PETALING JAYA: Kemerdekaan tidak memberi makna jika masih ada pihak tertentu yang masih meniupkan api perkauman, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Menurutnya, DAP dengan penuh iltizam telah berjuang ke arah mewujudkan masyarakat pelbagai kaum dengan menawarkan peluang saksama dan keadilan untuk semua.
DAP, katanya, tetap menjunjung Perlembagaan Persekutuan 1957 yang menjamin hak-hak setiap rakyat di negara ini.
"Tidak ada gunanya mengaku antiperkauman jika membiarkan musuh-musuh perpaduan menggalakkan sikap benci membenci antara kaum dan agama.
"Malangnya, iltizam dan semangat DAP ini cuba dipatahkan oleh segelintir manusia yang tidak mahu melihat masyarakat Malaysia hidup dalam suasana harmoni dan kasih sayang," katanya dalam satu kenyatan sempena sambutan kemerdekaan negara.
Guan Eng berkata, erti merdeka amat penting kepada kita semua kerana ia mencerminkan kematangan rakyat Malaysia dalam mengharungi cabaran, khususnya dalam usaha kita untuk memupuk perpaduan kaum.
Katanya, merdeka bererti kita bebas daripada penindasan dan pengekangan hak. " Merdeka bererti Malaysia bebas daripada undang-undang zalim seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Hasutan, Akta Penerbitan dan Mesin Cetak dan banyak lagi undang-undang yang bersifat antirakyat dan antikebebasan.
"Malah, Merdeka juga sepatutnya bererti Malaysia bebas daripada rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa, diskriminasi dan perkauman.
Merdeka bermaksud rakyat hidup aman damai tanpa rasa takut," katanya. Sementara itu Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pula mengajak rakyat mengingati semangat pemahsyuran kemerdekaan iaitu berteraskan prinsip kebebasan dan keadilan.
Katanya, kerajaan negeri Selangor di bawah pimpinan Pakatan Rakyat sentiasa berusaha menegaskan semula asas ini yang sedikit sebanyak kabur dalam persaingan politik kepartian di Malaysia.
Menurutnya, kita mesti berani memperakui kewujudan pelbagai bentuk usaha memerdekakan negara, sama ada kita bersetuju atau tidak dengan cita-cita dan kaedah perjuangan yang dibawa.
" Kemerdekaan adalah cita-cita besar rakyat pada zaman itu. Terlepas apa juga perbezaan dalam realiti jamak sosio-masyarakat kita, Merdeka adalah lambang sebuah keberanian kita untuk mengambil tanggungjawab terhadap negara sendiri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Khalid menambah, bukan sekadar itu, sejarah jelas mencatatkan bahawa merdeka terhasil daripada kesedaran semua negeri-negeri dengan kedaulatannya tersendiri untuk bersatu di bawah satu Perlembagaan bersama yang terkandung hak kerajaan Persekutuan dan Negeri dalam menjalankan tanggungjawab kepada rakyat. Perlembagaan inilah yang bertindak sebagai dokumen penyatu, katanya.
Sumber:-MT
0 comments:
Post a Comment