Dua anggota polis cedera ditikam.....???
Copy & Posted By mahi on Sep 19, 2010
SERDANG – Dua anggota polis cedera parah dan masing-masing terpaksa menerima 12 dan empat jahitan selepas bergelut dengan seorang suspek curi kenderaan berhampiran Apartmen Kenanga, Jalan Wawasan 2/3, Taman Wawasan, Pusat Bandar Puchong, di sini, awal pagi semalam.
Kedua-dua anggota berpangkat Konstabel itu Ahmad Nil Mustaqim Azman, 23 dan Muhammad Fitri Abdul Ghani, 21, terpaksa dikejarkan ke Hospital Putrajaya dan menerima rawatan sebagai pesakit luar sebaik berjaya memberkas suspek.
Ahmad Nil berkata, kejadian berlaku apabila beliau cuba mencekup suspek berusia lingkungan 38 tahun yang ketika itu sedang memecahkan cermin sebuah kereta jenis Honda City diletakkan di luar pagar apartmen berkenaan.
“Kami bersembunyi di kawasan semak memerhatikan gerak-geri suspek dan cuba memberkasnya selepas dia memecahkan cermin kenderaan itu dengan batu.
“Dalam pergelutan selama hampir 10 minit itu, suspek secara tiba-tiba mengeluarkan pisau menikam serta menoreh bahagian lengan sebelah kiri saya,”katanya yang tidak menyedari suspek mempunyai senjata ketika itu.
Katanya, beliau bagaimanapun tidak berasa sakit ketika dicederakan sehinggalah seorang lagi rakan datang membantu tetapi turut dicederakan di bahagian betis kirinya.
“Suspek yang bertindak agresif sebelum itu akhirnya berjaya digari dan dibawa ke balai untuk tindakan selanjutnya.
“Kami turut menjumpai gunting dalam poket seluarnya selain alatan pecah rumah dan sebilah pisau yang digunakan untuk mencederakan saya dan rakan,”katanya yang memaklumkan dia baru hari pertama melapor diri dalam kumpulan A yang ditugaskan untuk pencegahan jenayah.
Ahmad Nil berkata, meskipun mengalami luka parah itu, ia sedikitpun tidak melemahkan semangatnya untuk terus berkhidmat sebagai anggota polis.
“Apa yang berlaku menguatkan lagi semangat saya untuk terus memberi khidmat mencegah jenayah.
“Biarpun luka, rasa berbaloi kerana dapat memberkas suspek kes curi kenderaan itu,”katanya yang memaklumkan suspek yang turut mengalami luka akibat terkena serpihan kaca dihantar ke Hospital Serdang untuk mendapatkan rawatan.
SinarHarian
0 comments:
Post a Comment