FIDLOT :- Sedang Disiasat

on Nov 18, 2011





Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar mengesahkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial sedang menyiasat aduan berkaitan pembelian kondominium menggunakan dana projek kontroversi Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC), yang dikaitkan dengan keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
“Kami sedang meneliti laporan (yang telah dibuat) dan memerlukan masa untuk menyiasat,” katanya.
Dipetik Star Online hari ini, Ismail(gambar) berkata pihaknya akan memanggil mereka yang terbabit untuk siasatan.
“(Jadi) kami minta orang ramai berhenti daripada membuat spekulasi dan membolehkan kami menjalankan siasatan tanpa sebarang tekanan,” kata beliau.
Laporan semalam memetik beliau berkata pihaknya belum menerima sebarang laporan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan isu itu.
“Setakat ini, saya belum menerima apa-apa lagi,” kata beliau yang awalnya dikatakan kelihatan terkejut apabila diminta mengulas isu itu sambil memberitahu perkara berkenaan merupakan kes SPRM.
Bagaimanapun apabila dikatakan bahawa SPRM sudah memindahkan isu berkenaan kepada polis, Ismail berkata beliau perlu meneliti perkara tersebut sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.
Dalam satu kenyataan pagi ini, jurucakap SPRM mengesahkan pihaknya telah merujuk aduan PKR berkaitan dengan pembelian kondominium menggunakan dana NFC kepada kepada polis kelmarin.
Bagaimanapun menurut jurucakap SPRM, aduan tersebut dipanjangkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial susulan kenyataan dikeluarkan oleh pihaknya Isnin lalu.
“SPRM mengesahkan laporan berkaitan dengan NFC telah dihantar kepada Pengarah Siasatan Jenayah Komersial pada 16 November 2011,” kata jurucakap itu dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insider.
Isnin lalu, SPRM berkata agensi itu tidak boleh menyiasat kes pembelian kondominium menggunakan dana projek NFC, sebaliknya menyerahkan polis.
Katanya aduan berkaitan hanya boleh disiasat di bawah Kanun Keseksaan.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan, SPRM berkata setelah diteliti aduan diterima minggu lalu, Bahagian Perundangan dan Pendakwaan telah mengaklasifikasikan perkara tersebut di bawah kesalahan Kanun Keseksaan dan bukannya satu kesalahan di bawah bidang kuasa suruhanjaya sepertimana termaktub dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Minggu lalu, PKR mendakwa NFC telah membayar hampir RM10 juta bagi membeli kondominium milik National Meat and Livestocks Corporation Sdn Bhd (NMLC).
Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata apartmen mewah di One Menerung, Bangsar itu direkodkan oleh NFC, projek ternakan lembu yang dikurniakan kepada keluarga Shahrizat, sebahagian daripada “pinjaman” RM83 juta disalurkan kepada NMLC.
“Mereka kata akaun pinjaman RM250 juta bagi projek ini diteliti dengan ketat. Adakah kondominium ini bagi lembu untuk tinggal,” katanya.
Saifuddin berkata sebanyak RM9,758,140 telah dipindahkan dari akaun NFC di CIMB cawangan di Taman Tun Dr Ismail di sini kepada Bandar Raya Developments Berhad pada 2 Disember 2009 sebagai bayaran penuh hartanah itu.
Pada hari yang sama, anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR Fariz Musa juga membuat laporan mengenai pendedahan salah laku pecah amanah di NFC, di pejabat SPRM Shah Alam.
Dalam taklimat kepada beberapa media, Pengerusi Eksekutif NFC, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail berkata NFC telah mereka strategi kewangannya sendiri yang termasuklah strategi pelaburan di bidang harta yang ia jangka dapat memberi pulangan tinggi dan stabil kepada syarikat.
Menjawab dakwaan PKR itu, katanya, pembelian dua unit kondominium One Menerung berharga RM6.9 juta tiap satu itu adalah satu keputusan komersial melindungi dana yang tidak digunakann untuk projek rumah sembelihan yang tergendala bukan kerana kesilapan NFC.
“Kami boleh memasukkannya ke dalam simpanan tetap namun menghadapi kerugian nilai kerana inflasi kami tinggi. Sementara menunggu projek itu dimulakan kami perlu mencari tempat meletakkan wang bagi satu tempoh supaya tidak mengalami kerosotan dan mendapat keuntungan hampir setiap tahun,” katanya.
Salleh, suami kepada Shahrizat berkata, yang terbaik sekali ialah membiarkan dana sebagai simpanan tetap yang akan kurang kontroversi tetapi tidak akan memberikan hasil yang dikehendaki syarikat daripada dana yang bersaiz sedemikian.



Photobucket

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List