Perkhidmatan awam dan Kabinet.

on Oct 11, 2010

Khairy Jamaludin betul apabila, pada 2 September lalu, menyatakan bahawa perkhidmatan awam Malaysia terlalu besar. Di bawah sistem Westminster yang kita amalkan sekarang, perkhidmatan awam yang buat masa ini berjumlah sekitar 1.2 juta orang, adalah sebahagian daripada kerajaan. Bagaimanapun perkhidmatan awam perlu berkecuali dalam erti kata ia tidak perlu setia kepada kerajaan yang memerintah. Tegasnya kakitangan awam boleh mengundi parti pembangkang di dalam pilihan raya.

Mengapa kakitangan awam yang merangkumi angkatan tentera dan polis perlu berkecuali? Ini ialah kerana dengan cara itu sahaja mereka boleh memberi khidmat kepada rakyat dengan profesional dan tidak menganiaya mereka


Jika perkhidmatan awam tidak berkecuali ia akan menjadi alat parti pemerintah. Perlembagaan menjamin kedudukan dan peranan perkhidmatan ini melalui adanya pelbagai suruhanjaya perkhidmatan dan pelbagai peruntukan yang tidak membolehkan mereka dibuang kerja begitu sahaja oleh kerajaan yang memerintah.

Kedudukan berkecuali perkhidmatan awam ini tidak difahami oleh ramai orang. Ini tidak memeranjatkan kerana kita tidak pernah khususnya di peringkat persekutuan diperintah oleh parti lain selain Barisan Nasional (BN). Dan, parti ini memang tidak pedulikan perlembagaan sangat. Sebab itu di bawah pentadbiran Mahathir kakitangan awam dipaksa menerima aku janji yang jelas bertentangan dengan doktrin keberkecualian perkhidmatan awam tadi.

Peranan dan fungsi perkhidmatan di seluruh dunia Westminster sama; yakni memberi nasihat secara profesional dan tidak memihak kepada kerajaan yang, sesuai dengan sifat politik itu sendiri, datang dan pergi serta tidak kekal. Bagi memastikan kemantapan kedudukan dan peranan kakitangan awam mereka hanya perlu setia kepada negara dan dalam konteks inilah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja serta Yang di-Pertua Negeri memainkan peranan.

Berbalik kepada isu kali ini yakni kakitangan awam yang terlalu ramai, mengapa sampai jadi begitu dan apa kesan buruknya kepada sistem dan negara kita? Saya tidak pasti mengapa. Tetapi, saya yakin bahawa saiz perkhidmatan awam yang terlalu gemuk itu adalah beban yang tidak perlu kepada rakyat, khususnya pembayar cukai.

Pakatan Rakyat (PR) sebagai pembangkang dan mungkin kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang perlu mengambil berat. Saya ingin mencadangkan supaya Pakatan mengecilkan Kabinet mereka. Saya telah sebutkan sebelum ini bahawa untuk negara yang penduduknya berjumlah sekitar 28 juta ini Malaysia memerlukan hanya sekitar 20 orang menteri sahaja. Negara India yang mempunyai lebih 1 bilion rakyat itu pun hanya mempunyai sekitar 30 orang menteri sahaja.

Saya sebut Kabinet di sini kerana ia membuat dasar yang kemudian dilaksanakan oleh perkhidmatan awam. Dalam konteks perbincangan kita minggu ini perkhidmatan awam tidak boleh dikecilkan dengan mudah. Seperti yang saya sebutkan tadi kedudukan dan hak mereka dilindungi oleh perlembagaan. Saya rasa antara sebab mengapa perkhidmatan awam jadi gemuk ialah kerana kabinet diperbesarkan tanpa berfikir oleh BN. Agak jelas di bawah pentadbiran BN, kabinet dibentuk berdasarkan politik dan bukan keperluan negara. Tegasnya, BN hendak memastikan semua parti komponennya mendapat habuan melalui jawatan menteri, timbalan menteri dan setiausaha parlimen.

Kabinet yang gemuk itu menyebabkan pembentukan kementerian yang begitu banyak jumlahnya. Ini perlu diberhentikan oleh PR.

Bagi memastikan supaya falsafah dan idea yang betul tentang perkhidmatan awam dapat dikembalikan sebuah suruhanjaya bagi mengkaji isu-isu itu perlu ditubuhkan. Hal ini telah dilakukan beberapa kali di United Kingdom dalam tempoh 40 atau 50 tahun kebelakangan ini. Dalam soal ini veteran perkhidmatan awam, pakar pentadbiran dari kalangan akademik dan seterusnya perlu dilantik bagi mengkaji dan mencadangkan syor-syor yang perlu bagi menjelaskan kedudukan dan peranan perkhidmatan awam.

Ini bermakna bahawa selain berpolitik, tokoh-tokoh PR perlu merenung dan berfikir apakah bentuk negara dan pentadbiran yang mereka hendak kemukakan kepada rakyat. Dan ini adalah sebahagian daripada apa yang kita sering sebut sebagai politik baru selepas tsunami politik Mac 2008. Idea-idea itu juga perlu untuk kita menangani sabotaj yang didakwa dilakukan oleh BN di negeri-negeri yang PR perintah.



* Profesor Dr Abdul Aziz Bari telah mengajar undang-undang selama lebih 20 tahun

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List