Libya: Dari Zon Larangan Terbang ke Zon Perang

on Aug 28, 2011





Kejayaan Revolusi Libya menumbangkan rejim Muammar Gaddafi, bukan sahaja menghidupkan semula rentak Pemberontakan Arab yang seakan-akan menempuh jalan buntu selepas mencipta kejayaan di Tunisia dan Mesir, tetapi juga mempersegar campur tangan asing, lazimnya, kuasa besar bersama-sama Nato  di mana-mana negara yang bergolak.  Alasan yang diberikan untuk campur tangan ini ialah kemanusiaan yang jika tanpa campur tangan, pastinya berlaku pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat jelata.


David Owen, bekas Setiausaha Luar British  mengalu-alukan dan seterusnya meraikan kejayaan  campur tangan di Libya, membangkitkan bahawa   sejak mula lagi, kempen tersebut terpaksa bergelut dengan keraguan daripada pakar ketenteraan dan diplomat.  Beliau dengan angkuh mengatakan  penggulingan Kolonel Muammar Gaddafi menunjukkan bahawa, meskipun wujud halangan yang besar, Barat masih boleh melakukan tugas dengan baik.  Dalam  "We Have Proved in Libya That Intervention Can Still Work," yang diterbitkan dalam The Telegraph, Owen menulis:  "Kebenaran ialah bahawa Libya bukannya pengganti Kosovo  atau Sierra Leone.  Sebaliknya, Libya ialah prototaip untuk jenis baru campur tangan, satu jenis yang mencerminkan dunia yang sangat berbeza yang kita dapati diri kita sendiri pada hari ini."  


Campur tangan di Libya itu, bahas Owen, dapat dipertahankan oleh beberapa ciri penting:  pertama,  keseluruhannya undang-undang, iaitu dibenarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui Majlis Keselamatan, dan kedua, campur tangan itu bergema dengan mereka yang berasa malu oleh rasa malas kita terhadap Rwanda dan Srebrenica.  Juga wujud kesatuan yang mengagumkan antara parti politik, meskipun pendapat awam berbelah bahagi. David Cameron dan William Hague disokong pada setiap tahap oleh Ed Millband dan Douglas Alexander.  


Charles Moore yang menulis dalam akhbar yang sama, membangkitkan kejahatan dan kecelakaan yang dilakukan oleh Gaddafi serta individu dan kumpulan yang dikenali sebagai pengganas yang beliau sokong, di samping menggasak diktator dan pemimpin gerila yang anti-Barat.    Justeru, tegas beliau, Britain  sepatutnya tidak  berasa bersalah tentang penglibatannya dalam menumbangkan Kolonel Muammar Gaddafi.  Dan, Moore bukan sahaja memuji campur tangan itu, tetapi juga menggalakkan tindakan yang serupa dilakukan pada masa akan datang:  "Menggulingkan penzalam Libya menyediakan pencontoh untuk campur tangan yang berjaya di dunia Islam."  Mungkin beliau membayangkan bahawa selepas ini, Syria.  Nampaknya, negara itu tidak dapat mengelakkan daripada campur tangan, seperti yang dibahaskan oleh Joshua Landis dalam blognya: puak campur tangan lawan  bukan  puak campur tangan.


Berikutan kejayaan "campur tangan terkawal" ini, tidak memeranjatkan jika pada masa akan datang dan di tempat lain, Nato akan melaksanakan tugas melalui udara, manakala pemberontak melancarkan serangan di darat.   Hal ini pernah dibayangkan oleh George Grant yang memuji Nato yang berbekalkan  resolusi Majlis Keselamatan PBB,    berjaya melindungi rakyat Libya dengan cara berkesan. 


Meskipun usaha menamatkan pemerintahan Gaddafi selama 42 tahun memang dialu-alukan, caranya tidak dapat diterima sama sekali.  Pada mulanya dunia diberitahu bahawa resolusi PBB itu untuk menyelamatkan penduduk Benghazi daripada serangan  yang akan dilancarkan oleh rejim Gaddafi itu. Itu pun atas nama zon larangan terbang,  tetapi berselindung di sebalik  campur tangan  kemanusiaan, Amerika Syarikat, Britain, Perancis, dan kemudian Nato  melancarkan serangan ke atas Libya.  Selepas tentera pemberontak menguasai hampir keseluruhan Tripoli, Nato kini menumpukan serangan udara ke atas Sirte yang merupakan kubu kuat Gaddafi.  Sesungguhnya,  bekas diplomat British,Craig Murray, memang tepat apabila  dua hari lalu, beliau dipetik sebagai berkata,  "pendewaan campur tangan liberal" dan dilakukan melampaui resolusi PBB.  Namun, Setiausaha Pertahanan British, Liam Fox menafikan serangan Nato itu menyasarkan Gaddafi.




