Majukan Taman Kinabalu, bukan bangunan 100 tingkat...???

on Oct 21, 2010

sample pic BM copyKOTA KINABALU: Kenapa kita mesti membazir dengan membina bangunan pencakar langit yang artifisial, jika kita boleh menumpukan perhatian kepada mempromosi dan membangunkan kawasan taman keajaiban semula jadi di sekitar Gunung Kinabalu?
Gunung Kinabalu, tapak warisan dunia dan ikon pelancongan Malaysia, adalah tempatnya jika kerajaan mahu membangunkan sektor eko-pelancongan berskala mega, berbanding bangunan 100 tingkat yang melibatkan berbilion ringgit.
Sambil menyindir pengumuman yang dibuat Perdana Menteri Najib Tun Razak berhubung cadangan Menara Warisan Merdeka bernilai RM5 bilion di Kuala Lumpur, Ketua Penerangan Parti Progresif Sabah (SAPP), Chong Pit Fah berkata,
"Kenapa perlu berbelanja wang pembayar cukai untuk mewujudkan tempat tarikan pelancong dalam bentuk bangunan 100 tingkat apabila Tuhan telah menganugerahkan kepada kita pusat tarikan pelancong yang begitu indah, di mana tidak ada bangunan yang l ebih tinggi darinya."
"Kita bukan Dubai atau Las Vegas, yang kawasannya tandus dan kering kontang serta tidak memiliki tempat tarikan pelancong semula jadi yang menarik hingga mereka terpaksa menciptanya sendiri."
Chong memberi maklum balas mengenai pengumuman Najib ketika membentang Bajet 2011 Jumaat lalu bahawa menara 100 tingkat itu dijangka siap menjelang 2020.
Chong berkata, "lebih baik wang tersebut dibelanjakan untuk menaik-taraf kemudahan kemudahan yang sedia ada dan menambah tempat-tempat tarikan pelancong yang baru di kawasan taman Gunung Kinabalu yang terkenal di seluruh dunia itu.
Beliau berkata, walaupun mempunyai status warisan dunia tapi kemudahan di Taman Kinabalu masih ketinggalan.
"Sudah sekian lama tapak yang sangat penting ini tidak menyaksikan aktiviti pembangunan," katanya.
Chong ingin tahu bagaimana pembinaan menara berhampiran Stadium Merdeka dan Stadium Negara di Kuala Lumpur itu boleh memberi manfaat kepada rakyat Sabah.
Satu lagi gajah putih
Beliau mengingatkan bahawa negara ini sudah memiliki Menara Berkembar Petronas yang dibiayai menerusi hasil minyak dan gas dari Sabah.
"Sudah tiba masanya Sabah mendapat semula apa yang seharusnya Sabah dapat," terang beliau.
Beliau berkata, terdapat banyak lagi perkara yang perlu diberi perhatian seperti pendidikan yang lebih baik, penjagaan kesihatan, pengangkutan awam, hidup kejiranan yang lebih selamat dan air yang lebih bersih. 
Tidak perlu kepada bangunan yang tinggi.
"Sudah pasti kita tidak perlu kepada satu lagi projek gajah putih. Kerajaan harus memberi keutamaan kepada keperluan rakyat daripada projek-projek yang menguntungkan sekumpulan kecil.
"Kita melihat terlalu banyak projek mega ketika era bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan sehingga hari ini rakyat masih membayar kosnya.
"Kita diambang kebangkrapan seperti mana yang diperingatkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Idris Jala," katanya.
Chong menyifatkan keputusan kerajaan membina menara itu sebagai satu kesilapan besar dengan menyusahkan rakyat dan tindakan-tindakan seperti ini akan mencetuskan perubahan dalam masyarakat.
Beliau menganggap ianya merupakan petanda jelas bahawa kerajaan Barisan Nasional telah kehilangan arah.

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List