Hanya dalam jangka dua tahun, Barisan Nasional yang seketika dahulu diumpamakan sebagai "kapal yang sedang karam", kini menjadi kapal selam pertama negara kita - terapung dengan stabil di permukaan lautan. Slogan dan logo 1Malaysia di merata-rata - menggantikan "senyuman Pak Lah". Suasana "feel good" kini menyelubungi zaman Najib.
Setahun sebelum ini kita masih memberi penilaian sebegini, "UMNO di bawah pimpinan Najib pada hakikatnya tidak berbeza dengan zaman Abdullah Ahmad Badawi". Setahun kemudian, pada hari ini, kita perlu memberi penilaian bahawa UMNO di bawah pimpinan Najib lebih teruk daripada zaman Abdullah Ahmad Badawi.
Pada hakiktnya, dasar perkauman tetap kekal sementara slogan 1Malaysia berkumandang. Model Ekonomi Baru (MEB) yang mengandungi program transformasi ekonomi dan kerajaan hanyalah lanjutan daripada Dasar Ekonomi Baru.
Ketika MEB diketengahkan, media terutamanya akhbar Cina telah menari mengikut rentak kerajaan Najib - memansuhkan DEB, kuota bumiputera, membantu 40% rakyat termiskin - namun akhirnya ia meleset. Bukan sahaja kuota bumiputera tidak dimansuhkan, sebaliknya membincangkan agenda pembangunan ekonomi bumiputera, bagaimana untuk menambah ekuiti saham bumiputera. Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10) yang menentukan lima tahun akan datang mencadangkan agar menggariskan matlamat 30% saham bumiputera, malah menggerakkan lima agenda bumiputera. Seterusnya, TERAJU yang menggerakkan agenda bumiputera ditubuhkan pada Februari, untuk memantapkan lagi agenda pembangunan ekonomi bumiputera.
Semasa membentangkan RMK10 pada tahun lalu, kerajaan Najib berjanji agar sektor swasta menjadi peneraju dalam bidang ekonomi. Ia berakhir sebaliknya, di mana GLC semakin berkembang, misalnya Kumpulan Wang Persaraan mengambil alih saham dari syarikat seperti WCT, IJM, UMW Holding dan PLUS, menjadi pemegang saham yang besar di syarikat-syarikat tersebut. Selain itu, keadaan monopoli masih kekal, dan kerajaan Najib tidak menyediakan gelanggang yang sama rata untuk persaingan syarikat swasta.
Lebih teruk dari zaman Abdullah
Dua tahun yang lalu, walaupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa ahli politik dari pelbagai peringkat ke mahkamah, namun politik wang masih berleluasa, dan korupsi terus bermaharajarela. Ketika bekas PM Abdullah ditanya mengapa beliau meluluskan peruntukan ketika pilihan raya, beliau masih cuba membela tindakan kerajaan menyogok pengundi dengan pelbagai alasan. Namun, Najib lebih berterus-terang, tanpa berselindung untuk mengungkapkan "You help me, I help you".
Menjelang PRK, pelbagai peruntukan dari pelbagai peringkat kerajaan disalurkan ke dalam kawasan pengundian. Masalah yang dilonggok bertahun-tahun diselesaikan dalam sekelip mata. Jalan diturap, warga emas diberi kebajikan. Sepanjang tempoh kempen pilihan raya, pegawai dari pelbagai jabatan dihantar untuk berkhidmat di kawasan pengundian - membuka kaunter rawatan, perkhidmatan pemeriksaan tubuh, ceramah keselamatan di jalan raya dan sebagainya - cubaan untuk menggulakan pengundi.
Menyedari imej MCA dan Gerakan yang gagal diselamatkan, Najib mula menggunakan "1Malaysia" sebagai jenamanya. Sejak PRK Galas, pertubuhan 1Malaysia mula memasuki kawasan pengundian untuk memikat hati pengundi Cina. Mereka menyediakan jamuan atas nama "1Malaysia" - tarian selain cabutan tuah - menukarkan pilihan raya yang serius kepada karnival yang meriah. Gambar Najib yang besar pada pentas seolah-olah mengingatkan pengundi, "You help me, I help you".
Keganasan dalam PRK
Selain mendodoikan pengundi dengan wang, PRK yang diadakan dalam pemerintahan Najib juga memperlihatkan peningkatan tahap keganasan. Dalam PRK Bagan Pinang, bulan ketujuh selepas Najib memegang tampuk kerajaan, berlakunya satu kes berdarah dalam kawasan pengundian. Beberapa orang pekerja PAS diserang, dibelasah sehingga cedera, malah salah seorang daripadanya dicederakan senjata tajam. Walaupun kejadian ini berlaku di depan Balai Polis Teluk Kemang, namun anggota polis tidak mengambil tindakan untuk menghalang tragedi ini.
Keganasan yang membeliakkan berulang dalam PRK seterusnya. Ketika PRK Merlimau dan Kerdau, kereta Anwar dihalang oleh kira-kira 30 orang anggota kempen BN, dibaling batu dan diketuk bendera. Meskipun aduan polis telah dibuat oleh anggota PKR, namun tetap tidak dipedulikan.
Selain itu, meskipun samseng BN menyerang pekerja pembangkang, namun sekurang-kurangnya orang awam berada dalam "zon selamat" - ketika zaman Abdullah Ahmad Badawi. Dalam zaman Najib, orang awam pula dijadikan sasaran.
Pilihan raya seharusnya gelanggang sama rata untuk semua parti politik yang bertanding. Namun demikian, sikap Suruhanjaya Pilihan Raya dan polis berpeluk tubuh untuk membenarkan kejadian keganasan berlaku telah menjejaskan keadilan pilihan raya. Daripada apa yang berlaku di atas, pilihan raya dalam zaman pentadbiran Najib jauh lebih kotor daripada zaman Abdullah Ahmad Badawi. Fenomena ini mungkin akan dibuktikan dalam PRN Sarawak yang bakal diadakan.
*Chan Wei See ialah pemangku Ketua Pengarang MerdekaReview.
0 comments:
Post a Comment