KETAWA DIAMBANG "SAKARATUL MAUT"

on Dec 1, 2011





Perhimpunan agung UMNO bermula secara rasminya hari ini. Namun arah tujuannya sudah pun jelas melalui suara persidangan sayap pemuda, wanita dan puteri parti semalam. Malah lebih awal lagi, api perkauman sudah pun dinyalakan. 


Sebelum persidangan bermula, Ketua Penerangan UMNO Datuk Ahmad Maslan telah memulakan tembakan dengan memberi peringatan basi kepada orang Melayu bahawa jika UMNO hilang kuasa, maka Melayu akan hancur musnah.


Menurutnya, tanpa UMNO, institusi diraja akan hancur dan Islam juga akan hancur kerana DAP merupakan “ejen kristianisasi”. Tidak cukup dengan itu, DAP dituduhnya tidak menghormati institusi raja kerana tidak mahu meminta atau menerima darjah kebesaran!



Kenyataan politik longkang ini datangnya dari seorang pemimpin UMNO yang hanya beberapa hari lalu dilaporkan media sebagai berkata, “apabila kita beri pandangan tertentu, kita perlu memikirkan perasaan kaum lain yang pelbagai dalam negara ini.”
Cakap tak serupa bikin itu sudah seperti menjadi budaya di kalangan pimpinan UMNO. Mungkin mereka lupa pesan nenek moyang sendiri, guru kencing berdiri, murid kencing berlari.

“Parti paling rasis”

Bukan sahaja tidak ada sesiapa yang menegurnya, malah Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin menyambung nada Ahmad dengan mengumumkan ‘jihad’ untuk menyelamatkan UMNO dan Barisan Nasional – dengan menghamun DAP sebagai “parti paling rasis”.

DAP yang menolak ketuanan kaum, yang mahu kepada hak dan peluang saksama, dan yang mahu kepada keadilan untuk semua, dikatakan parti paling rasis. Inikah kenyataan bernas dari seorang Menteri Pelajaran?
“Daripada soal kedudukan Raja-Raja Melayu, hak istimewa orang Melayu, kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan, segala-galanya cuba dipertikai dan dirobek satu demi satu oleh parti DAP,” kata Muhyiddin tanpa memberi sebarang bukti untuk mengalas fitnahnya.

Ditambah pula: “Tembelang DAP untuk menubuhkan sebuah negara republik dengan mengetepikan nilai, sejarah dan jati diri Malaysia sebagai sebuah negara bangsa yang berpaksikan kedaulatan Raja-raja Melayu dan Islam sebagai Agama Persekutuan semakin jelas kelihatan.

“Masakan tidak, mereka berani mencadangkan supaya jawatan Perdana Menteri dipilih secara langsung dalam pilihan raya tanpa perlu dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong. Apa maknanya ini? Maknanya, sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembangaan yang kita amalkan selama ini sudah tidak sesuai lagi dengan tembolok mereka untuk melahap kuasa.”

Bukan sekali, malah berkali-kali fitnah. Begitu rendah sekali pandangan Timbalan Perdana Menteri terhadap orang Melayu yang disangkanya akan mudah menelan bulat-bulat pembohongannya. Oh, mungkin yang ditujukannya itu hanya kepada para perwakilan UMNO sahaja.

Tidak pernah berlaku dalam sejarah ucapan Timbalan Presiden UMNO di mana lebih 60 kali nama “DAP” disebut dengan diselitkan dengan pelbagai fitnah. Memang semua pembohongan Muhyiddin dijawab oleh DAP tetapi kita sedar tidak ada satu kenyataan pun telah dan akan disiarkan oleh media massa yang hampir keseluruhannya dikawal oleh UMNO-BN.

Sopan santun perwakilan UMNO?

Mengapa para pemimpin UMNO perlu memusuhi orang lain demi mengekalkan kemandirian politiknya?  Mereka sentiasa menggunakan DAP (sebagai ganti nama ‘Cina’) untuk menjadi kambing hitam. Kini untuk menambah perencah dalam hidangan mereka yang basi, mereka menambah penganut agama Kristian pula sebagai sasaran.
Tidak cukup dengan itu, bahasa sesetengah perwakilan UMNO sewaktu persidangan sayap-sayap parti juga biadap dan memalukan serta menjatuhkan maruah bangsa Melayu. Sudah tentu ada di antara 3.2 juta ahli UMNO yang merasa malu mereka menjadi anggota parti itu pada saat ini.

Seorang wakil Pemuda UMNO, mungkin kerana penguasaan kosa kata yang lemah dan terhad, telah menggelar PAS dan PKR sebagai “pondan” dan “bapok” serta menuduh sesiapa yang menyokong DAP adalah “bangsat”. Jika beginilah pemimpin muda Melayu, sukar dibayangkan nasib anak-anak Melayu di masa hadapan.

Jika berbuat salah, salahkan orang lain

Logik yang semakin pupus sifat munasabahnya pula dibawakan oleh Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Shahrizat Jalil yang terpalit dengan skandal penternakan lembu, termasuk wang yang digunakan untuk membeli kondominium mewah, dengan cuba mengalihkan tumpuan kepada kes mahkamah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Shahrizat mencabar Wanita PKR supaya mendesak Datin Seri Wan Azizah Ismail meletak jawatan kerana suaminya Anwar dikatakn telah melakukan pelbagai kesalahan. Apa pula kena-mengena Anwar dengan projek lembu beratus juta ringgit yang diberikan kepada keluarga Shahrizat yang penuh dengan pelbagai persoalan, sebagaimana yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara?

Dan seperti biasa, agama menjadi alat. Shahrizat yang mendapat “restu” perwakilan wanita yang mengangguk dan menyorak sokong sewaktu ucapannya itu, menggulung dengan menyatakan: “Saya menyeru semua rakyat Malaysia tak kira parti mana pun, kita orang Islam mari bersatu, jangan kita biarkan ideologi politik memecah-belahkan ukhuwah kita”.

Telenovela tahunan UMNO ini baru sahaja bermula. Saksikanlah drama hebat ini yang pasti mengundang air mata, sama ada terlalu sedih dan pedih mengenangkan nasib orang Melayu di bawah UMNO atau terlalu tidak masuk akal memikirkan kedangkalan politik UMNO masa kini yang telah menghancurkan impian ibu-ibu dan bapa-bapa kemerdekaan kita.

sumber :-   Roketkini.com


Photobucket

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List