Terpulang kepada Aziz Bari jika mahu keluar UIA, kata Rektor

on Dec 6, 2011



Pentadbiran Universiti Islam Antarabangsa (UIA) berkata terpulang kepada pensyarah undang-undang  Prof Dr Abdul Aziz Bari jika mahu meninggalkan pusat pengajian tinggi itu, dipercayai ekoran siri tekanan dihadapinya sekarang.
Rektor UIA Prof Datuk Seri Dr Zaleha Kamaruddin yang dihubungi The Malaysian Insiderberkata: “Keputusan itu hanya Aziz yang berhak menjawabnya.”
“Itu semua terpulang kepadanya,” katanya ketika ditanya berkenaan perkara itu.
Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood pula berkata, pihaknya tidak mempunyai maklumat berkenaan perkara itu, sebaliknya menyerahkannya kepada rektor untuk memberikan kenyataan.
“Saya tiada maklumat tentang perkara itu, mungkin boleh dirujuk kepada Rektor UIA,” katanya.
Kelmarin, The Malaysian Insider melaporkan bahawa Aziz tidak menafikan akan meninggalkan UIA awal tahun depan ekoran beberapa siri tekanan yang dikenakan ke atasnya.
Aziz disiasat atas alasan telah memudaratkan imej universiti dan juga  polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, termasuk siasatan atas dakwaan  mempertikaikan titah Sultan Selangor berhubung isu Jais dan gereja  baru-baru ini.
“Selama ini pun, sebelum isu Sultan ini timbul, universiti sudah sedia tidak senang dengan saya,” katanya dengan mengatakan bahawa surat tunjuk sebab yang diberikan UIA Oktober lalu merupakan surat tunjuk sebab ketiga.
“Itu sudah cukup untuk menunjukkan hebatnya tekanan ke atas UIA. Dalam kes ini kononnya pihak istana turut mengenakan tekanan. Ini semua menyukarkan saya untuk terus berada di UIA,” katanya lagi.
Insider turut difahamkan Aziz juga telah disenaraikan untuk kenaikan pangkat sebagai profesor gred ‘A’.
Bagaimanapun, katanya, UIA menghadapi dilema kerana kalau hendak mengekalkan beliau pun tak boleh apalagi hendak menaikkan pangkatnya.
“Jadi dalam keadaan demikian apa lagi pilihan saya selain meninggalkan UIA,” tambahnya.
Aziz menambah, beliau sedih kerana pelajar-pelajar yang menanggung risiko, khususnya yang mengikut pengajian doktor falsafah di bawah penyeliaannya.
Dalam pada itu sumber menambah, ada pihak yang tidak mahu UIA memecat Aziz kerana itu akan memburukkan imej Umno-BN.
“Apa pun surat tunjuk sebab UIA itu tidak cukup kuat untuk memecat beliau,” katanya lagi.
Akhir bulan lalu, Aziz memberitahu The Malaysian Insider bahawa beliau tiada langsung cita-cita mahu menyertai politik ataupun bertanding pilihan raya meskipun kalangan pemimpin Umno mencabarnya berbuat demikian.
Katanya, memberi pandangan di pentas ceramah pembangkang termasuk PKR baru-baru ini bukan bermakna beliau berhasrat mahu terjun ke dalam arena politik.


sumber :-  malaysianinsider
Photobucket

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List