Simon Jenkins yang menulis The Guardian membangkitkan bahawa pengampu misi campur tangan di Libya adalah klasik.  Britain dan Perancis berkata mereka mewujudkan zon larangan terbang "untuk menyelamatkan Benghazi" daripada serangan bahaya, dan tidak lama selepas itu, mendapati diri mereka memihak dalam perang saudara.  Keadaan ini semakin menjadi-jadi  dengan kempen pengeboman terhadap Tripoli  untuk "menyelamatkan nyawa rakyat Libya," dan kemudian mendakwa bahawa ini adalah mustahil tanpa menggulingkan, bahkan jika mungkin membunuh Gaddafi.  Jenkins secara kritis membahaskan apa yang berlaku di Libya, sama seperti yang berlaku di  Iraq apabila tentera British dan Amerika ke sana semata-mata  "mencari senjata pemusnah besar-besaran," dan ke Afghanistan semata-mata "menghapuskan pangkalan al-Qaeda."  Tidak ada tentera Nato di bumi Libya, kemudian hanya pasukan khas, kemudian gilang-gemilang sepenuhnya sokongan udara tertutup untuk askar-askar Benghazi, dan kini, sumber pertahanan British mengakui bahawa askar-askar mungkin perlu untuk "membantu mewujudkan ketenteraman."  Jenkins juga menegaskan bahawa kejatuhan Gaddafi memang dialu-alukan, tetapi yang jelas campur tangan Britain di Libya adalah salah.


Seterusnya, Simon Jenkins muncul dalam akhbar yang sama, dengan peringatan,"Libya is Not Advertisement for Intervention,"  mengingatkan penglibatan Nato di Libya itu mempunyai asas yang sedikit dari segi realiti  di tengah-tengah kegembiraan yang berlebih-lebihan.  Kebenaran peperangan dan kejujuran kaedahnya adalah penting jika fahaman campur tangan liberal" yang baru untuk membawa pengaruh moral yang diumumkannya. Operasi Libya telah pun diisytiharkan kejayaan klasik untuk ideologi.


Tidak berlaku pembunuhan beramai-ramai di Benghazi, Jenkins mengingatkan,  "hanya ancaman serangan terhadap bandar itu oleh Gaddafi jika tentera pemberontak gagal untuk berunding.  Meskipun ancaman itu memang benar, andaian "beribu-ribu" kematian merupakan propaganda Nato untuk menghalalkan hasratnya untuk "melakukan sesuatu" untuk Pemberontakan Arab."


Janji Nato bahawa tiada tentera asing di bumi Libya, tegas Jenkins, adalah suatu pembohongan.  Sejak detik kuasa udara gagal untuk mencapai matlamat yang tidak diisytiharkan, iaitu menyerah diri Tripoli, janji ini tidak ditepati.  Askar-askar darat British ditempatkan secara meluas di Libya, perbezaan antara tentera terang-terangan dengan tentera terselindung adalah dibuat-buat.  Askar "khas" masih askar, dan tidak lama akan melepaskan kebanjiran  memoir "bagaimana saya menawan Tripoli."  Beliau juga mengkritik Britain yang bertindak memihak dalam perang saudara di Libya itu.


Campur tangan di Libya itu, lebih-lebih lagi dengan kejayaan menumbangkan Gaddafi, mengundang perdebatan yang menarik tentang langkah itu, walaupun Gaddafi dan rakyat negara itu   menjadi korban.  Dalam "Was the Libyan Intervention Really an Intervention?"  Anne-Marie Slaughter, berpendirian bahawa di dunia pada hari ini, komuniti antarabangsa mempunyai obligasi untuk melindungi warganegara sesama manusia daripada kerajaan yang merampas kesahan mereka.  Beliau yang nampaknya memihak kepada campur tangan yang diluluskan oleh PBB, menulis:  "Jika kita benar-benar memerhatikan dunia dari segi kerajaan dan masyarakat dan hubungan antara mereka, dan mengiktiraf bahawa kedua-duanya, iaitu kerajaan dan warganegaranya mempunyai sebagai subjek undang-undang antarabangsa dan mempunyai agensi sebagai pelaku dalam politik, maka apakah sebenarnya  "campur tangan" komuniti antarabangsa?"  


Beliau memberikan jawapan kepada persoalan itu dengan mengatakan bahawa ciri kedaulatan itu sendiri telah berubah.  Dan, tegas beliau, alasan yang paling menambat minat untuk doktrin tidak campur tanga pada mulanya adalah bahawa melindungi negara lemah daripada negara yang kuat, dengan andaian bahawa perkara buruk boleh berlaku kepada negara dan penduduknya ialah pencerobohan dan beberapa penggunaan kekuatan lain oleh negara lain.  Namun, bahas  Anne-Marie Slaughter, andaian tersebut hanya sesuai untuk abad ke-19 dan ke-20, sedangkan abad ke-21, penduduk selalunya berhadapan dengan risiko yang sama atau lebih besar daripada kerajaan mereka sendiri, sebagaimana risiko dari negara lain. 


