Anwar makin gelabah: Zaid

on Nov 19, 2010

Ramai anggota bangkit persoal pemilihan parti tidak telus 

KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim, berkata Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini menggelabah apabila semakin ramai ahli parti mendakwa pemilihan parti yang sedang berlangsung dilaksanakan secara tidak telus.


Zaid berkata, ini bukan beliau seorang saja yang mempersoalkan ketelusan pemilihan parti, malah dibangkitkan seorang lagi calon Timbalan Presiden, Mustaffa Kamil Ayub.
Beliau turut membidas kenyataan Anwar yang menuduhnya mempunyai agenda tersembunyi di sebalik tindakannya mempersoal proses pemilihan parti seperti yang dilaporkan ketika Anwar diwawancara Jim Middleton dalam rancangan News Hour Australia yang disiarkan di Astro, malam kelmarin. 

“Saya tak tahu apa niat Anwar sebenarnya, mungkin beliau tidak dapat menerima pemilihan PKR yang berlangsung ketika ini sememangnya tidak berada di landasan yang betul dan kesan daripada itu beliau mula mengeluarkan beberapa kenyataan yang tidak menentu. 

“Bukan saya seorang saja yang mempertikaikan pemilihan, Malah ramai lagi tidak berpuas hati. Kalau saya ada niat itu atau ada agenda tersendiri..., apakah mereka yang turut mempersoalkannya juga mempunyai niat yang tidak baik?,” katanya kepada Berita Harian semalam. 

Anwar dalam temuramah itu dilapor sebagai berkata, dakwaannya terbukti apabila Zaid mula meminta pemimpin tertentu PKR meletak jawatan dan berusaha menubuhkan parti baru serta menggunakan media bagi menghentam pembangkang. 
Zaid berkata, tuduhan bahawa beliau mempunyai agenda tersembunyi di sebalik penawaran untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden adalah tuduhan karut, rekaan dan sengaja mahu menjatuhkan peribadinya di kalangan ahli PKR. 

“Semua tuduhan itu karut saya tak tahu dan saya tidak ada niat lain, selain memperbetulkan parti sejak saya menawarkan hasrat untuk bertanding, tetapi mereka mempertikaikan niat saya,” katanya. 

Ditanya perancangannya selepas menyerahkan surat peletakan jawatan dan keluar parti nanti, Zaid berkata setakat ini beliau belum ada perancangan khusus dan dakwaan beliau akan menubuhkan parti baru adalah karut dan tidak benar. 

Katanya, beliau memang bertekad keluar parti kerana tidak tahan dengan kerenah dan tindak tanduk pemimpin PKR yang tidak menentu, selain suka mereka-reka cerita dan berbohong kepada rakyat. 



-BH-

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List