Zaid: ‘Saya tidak sertai PAS, susah parti besar-besar ini’

on Nov 19, 2010

PETALING JAYA, 19 Nov — Datuk Zaid Ibrahim hari ini menjelaskan beliau tidak akan menyertai mana-mana parti politik termasuk PAS sebaik sahaja keluar secara rasmi daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) 16 Disember ini.

Sebaliknya, bekas pengerusi PKR Wilayah Persekutuan itu berkata, adalah lebih baik jika menubuhkan parti baru daripada menyertai PAS.

“Saya tidak akan masuk PAS, susah parti besar-besar ini.

“Lebih baik saya sendiri,” kata beliau kepada The Malaysian Insider ketika ditemui selepas sidang media di rumahnya di sini pagi ini.

Terlebih dahulu ketika sidang media itu, Zaid berkata beliau akan meninggalkan PKR berkuat kuasa 16 Disember ini.

Beliau turut mengesahkan kemungkinan akan menubuhkan parti baru berkata beliau “sudah pasti” akan bertanding dalam pilihan raya umum ke-13.

Namun menurut Zaid, parti baru itu hanya akan ditubuhkan sekiranya mendapat sokongan daripada penyokong-penyokong beliau.

Semalam, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata sama ada parti Islam itu akan menerima Zaid sebagai ahli PAS bergantung kepada keputusan yang dibuat Zaid hari ini.

“Lagipun beliau tidak minta (masuk PAS), macam mana kita nak tahu.

“Kita tunggu sahajalah apa keputusan beliau nanti, tunggu kata putus daripada beliau dulu,” kata Had yang juga Ahli Parlimen Marang.

PAS walaupun berhadapan dengan hubungan “dingin” dengan Zaid sebelum ini tetapi menyokong dan berkempen untuk beliau ketika pilihan raya kecil Hulu Selangor April lalu.

Terdahulu kata Zaid, beliau menyertai PKR kerana mempercayai wadah perjuangan reformasi yang tulen yang diamalkan parti itu.

“Saya memasuki parti ini dan terus menjadi ahli seumur hidupnya bersama-sama dengan anak-anak saya kerana saya mahu parti ini menjadi wadah perjuangan reformasi dan keadilan yang tulen, jauh sekali untuk menghancurkannya dari dalam.

“Saya juga merasa yakin bahawa banyak pihak lain yang turut berkongsi kepercayaan dengan saya bahawa mana-mana perjuangan yang didasarkan di atas hasrat untuk menyelamatkan karenah peribadi pemimpinnya semata-mata adalah satu perjuangan yang palsu,” katanya.

Menurut Zaid adalah wajar baginya meninggalkan PKR apabila beliau tidak lagi dipercayai oleh pemimpin-pemimpin atasan yang menganggapnya sebagai pengkhianat.

“Saya bukan penakut dan saya juga bukan kaki merajuk. Saya akan terus bersama dengan kawan-kawan dalam arena politik bagi memperjuangkan politik yang sihat dan bertanggungjawab demi membela hak rakyat.

“Saya juga amat menghargai sokongan kuat yang telah diberikan oleh kawan-kawan dan ahli parti kepada saya selama ini.

“Ingin saya tegaskan bahawa karier politik saya adalah sesuatu yang kecil sahaja, (tapi) yang paling penting kepada kita ialah politik kotor dan penipuan yang mesti kita tentang walau dari mana ia datang,” katanya.

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List