Kita bukanlah ‘Saudagar Mimpi’

on Oct 18, 2010

SATU yang menarik perhatian saya dalam Bajet 2011 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak Jumaat lalu ialah nasihat beliau supaya kita jangan jadi ‘saudagar mimpi’.
Beliau tidak mahu rakyat berkhayal, sebaliknya keluar daripada belenggu pemikiran dan cara bekerja yang biasa. Kita kena kerja kuat. Perubahan bukan lagi satu pilihan tetapi satu yang perlu dilakukan, jika tidak kita akan jauh ketinggalan


Biarlah pakar-pakar ekonomi dan kewangan mengulas secara terperinci bajet berbilion ringgit. Sebagai orang biasa saya cuma hendak lihat dilema saudagar mimpi ini dinyahkan dari pemikiran dan sikap orang kita. Selama ini ramai orang menjadi saudagar mimpi. Mereka mahu kerja mudah tetapi untung cepat dan besar.
Mereka tidak mahu kerja keras. Lobi, mengampu dan membodek untuk dapat projek dan kontrak juta-juta. Bila sudah dapat projek, mereka serahkan pada orang lain untuk buat kerja. Mereka hanya ambil imbuhan setiap bulan untuk hidup senang. Tidak mahu bayar hutang bank juta-juta. Joli sakan 24 jam dengan duit terpijak. Sebab itu saudagar mimpi akhirnya menjadi ‘saudagar mampus’.

* SETAKAT ini sebahagian dari kemarahan umum mungkin sudah mereda. Sekurang-kurangnya dua orang yang dikaitkan dengan pembunuhan kejam terhadap Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya telah menerima hukuman. Mahkamah Majistret Telok Datok telah menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun ke atas U Suresh dan K Sarawanan setelah keduanya mengaku bersalah atas tuduhan menghapuskan bukti pembunuhan kejam di Banting itu.

Jutawan kosmetik itu bersama pemandunya, Kamaruddin Shamsudin, pegawai CIMB, Noorhisham Mohammad dan peguam Ahmad Kamil Abd Karim telah dibunuh dengan kejam di Ladang Gadong, beberapa hari sebelum raya lalu. Berdasarkan apa yang disiarkan media, pelbagai versi telah disebut mengenai bagaimana keempat mangsa itu dibunuh.
Walaupun dua telah dijatuhkan hukuman penjara, perjalanan mahkamah untuk pembunuhan ini masih panjang. Orang ramai menunggu perbicaraan penuh untuk mengetahui bagaimana mangsa menghadapi saat-saat terakhir sebelum maut. Siapa yang melakukan pembunuhan tersebut, siapa yang menjadi perancang, semuanya ditunggu-tunggu oleh umum, dan yang lebih penting apakah kesudahannya episod kejam ini? Apakah yang bersalah akan menerima hukuman setimpal?

* SEHARI dua ini kita membaca – dan melihat gambar – kengerian di lebuh raya. Ahad lalu sebuah bas ekspres yang dikatakan dipandu melebihi had laju, telah ‘terbang’ di Lebuh Raya Utara Selatan dekat Linggi. Bas itu telah merempuh beberapa kenderaan lain, menghempap sebuah Myvi dan meragut 12 nyawa. Jumaat lalu seorang lagi yang terlibat dalam kemalangan itu meninggal dunia, menjadikan yang maut dalam tragedi waktu senja itu 13 orang.

Tiga hari lalu satu lagi kemalangan ngeri telah berlaku di laluan Kuala Lumpur-Ipoh di Jeram dekat Kampar. Sebuah kereta dengan enam penumpang, juga dipandu laju, telah melanggar pokok. Oleh sebab terlalu kuat menghentam pokok, kenderaan tersebut telah terbakar, dan membunuh kesemua yang ada di dalamnya, termasuk satu pasangan yang baru kahwin. Sesetengah orang kata jalan dan lebuh raya kita berhantu. Tetapi kalau tidak berhantu pun kemungkinan untuk berlaku kemalangan memang sentiasa tinggi apabila kenderaan dipandu melebihi had laju yang ditetapkan.

Selain memecut bagaikan pelesit, mereka melanggar juga peraturan lain termasuk melanggar lampu merah, memotong di selekoh dan memandu di lorong kecemasan. Pemandu seperti inilah yang sebenarnya hantu. Mungkin betul, jalan raya kita ada hantu. Maka, saya cadangkan kita jangan lagi gunakan jalan raya dan lebih saya sebagai alat perhubungan.

* AKHIR kalam, selain jalan raya, mungkin ramai yang tidak tahu bahawa nyamuk Aedes pun menjadi pembunuh yang semakin menjadi-jadi. Mengikut perangkaan Kementerian Kesihatan kes kematian akibat denggi meningkat kepada 62 peratus tahun ini. Jumlah yang maut seluruh negara ialah tahun ini ialah 117 orang berbanding 72 tahun sebelumnya.

Tolong jangan kaitkan ini dengan hantu. Sebab membiaknya Aedes penyebab denggi memang berpunca dari kesalahan kita sendiri yang degil dan tidak peka pada kawasan dalam dan luar rumah yang banyak tempat menakung air.

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List