Saya pernah membaca sebanyak dua kali buku Fiqh al-Khilafah hasil karangan Dr. Abdul Razzaq al-Sanhuri yang pastinya merupakan tokoh yang begitu dikenali dalam dunia undang-undang. Buku yang merupakan tesis beliau di University Of Lyon di Perancis ini seingat saya telah ditulis pada tahun 1928 iaitu empat tahun selepas kejatuhan Khilafah Islamiyyah di Turki.
Buku karangan beliau yang pada asalnya ditulis dalam bahasa Perancis adalah membincangkan konsep kerajaan menurut kaca mata Islam. Antara yang menarik di dalam buku ini adalah seperti berikut:
Sesebuah kerajaan tidak akan dianggap sebagai kerajaan Islam melainkan apabila kuasa penetapan dasar (al-Sultoh al-Tasyri`iyyah) adalah diserahkan bulat-bulat kepada ketetapan Allah dan RasulNya, bukan kepada pandangan ahli parlimen.
Kerajaan Islam terbahagi kepada dua; al-Khilafah al-Rashidah (kerajaan yang sempurna) dan al-Khilafah al-Naqisoh (kerajaan yang berlaku kekurangan). Menurut beliau, al-Khilafah al-Rashidah hanya akan berlaku apabila sistem perlantikan seseorang khalifah adalah dengan pemilihan daripada rakyat. Sekiranya sistem yang diamalkan adalah sistem beraja, maka kerajaan tersebut adalah al-Khilafah al-Naqisoh.
Dari sudut sejarah, al-Khilafah al-Rashidah hanya berlaku bermula daripada pemerintahan Sayyidina Abu Bakar dan berakhir pada pemerintahan Sayyidina Ali bin Abi Tolib. Selepas itu sehinggalah jatuh Khilafah Islamiyyah pada tahun 1924, Khilafah adalah Khilafah yang tempang kerana perlantikan Khalifah adalah dengan cara kekeluargaan.
Apabila khilafah adalah khilafah yang tempang (al-Khilafah al-Naqisoh), maka sekiranya umat Islam dapat menjatuhkan khilafah ini dan dapat menggantikannya kepada al-Khilafah al-Rashidah, maka umat Islam hendaklah menjatuhkan sebuah Khilafah Islamiah yang tempang.
Sekiranya umat Islam tidak mampu untuk menggantikan al-Khilafah al-Naqisoh kepada al-Khilafah al-Rashidah, maka bersabar dengan kezaliman al-Khilafah al-Naqisoh adalah lebih baik daripada hidup di dalam zaman tiadanya Khilafah langsung.
Antara usaha yang perlu dimainkan bagi mendirikan Khilafah Islamiah buat masa hadapan adalah mewujudkan institusi ilmu yang mampu mengeluarkan orang-orang yang pakar dalam bidang fiqah (al-Mujtahidun).
Saya secara peribadi semasa di Mesir telah bertemu dengan al-Marhum Dr. Tawfiq Shawi yang merupakan menantu kepada Rd. Abdul Razzaq al-Sanhuri (Dr. Tawfiq Shawi dan isterinya Dr. Nadiah al-Sanhuri adalah orang yang bertanggungjawab menterjemahkan buku Fiqh al-Khilafah ke dalam bahasa Arab). Saya bertanya kepada beliau: "Adakah Malaysia sebuah negara Islam?" dan beliau dengan pantas menjawab "Tidak". Saya dapat mengesan sebabnya iaitu Syarak tidak dijadikan pemutus paling tinggi dalam dasar negara sebaliknya tugas ini dirampas oleh dua pertiga ahli Parlimen.
Saya membuat satu kesimpulan:
Sekiranya sebuah Khilafah Islamiah yang melaksanakan hukum-hukum Islam dan menjadikan kuasa pemutus dasar tertingginya adalah Syarak pun boleh dijatuhkan oleh rakyat apabila cara perlantikan Khalifah bukan dengan cara suara rakyat, maka apa sangatlah dengan kerajaan BN yang memerintah Malaysia pada hari ini yang sememangnya bukan negara Islam bahkan sanggup pula mengenepikan aturan-aturan Syarak.
Rasanya Kerajaan BN hari ini sangat-sangat layak untuk diruntuhkan oleh rakyat yang cintakan Islam dan cintakan kesejahteraan sejagat.
Dari Maklumat Asal
1 comments:
arrayah.info : PAS dan UMNO sepatutnya Rasa Terhina Tidak Laksanakan Syariat Islam Secara Keseluruhan
Post a Comment