Rumah diganggu makhluk halus jadi tumpuan........

on Jan 1, 2011

Rumah misteri yang dikatakan diganggu makhluk halus di Kampung Bunga Emas, Panambang, dekat Kota Bharu sejak seminggu lepas, terus mendapat perhatian dan dikunjungi orang ramai.

Kemuncak kepada perhatian orang ramai apabila pemilik rumah berkenaan, Zainab Sulaiman, 75, memanggil bomoh untuk menghalau makhluk halus itu petang semalam.

Malah ketika bomoh berkenaan, Abdul Razak Mohamad, 50, melakukan kerja-kerja menjampi di ruang tamu rumah itu tiba-tiba keluarga itu dikejutkan dengan kejadian kebakaran pada kain dan tilam di bahagian dapur dan bilik tidur Zainab.

Zainab berkata gangguan itu agak reda sedikit selepas penduduk kampung mengadakan solat hajat secara beramai-ramai selepas solat Jumaat semalam.

"Kira-kira pukul 3 petang semalam, saya terjumpa sekeping wang kertas bernilai RM10 yang tercatat dakwat merah ditulis perkataan “Selamat Tinggal Semua” dipercayai dilakukan oleh makhluk halus itu," katanya kepada pemberita.

Sejak seminggu lalu, gangguan makhluk halus itu semakin kerap apabila beratus-ratus helai pakaian Zainab dan cucunya dibakar dan dikoyakkan selain membakar tilam, selain merosakkan beras dengan mencampurkan dengan pewarna serta budu.

“Memang cara makhluk halus ini mengganggu kami seolah-olah sengaja mengkhianati dan mendendam keluarga kami,” kata Zainab, seorang ibu tunggal yang kematian suami sejak 30 tahun lepas.

Zainab berkata, beliau sudah puas berikhtiar sehinggalah Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Kijang, Wan Ubaidah Wan Omar membantu mendapatkan bomoh.

Gangguan makhluk halus itu kebiasaannya berlaku antara pukul 7 pagi hingga malam pada setiap hari.

"Kadang-kadang kelihatan api menyala di bahagian tamu rumah, apabila kami berkejar memadamkan kebakaran itu, kelihatan pula api menyala di bahagian dapur dan dalam bilik pula.

"Kami sudah membaca ayat Quran dan berdoa supaya dilindungi daripada gangguan makhluk halus itu, tetapi tidak juga dapat dihapuskan, sehinggalah kami panggil bomoh dan solat hajat beramai-ramai," katanya.

-Bernama-

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List