Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.....Ada Unsur Sabotaj Ke....???

on Dec 27, 2010

Terkejut dan terkedu dengan pengumunan Ketua Setiausaha Negara Mohd Sidek Hassan dalam satu kenyataannya bahawa Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Mohd Khusrin Munawi akan dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru, berkuatkuasa 1 Januari.

Perlantikan ini difahamkan belum mendapat persetujuan daripada Kerajaan Negeri Selangor dan saya berpendapat perkara ini tidak boleh diumumkan langsung sebelum mendapat persetujuan daripada Kerajaan Negeri Selangor.

Mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 Perkara 52 (1), jawatan Setiausaha Kerajaan perlu diwujudkan dan perlantikan ke jawatan ini hendaklah dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkenaan dari kalangan anggota mana-mana perkhidmatan awam yang relevan.

Perkara (2)(a) pula menyatakan bahawa Setiausaha Kerajaan hendaklah berbangsa Melayu dan menganut Agama Islam, dan hendaklah menjadi pegawai utama yang bertanggungjawab bagi hal-ehwal pentadbiran negeri.

Oleh itu adalah jelas bahawa perlantikan jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri ini tidak semestinya dilantik oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam malahan ianya boleh dilantik daripada "Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkenaan" termasuk Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri Selangor.

Kenyataan Ketua Setiausaha Negara Mohd Sidek Hassan bahawa perlantikan Mohd Khusrin Munawi (gambar kiri) sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru telah mendapat perkenan daripada Tuanku Sultan Selangor juga merupakan satu kenyataan yang mengelirukan kerana tidak disebut dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 bahawa perlantikan Setiausaha Negeri perlu mendapat perkenan daripada Tuanku Sultan Selangor.

Malahan Setiausaha Kerajaan bersama-sama dengan Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri perlu mengangkat dan menandatangani Sumpah Simpan Rahsia di hadapan Menteri Besar dan bukan Tuanku Sultan Selangor mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor 1959.

Tindakan Ketua Setiausaha Negara membuat pengumuman ini tanpa mendapat persetujuan daripada Kerajaan Negeri merupakan satu tindakan sabotaj terhadap Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat.

Adalah amat malang bahawa ianya juga telah dilihat sebagai satu tindakan balas dendam terhadap keputusan Kerajaan Selangor melarang penggunaan logo "1Malaysia" di atas papan tanda iklan luaran dan papan tanda perniagaan.

Diharapkan perlantikan jawatan ini dapat dilakukan dengan cara yang telus dan beramanah tanpa sebarang bentuk unsur sabotaj di mana hanya mereka yang betul-betul komited, berupaya dan independen sahaja yang dilantik ke jawatan ini.

Memandangkan Setiausaha Kerajaan Negeri merupakan pegawai utama yang akan bekerja bersama-sama dengan Kerajaan Negeri Selangor, maka perlantikan ini harus mendapat persetujuan daripada Kerajaan Negeri Selangor.


0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List