cabang. Keduanya, saya hanya membuat keputusan pada masa yang saya anggap sesuai."
Berunding dengan sesetengah anggota PR
Selain empat orang ini, adakah Khalid juga berunding dengan pemimpin veteran seperti Timbalan Presiden Syed Husin Ali dan Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim?

"Kesimpulannya, sememangnya, mereka juga berkata, mungkin ia berbunyi agak 'mementingkan diri' (selfish) dalam hal ini, kerana mereka menganggap paling baik jika (saya) tumpukan kepada negeri Selangor. Tapi, kamu akan bersetuju, mereka adalah ikhlas, kerana mereka bertanggapan, bukan sahaja PR memfokus kepada Selangor, BN juga."
"Keduanya, dari segi pembangunan, Malaysia adalah Selangor, Lembah Klang atauGreater Kuala Lumpur pada masa depan." katanya sambil menambah, "Ya, kamu tidak seharusnya memasuki satu bidang yang mana orang mahu kamu fokus (hal ehwal parti). Saya berasal dari latar belakang dunia korporat. Saya turut mahu menilai prestasi saya. Seandainya bidang yang saya tumpu terlalu luas, saya mungkin gagal menunjukkan apa-apa prestasi. Pada hakikatnya, sebelum pilihan raya umum akan datang, saya mempunyai tempoh dua tahun. Ini pada andaian saya tempoh yang maksima, mungkin lebih pendek, mustahil lebih panjang."

Tumpukan di sini, pastikan kamu menunjukkan prestasi yang baik. Seandainya kamu menunjukkan prestasi yang baik, maka kamu boleh bertanding untuk mana-mana jawatan tinggi pada penggal akan datang," tambahnya.
Adakah Khalid khuatir dengan kritikan daripada perwakilan mahupun anggota parti, bahawa beliau tidak melalui peringkat "mendapatkan mandat daripada anggota", sebelum menyandang jawatan Menteri Besar?
"Tidak, saya telah mendapat mandat daripada Cabang. Saya perlu menjelajah merata-rata untuk mendapatkan mandat. Dan mandat ini adalah, mesej daripada rakyat bahawa mereka sudi menyokong pendekatan saya. Persoalannya, sejauh manakah nisbahnya semasa perhitungan undi. Jikalau mendakwa bahawa saya tidak memperolehi mandat, maknanya saya tidak mendapat sokongan rakyat. Tetapi saya menganggap saya mendapat sokongan rakyat, terutamanya di Selangor. Anggota parti dari negeri Selangor setinggi 25%, mencakupi satu perempat daripada jumlah keseluruhan anggota parti."

"Seperti parti politi yang lain, mereka memerlukan pilihan yang lebih banyak," jawab Khalid Ibrahim.
Keistimewaan Khalid?
Jadi, apakah keistimewaan yang ada pada Khalid Ibrahim berbanding calon yang lain?
"Apa yang istimewanya, saya ialah Menteri Besar Selangor. Kedua, saya mempunyai pengalaman yang berbeza. Saya ada pengalaman korporat, saya dilantik sebagai Bendahari Agung semasa saya masuk parti. Kemudian, saya menyandang jawatan Setiausaha Agung, dalam masa yang amat singkat."

"Seterusnya saya bertanding di PRK Ijok, kalah. Selanjutnya saya bertanding di PRU, untuk kedua-dua kerusi parlimen dan DUN. Saya bertuah kerana menang kedua-duanya. Dalam masa yang kurang daripada empat tahun saya berkecimpung dalam politik, saya berada pada kedudukan ini. Sesetengah orang mungkin memerlukan masa kira-kira 10 tahun. Saya ada kemajuan (progess), tetapi mereka khuatir saya maju terlalu cepat. Dalam parti, masih ramai yang berusaha untuk membina dan memperkembangkan parti."
Khalid kemudian ditanya, masalah yang ada pada pimpinan Zaid Ibrahim dan Azmin Ali, beliau berkata, "Setiap orang perlu menyesuaikan diri dengan suasana baru. Setiap orang daripada kami ketika memainkan peranan sebagai pemimpin, mempunyai kekuatan dan kelemahan diri."
"Sesetengah pemimpin agak forceful (kuat), tetapi kelemahannya adalah, mereka jarang mendapatkan pandangan orang lain. Ada pula yang terlalu bergantung untuk mendapatkan pandangan orang lain, sehingga tidak mempunyai pendirian sendiri. Ada pemimpin yang hanya mahu melihat hasil, tetapi tidak tahu bagaimana untuk memastikan prosesnya berjalan lancar. Seandainya beliau tahu di mana kedudukan diri, sedar kelebihan dan kekurangan diri, maka mereka boleh menyandang jawatan yang penting. Namun, setiap antara kita perlu belajar untuk menyesuaikan diri dengan suasana yang baru."

"Apakah yang dimaksudkan dengan suasana baru dalam parti? Ini termasuk, beliau perlu menyesuaikan diri dengan anggota yang berasal dari pelbagai komuniti. Dulu bilangan anggota kurang, hanya 40 hingga 50 ribu orang. Kini kami mempunyai 400 ribu orang anggota dari pelbagai komuniti."
"Beliau juga perlu belajar untuk menyesuaikan diri dengan hubungan pakatan yang baru. Sebelum ini PKR hanya mempunyai hubungan dengan Parti Sosialis Malaysia (PSM), tapi kini kita menjalin hubungan dengan PAS, DAP dan parti dari Sabah dan Sarawak. Beliau perlu belajar untuk menyesuaikan diri semua ini."
Beliau menegaskan, "Masalah hari ini adalah masalah penyesuaian. Misalnya, saya sebagai Menteri Besar, saya tidak harus hanya bercakap pasal PKR. Saya harus bercakap mengenai Pakatan Rakyat, mengenai tiga parti yang saya wakili."

Beliau menambah, "Setiap orang daripada kami mempunyai perkara yang perlu diselesaikan. Jadi, saya fikir, tak apa, oleh sebab saya perlu tumpukan perhatian untuk negeri Selangor, dan mereka yang terpilih perlu menyelesaikan masalah di depan mata mereka."
Ciri-ciri pengganti Anwar
Ketika ditanya apakah ciri-ciri yang harus ada sebagai pengganti Anwar Ibrahim, Khalid terbingung sejenak, sebelum berkata, "Tidak senang untuk berada pada kedudukan Anwar, sebab beliau seorang yang mempunyai sifat-sifat iconic, dan mempunyai ciri-ciri pimpinan yang lain. Beliau mempunyai imej sebagai pemimpin untuk membawa perubahan, malah mempunyai rekod yang baik ketika mengharungi pelbagai cabaran, dalam usaha menegakkan keadilan untuk diri dan negara. Ianya bukan sesuatu yang mudah."

Beliau menganggap hanya pemimpin yang memahami keperluan pelbagai komuniti, dihormati seluruh rakyat, barulah layak untuk menjadi pengganti Anwar.
Wartawan kemudian bertanya, apakah calon Timbalan Presiden yang bertanding sekarang memiliki ciri-ciri yang tersebut? "Belum lagi, belum lagi, tapi kami ada masa. Belum lagi, belum lagi, tapi sudah tentulah bila dia mendapat jawatan tersebut, dia akan kena menilai keupayaan dan kebolehan dia dan menyesuaikan (diri) dengan keadaan tersebut," jawab Khalid Ibrahim.
Sumber :- MerdekaReview
0 comments:
Post a Comment