Kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz membayangkan semakin ramai pemimpin BN yang terima hakikat bahawa perdana menteri akan datang tidak semestinya dari Umno dan BN atau khasnya Datuk Seri Najib Razak.
"Ini adalah bukti terkini bahawa pemimpin Umno dan BN sudah hilang keyakinan dan terasa ini adalah penggal terakhir mereka menjelang pilihanraya ke 13 nanti," kata Penasihat DAP, Lim Kit Siang (gambar) dalam kenyataannya.
Beliau mengulas kenyataan Nazri yang mendakwa, Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang mahu menjadi Perdana Menteri ekoran Muktamar Tahunan PAS ke 57 baru-baru ini.
Ahli Majlis Tertinggi Umno itu mendakwa, perubahan kepemimpinan PAS yang kini dikuasai golongan profesional menunjukkan parti itu mahu berkuasa dalam Pakatan Rakyat, termasuk Abdul Hadi yang berhasrat untuk menjadi Perdana Menteri.
Mengulas dakwaan Nazri ini, Abdul Hadi berkata, beliau tidak bercadang mahukan jawatan Perdana Menteri jika Pakatan Rakyat berjaya menumbangkan BN pada pilihan raya umum ke-13 akan datang.
Abdul Hadi yang juga ahli parlimen Marang berkata, perjuangan PAS adalah untuk menyelamatkan negara dan memperkenalkan dasar negara berkebajikan yang dibawa oleh Pakatan Rakyat.
“Yang penting kita mahu selamatkan negara... sesiapapun boleh jadi Perdana Menteri,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kota Bharu semalam.
Bagi Lim Kit Siang, Nazri memang mempunyai agenda tersendiri ketika membuat dakwaan ini namun persepsi awam adalah Nazri sendiri sudah hilang keyakinan bahawa BN dan Umno akan kekal memerintah negara ini selepas pilihan raya umum akan datang.
Beliau mengambil andaian teori RAHMAN yang mewakili enam perdana menteri dari Umno dan "Adakah teori ini akan sah tidak lama lagi." iaitu Najib adalah PM Umno yang terakhir.
RAHMAN mewakili Tuanku Abdul Rahman (R), Tun Abdul Razak (A), Tun Husein Onn (H), Tun Dr Mahathir Mohamad (M), Tun Abdullah Ahmad Badawi (A) dan yang terakhir Datuk Seri Najib Razak (N).
Bagi Lim Kit Siang, Pakatan Rakyat yang terdiri dari PAS, PKR dan DAP sudah sepakat perdana menteri mereka jika menang adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mungkin atas dasar itulah pelbagai usaha dibuat oleh Umno untuk menyekat Anwar menjadi perdana menteri termasuk mengenakan pelbagai dakwaan terhadap beliau, katanya.
sumber : - http://bm.harakahdaily.net
0 comments:
Post a Comment