Untuk menyatakan kewajaran campur tangan di sesebuah negara, beliau merumuskan, "di dunia kerajaan dan masyarakat, tanggungjawa untuk melindungi merupakan asas cara baru untuk berfikir tentang kedua-duanya,  iaitu kerajaan dan masyarakat dan hubungan antara mereka." Hal ini membawa maksud bahawa jika sesebuah negara itu mengalami pergolakan politik yang berlanjutan, maka komuniti antarabangsa wajar untuk campur tangan.  Namun, yang jelas berdasarkan pengalaman semasa di Libya, campur tangan diperalatkan atau disalahgunakan untuk melakukan pencerobohan dan mengubah rejim.


Walau apa-apa pun alasan atau hujah, yang jelas, seperti yang diperkatakan olehRichard Norton-Taylor dalam The Guardian, Libya merupakan "jenis baru campur tangan ketenteraan" - sesuatu didengar, meskipun dalam suasana meraikan kejatuhan Gaddafi.  Pengeboman tahap tinggi, perancangan askar-askar di bumi tahap rendah, dan mengambil peranan yang kurang penting untuk Amerika Syarikat.  Tulis beliau, "ini bukannya kemenangan agung untuk Nato."  Tambah beliau,  mandat PBB dirujuk secara khusus untuk melindungi orang awam dan kawasan yang "padat dengan orang awam" yang diancam oleh serangan, dan tidak memasukkan "pendudukan askar asing dalam apa-apa bentuk.  Akan tetapi, memang jelas sejak permulaan lagi bahawa perubahan rejim merupakan objektifnya.


"Konflik Libya," tulis Norton-Taylor, "melahirkan jenis baru campur tangan terang-terangan yang melibatkan penasihat ketenteraan dan pasukan khas, bukannya dari Amerika Syarikat, bahkan bukannya dari hanya negara Eropah, terutamanya SAS Britain, tetapi pasukan khas dari negara Arab, terutamanya Qatar dan Amiriah Arab Bersatu."


Tatkala ahli politik Amerika dan British beria-ria bercakap  untuk mengenakan zon larangan terbang terhadap Libya, Seumas Milne menulis pada awal Mac, mengingatkan campur tangan di negara itu akan meracuni Revolusi Arab.  Tindakan ketenteraan Barat terhadap Gaddafi berhadapan dengan risiko merebaknya konflik dan melemahkan gerakan demokratik.  Beliau juga mengingatkan mimpi ngeri pertumpahan darah di Iraq dan Afghanistan akibat campur tangan. "Puak campur tangan liberal, kini kembali," tulis beliau.  "Oleh sebab pemberontakan dan penindasan memecahbelahkan Libya kepada dua dan jumlah kematian meningkat, maka tempik perang Bush dan Blair yang lama kembali menghantui kita." 


Bagi Milne, "tanggungjawab untuk melindungi" yang diseru oleh mereka yang menuntut campur tangan di Libya digunakan secara terpilih bahawa kepura-puraan perkataan tidak menegakkan keadilannya.  Dan, idea bahawa negara yang dengan sendirinya bertanggungjawab terhadap kematian beratus-ratus ribu orang dalam peperangan tidak sah, pendudukan dan campur tangan pada dekad lalu, bersama-sama dengan pemenjaraan rakyat tanpa perbicaraan, penyeksaan dan penculikan, sepatutnya dibenarkan oleh institusi antarabangsa untuk mencegah pembunuhan di negara lain adalah hanya tidak masuk akal.


Perlu ditambah di sini bahawa yang tidak masuk akal itu digunakan di Libya, dan pastinya, akan digunakan di tempat-tempat lain: perhentian seterusnya ialah Syria.  Pergolakan politik dan kekacauan sosial yang tercetus di mana-mana negara, sesungguhnya kini, bukan lagi masalah dalaman negara berkenaan.  Sebaliknya, beberapa buah negara lain, lazimnya dengan menggunakan mandat PBB boleh bertindak bukan sahaja untuk memulihkan keamanan dan ketenteraman, tetapi juga untuk mengubah pemimpin di negara berkenaan, tidak kira sama ada pemimpin itu dipilih secara sah oleh rakyat ataupun tidak. Justeru, jangan terperanjat sekiranya puak yang ingin menjatuhkan seseorang pemimpin, melalui perancangan yang rapi, mencetuskan huru-hara yang boleh membuka pintu kepada campur tangan asing. 


Seperti yang berlaku di Libya, campur tangan   adalah secara  terang-terangan - sesuatu yang membimbangkan, sesuatu yang menakutkan. Rakyat negara itu memang wajar berasa gembira kerana mereka akhirnya berjaya membebaskan diri mereka daripada cengkaman rejim yang memerintah selama 42 tahun.  Namun, kini di bumi Libya bukan sahaja menyaksikan revolusi yang agung, tetapi di bumi itu juga tersemai benih yang subur untuk jenis baru campur tangan.  

Oleh:   ZULKIFLI  SALLEH

Photobucket

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List