Nilai kebaikan..

on Oct 30, 2010

بسم الله الرحمن الرحيم

Kebiasaannya ketika salah seorang dari sahabatnya meninggal dunia Rasulullah s.a.w. akan menghantar jenazahnya sampai ke kuburan. Dan pada saat hendak pulang diambilnya kesempatan pula untuk singgah menghibur dan menenangkan keluarga allahyarham supaya tetap bersabar dan tawakal menerima musibah itu.

Ketika di rumah sahabatnya yang baru sahaja dikebumikan, Rasulullah s.a.w. bertanya kepada isterinya, "Tidakkah allahyarham mengucapkan wasiat sebelum dia wafat?"

Isterinya menjawab, saya mendengar dia mengatakan sesuatu di antara dengkur nafasnya yang tersekat-sekat menjelang ajal"

"Apa yang di katakannya?"

"Saya tidak tahu, ya Rasulullah, apakah ucapannya itu sekadar rintihan sebelum ajal, ataukah pekikan pedih kerana dasyatnya syakaratul maut. Cuma, ucapannya memang sukar untuk difahami lantaran merupakan kalimat yang terputus-putus."

"Bagaimana bunyinya?" desak Rasulullah.

Isteri yang setia itu menjawab, "Suami saya mengatakan, "Andaikata lebih panjang lagi....andaikata yang masih baru....andaikata semuanya...." hanya itulah yang terdengar sehingga kami bingung dibuatnya. Apakah perkataan-perkataan itu igauan dalam keadaan tidak sedar, ataukah pesan-pesan yang tidak selesai?"

Rasulullah s.a.w. tersenyum. "Sungguh yang diucapkan suamimu itu tidak mengelirukan," ujarnya.

Kisahnya begini. Pada suatu hari dia sedang bergegas akan ke masjid untuk melaksanakan solat jumaat. Di tengah jalan dia berjumpa dengan orang buta yang bertujuan sama. Si buta itu terkapai-kapai kerana tidak ada yang menuntun. Maka suamimu yang membimbingnya hingga tiba di masjid. Tatkala hendak menghembuskan nafas penghabisan, dia menyaksikan pahala amal solehnya itu, lalu dia pun berkata, "Andaikan lebih panjang lagi". Maksudnya, andaikata jalan ke masjid itu lebih panjang lagi, pasti pahalanya lebih besar pula.

"Ucapan lainnya ya Rasulullah?" tanya si isteri mula tertarik.

Nabi menjawab, "Adapun ucapannya yang kedua dikatakannya tatkala, dia melihat hasil perbuatannya yang lain. Sebab pada hari berikutnya, waktu dia pergi ke masjid pagi-pagi, sedangkan cuaca dingin sekali, di tepi jalan dia melihat seorang lelaki tua yang tengah duduk menggigil, hampir mati kedinginan. Kebetulan suamimu membawa jubah baru, selain yang dipakainya. Maka ia membuka jubahnya yang lama yang dipakainya, diberikannya kepada lelaki tersebut. Dan mengenakan jubahnya yang baru. Menjelang saat-saat terakhirnya, suamimu melihat balasan amal kebajikannya itu sehingga ia pun menyesal dan berkata, "Andaikata yang masih baru kuberikan kepadanya dan bukan jubahku yang lama, pasti pahalaku jauh lebih besar lagi". Itulah yang dikatakan suamimu selengkapnya.

Kemudian, ucapannya yang ketiga, apa maksudnya, ya Rasulullah?" tanya si isteri lagi. Dengan sabar Nabi menjelaskan, "Ingatkah kamu pada suatu ketika suamimu balik ke rumah dalam keadaan sangat lapar dan meminta disediakan makanan? Engkau menghidangkannya sepotong roti yang telah dicampur dengan daging. Namun, tatkala hendak dimakannya, tiba-tiba seorang musyafir mengetuk pintu dan meminta makanan. Suamimu lantas membahagi rotinya menjadi dua potong, yang sebelah diberikan kepada musafir itu. Dengan demikian, pada waktu suamimu nazak, ia menyaksikan betapa besarnya pahala dari amalannya itu. Kerananya, ia pun menyesal dan berkata, "Kalau aku tahu begini hasilnya, musafir itu tidak hanya kuberi separuh. Sebab andaikata semuanya kuberikan kepadanya, sudah pasti ganjaranku akan berlipat ganda.

Memang begitulah keadilan Tuhan. Pada hakikatnya, apabila kita berbuat baik, sebenarnya kita juga yang beruntung, bukan orang lain. Lantaran segala tindak-tanduk kita tidak lepas dari penilaian Allah Taala. Demikianlah juga jika kita berbuat buruk. Akibatnya juga akan menimpa kita sendiri. Kerana itu Allah SWT mengingatkan, "Kalau kamu berbuat baik, sebenarnya kamu berbuat baik untuk dirimu. Dan jika kamu berbuat buruk, bererti kamu telah berbuat buruk atas dirimu pula." (QS Surah Al-Isra' : 7)

Wallahu'alam, moga ada manfaatnya.

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List