Dilarang guna nama Lotus

on Sep 28, 2010




KUALA LUMPUR - Pasukan Formula Satu Malaysia, 1Malaysia Racing Team (1MRT), tidak lagi dibenar menggunakan nama Lotus Racing berkuat kuasa musim depan, selepas lesen yang diberikan kepada semua syarikat yang mempunyai kaitan dengan prinsipal pasukan itu, Datuk Seri Tony Fernandes ditamatkan.

Perkara tersebut diumumkan Proton Holdings Berhad dalam satu kenyataan semalam, yang menjelaskan, penamatan tersebut dibuat ekoran tindakan terangan-terangan dan berterusan oleh Fernandes, yang melanggar lesen yang diberi kepada mereka dan dianggap telah merosakkan nama Lotus.

Berikutan penamatan tersebut, bukan saja pasukan 1MRT tidak dibenarkan menggunakan nama Lotus, malah semua syarikat yang mempunyai kaitan dengan Fernandes, termasuk Kumpulan Tune Bhd. atau Pasukan Lotus Ventures Limited, turut menerima akibatnya.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bahagian Komunikasi Proton itu lagi, Kumpulan Lotus difahamkan, Fernandes bercadang melakukan penjenamaan semula dengan tidak lagi menggunakan nama Lotus Racing pada musim 2011, sebaliknya berlumba di atas nama Team Lotus.

Fernandes memberitahu, Kumpulan Tune telah mendapat hak untuk menggunakan nama Team Lotus, yang dulunya dimiliki David Hunt dengan menggunakan nama Team Lotus Ventures Limited. Mereka percaya, hak tersebut tidak diperoleh dengan cara yang sah, malah Fernandes sendiri sedar akan perkara itu.

Menurut Proton, mereka menyokong sebarang tindakan yang akan diambil Kumpulan Lotus dalam usahanya melindungi hak terhadap jenama 'Lotus', termasuk menentang sebarang cubaan oleh Fernandes dan syarikatnya atau mana-mana pihak untuk menggunakan nama Lotus pada aksi F1 2011.
"Lotus antara jenama paling bernilai dalam F1 ketika ini. Kami adalah pemilik kepada jenama ini dan akan mengambil semua langkah yang perlu untuk melindunginya.
"Tony Fernandes tidak mempunyai hak untuk menggunakan jenama Lotus dalam F1 2011. Kami menentang sekeras-kerasnya sebarang cubaan menggunakan jenama kami tanpa keizinan. Kami juga menarik diri sebagai penaja Lotus Racing.

"Kumpulan Lotus adalah pemilik kepada semua yang berkaitan dengan Lotus. Fakta bahawa 1Malaysia Racing Team memohon lesen daripada Kumpulan Lotus untuk menggunakan jenama kami dengan sendirinya telah menunjukkan baik Fernandes, mahupun 1 Malaysia Racing Team mengiktiraf dan mengakui hak yang dimiliki oleh Kumpulan Lotus,'' kata Pengerusi Proton Holdings Berhad dan Kumpulan Lotus, Datuk Seri Mohd. Nadzmi Mohd. Salleh.
Fernandes dan 1Malaysia Racing Team tahun lalu memohon lesen daripada Kumpulan Lotus ,bagi menggunakan jenama Lotus untuk pasukan Lotus Racing dalam F1 musim ini.

Menurut Proton, hanya ada satu Lotus iaitu yang diasaskan oleh Colin Chapman, bermula dari era mereka mengeluarkan kenderaan komersial hingga kepada kereta lumba. Sehingga 1994, Kumpulan Lotus, pengeluar kereta komersial dan kereta Pasukan Lotus, yang beraksi dalam F1 mempunyai pemilik dan pengarah yang sama.

UM

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List